Showing posts with label Tegas. Show all posts
Showing posts with label Tegas. Show all posts

Tuesday, April 14, 2015

Pasca GST : Apa Nasib Sang Marhaen

Salam 1GST. Begitulah mukadimah yang paling sesuai untuk gua ungkapkan kepada semua. Tahniah, akhirnya kita semua berpeluang untuk merasai dan membantu pemerintah mendapatkan kembali wang dengan pantas melalui GST. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, tiada sebarang kejadian tumpah darah berlaku di bandar-bandar besar, menandakan Malaysia ini masih lagi aman dan damai serta sejahtera adanya.

Namun gua juga yakin dan amat pasti, sedari mula GST ini mula dilaksanakan, yang paling teruk terasa kesannya adalah Marhaen yang kebanyakkannya tinggal di rumah bersaiz Gelanggang Badminton sahaja. Gua berasa 200% pasti bahawasanya golongan ini juga sebetulnya telah lama berjimat cermat tatkala harga minyak naik sehingga beberapa puluh sen sehingga mengakibatkan kesan domino yang bukan kepalang. Boleh sawan dibuatnya. Mana yang bawa bekal, bekallah dibawa yang dimasak oleh sang isteri. Manakala yang bujang, hanya bekalan ilmu di dada sahaja yang dibawa.

Ternyata, pasca GST ini Marhaen semakin menderita dan terus sengsara menanggung beban. Harga barangan keperluan untuk terus kekal hidup di hutan batu ini seperti mee segera, ikan sardin dalam tin terus mengalami kenaikan harga. Manakala yang sudah berkeluarga dan beranak pinak, harga barangan seperti lampin pakai buang dan susu formula turut mengalami kenaikan harga. Nah, Marhaen terus ditekan dengan kenaikan harga barangan keperluan beberapa peratus. Sedangkan jumlah pendapatan yang diterima sudah tidak mampu ditampung lagi dengan kadar kenaikan tersebut. Maka, merintihlah jiwa-jiwa Marhaen di Dinding FB dan Suapan Berita di Twitter mengenangkan nasib diri yang terpaksa menanggung beban. Hendak berjimat celah mana pun tak tahu lagi dah rasanya. 

Maka, berlumlah-lumbalah pula tawaran untuk mencari pendapatan sampingan melalui kaedah MLM. Bagi golongan yang terdesak dan masih berharap maka inilah adalah peluang yang ada untuk mencari duit lebih tanpa mengetahui keberangkalian untuk menanggung beban kewangan yang jauh lebih tinggi berbanding sedia ada. Berita kejadian samun / ragut / rompakan baik yang berskala besar mahupun bertaraf kecil-kecilan, dijangka akan terus meningkat. Maka, tinggallah Marhaen dalam keadaan yang serba menekan. Sang Politikus pula hanya bijak memberikan cadangan yang kurang bijak, seperti memasak di pejabat misalannya.

Jadinya, bagaimana kita hendak menangani situasi sebegini? Nak menyimpan?? Korek tabung anak?? Minta duit KWSP?? Gadai tanah pusaka di kampung?? Maaf, gua sendiri tiada jawapan yang tepat. Pandai-pandailah lu orang. Kalau rasa meniaga buah pinggang boleh mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda, mengapa tidak?? Kahkahkah!

Wednesday, February 18, 2015

Mari Mengenali Iblis

Rata-rata pembaca blog ini telah pun mengenali Iblis Petak Kuning yang kewujudannya semakin menjadi-jadi dan petanda ianya akan pulih seakan tipis sewaktu berada di jalanraya. Patutnya isu sebegini pun Mufti ambil tahu demi kemaslahatan ummah. Sebetulnya, Iblis Petak Kuning ini turut mempunyai beberapa taulannya yang turut sama jahat, sama ada kita sedari atau tidak. Jadi, marilah berkenalan dengan Iblis-Iblis yang ada sebagai panduan bersama. Terpulang kepada masing-masing bagaimana hendak mengatasinya. Nak standby batu sama stereng lock pun elok juga rasanya sebagai persediaan.

Iblis Berhenti Tepi Jalan
Sedang orang lain bukan main sabar menempuh kesesakan jalanraya, iblis ini dengan selamba sahaja memarkirkan kereta berjenama mewah tepi jalan tanpa ada sedikit pun rasa bersalah kerana mengganggu lalulintas. Eloknya dalam waktu yang ada Backhoe turut melalui kawasan tersebut lalu melibas iblis-iblis ini.

Iblis Memotong Barisan
Seringkali wujud terutamanya berhampiran di Plaza Tol. Sedang umat lain kusyuk beratur di belakang, iblis ini tanpa perasaan  terus sahaja memancung & memotong barisan di hadapan dengan alasan hendak lekas sampai ke rumah. Habis tu, yang beratur berjela kat belakang tu memang nak lambat sampai ke rumah kah??

Iblis Terhegeh
Keturunan iblis ini akan terasa kehadirannya sewaktu berada di lebuhraya tiga lorong dimana iblis ini gemar memandu dengan kadar kelajuan basikal lumba sahaja pada lorong kanan. Kenderaan belakang jenuh bagi high beam dia boleh bantai menyanyi lagu K-Pop sekuat hati buat tak reti. Macam mana kira ni?

Iblis Parking Senget
Biasanya melibatkan iblis yang memandu kenderaan bersaiz sederhana besar. Disebabkan berasa memandu kereta bersaiz lori, maka iblis ini lebih gemar memarkir secara senget dengan agak ketara sehingga mengganggu membuka pintu kenderaan di sebelah. 

Iblis Gadjet
Iblis gadjet ini pula terdiri daripada golongan muda yang gemar membalas WhatsApp ataupun mengemaskini status di media sosial tanpa mempedulikan kereta dihadapan telah jauh meninggalkan kereta sendiri selama lebih daripada empat kali. Kereta belakang hon baru terhegeh nak memecut macam orang gila ke hadapan. Menambahkan sesak yang telah sedia sesak. 



Thursday, December 11, 2014

Kemudahan Golongan OKU Kita??


Gambar ini gua snap sewaktu kunjungan gua ke Kota Singa minggu lepas. Sejujurnya ada sedikit rasa kagum apabila melihatkan situasi sebegini. Nampak sangat golongan sebegini (OKU / Golongan Warga Emas yang hilang upaya) di sana tidak menghadapi masalah yang besar untuk bergerak sendiri tanpa mengharapkan bantuan dari anak-anak yang sibuk bekerja membawa dari pagi hinggalah ke malam. Yang sambung syif malam berterusan membawa pagi besoknya pun ada juga. Jadi, bila anak-anak dah sibuk bekerja, maka tinggalah sendiri bersama pasangan. Jadi kalau nak diukur tahap kebosanan apabila tinggal di rumah yang sama luasnya dengan court badminton itu, memang level maksimum lah seharian duduk di rumah sahaja. 

Jadi, untuk menghilangkan rasa bosan, maka mereka tiada masalah langsung untuk keluar turun dari dari tingkat 15 rumah pangsa, dan terus turun ke Pasar Geylang Serai untuk membeli sedikit barangan basah mahupun menjamu selera di tingkat atasnya. Memang tiada masalah. Kesemua laluannya sememangnya mesra OKU orang kata. Perkataan diskriminasi langsung tidak wujud. Bimbang dilanggar Impreza 1.5 di hadapan persimpangan lampu isyarat pun jauh sekali kerana pemandu di sana amat-amat menghormati hak pengguna jalanraya yang lain. Apatah lagi dengan golongan yang sebegini.

Mungkin dah sampai masanya kita patut mencontohi negara jiran dari segi kemudahan untuk golongan sebegini. Setakat nak naik MRT dari Woodlands pekena Nasi Beryani Express di Geylang Serai bukanlah suatu cabaran yang besar. Nak naik bas pun tiada masalah, pemandu bas sendiri akan turun membantu bagi golongan yang berkerusi roda menaiki bas. (Sumpah, gua pernah lihat depan mata gua sendiri!) 

Kalau golongan sebegini wujud di persekitaran Bangsar, gua rasa setakat keluar rumah ambil angin sahajalah yang boleh. Nak harap naik Rapid KL sendiri silap-silap mau tergolek dahulu akibat jatuh daripada bahu jalan yang kadang tinggi kadang rendah ikut. Itu belum lagi ambil kira nak naik bas dengan berkerusi roda. Amacam??

Thursday, October 23, 2014

Amanah Raya Ambil Duit Pusaka?

Amacam, sedap juga rasanya sesekali bubuh tajuk entri yang agak panas dan pasti mengundang kontroversi dan juga sokongan yang bukan kepalang buat masyarakat yang jahil di luar sana tentang proses pentadbiran pusaka. Menerusi laporan akhbar arus perdana, dikhabarkan sejumlah RM40bilion nilai harta pusaka yang masih belum diselesaikan.Jumlah yang boleh menampung belanja subsidi petrol ini kalau dikumpul memang banyak sebenarnya. Namun, entah apa gila masyarakat dengan mudah menunding jari seolah RM40billion ini  telah pun berada dalam pegangan AmanahRaya, yang mana dahulu kalanya adalah Jabatan Pemegang Amanah Raya. Kaya raya AmanahRaya ini kerana mengaut (baca: mengambil secara paksa) harta pusaka milik masyarakat. Memang jahat sungguh barang siapa yang menyebarkan dakyah tersebut.

Ingin gua tegaskan. Matinya seseorang itu, harta pusakanya tidaklah pula dengan sendirinya menjadi hakmilik AmanahRaya. Gua bagi contoh mudah. Katakanlah, PakMat ada bela 6 ekor lembu di Ampang. PakMat Mati. Adakah lembu-lembu tersebut datang ke pejabat AmanahRaya dengan sendirinya menaiki LRT Aliran Ampang dan membayar tambang RM2.40 seekor? Adakah lembu-lembu yang mempunyai nilai beribu itu telah menjadi kepunyaaan AmanahRaya?  Tidak bukan. Jadi, silalah berhenti jadi lembu. Otak ada sila guna.

Begitu juga dengan tohmahan cubaan mengatakan Pegawai AmanahRaya cuba menipu akaun harta pusaka untuk songlap duit poket sendiri. Tak gamak oi nak makan harta pusaka. Nak bersoal jawab dengan Pegawai Jabatan Akaun mana perginya slip biru (Petty Cash Voucher: digunakan bagi mendapatkan tunai untuk kegunaan perbelanjaan pentadbiran pusaka) dah pun pening kepala kalau tersalah letak cari tak jumpa. Apatah lagi kalau dengan sengaja nak songlap duit daripada Akaun Pusaka. Nak menjawab dengan En Hashim lagi. Nak menjawab dengan Tuhan boleh hold dulu -kata si pengsonglap.

Jadi, kesimpulannya, tohmahan yang mengatakan AmanahRaya @ Pegawainya dengan sengaja mengambil duit pusaka milik simati adalah satu tuduhan liar dan tidak berasas. Kalau betul gua songlap, dah tentu telefon bimbit jenama Samsung S generasi pertama dah lama berganti..Telefon bimbit gua ni dia punya slow memang jenis berbakul kena carut. Nak tunggu muat turun Whatsapp group yang berduyun pun belum tentu sempat habis sepinggan Nasi Lemak. 

Berhentilah menyebarkan dakyah palsu dan berhentilah jadi tongong.



Seksyen 28. Pernyataan palsu dalam akaun
Seksyen 28. Pernyataan palsu dalam akaun

Mana-mana pengarah, pegawai atau pekhidmat suatu syarikat amanah yang secara sengaja dan dengan niat hendak memfraud membuat atau bersubahat membuat apa-apa catatan palsu dalam buku-buku syarikat atau menandatangani atau mengemukakan apa-apa dokumen palsu dengan niat untuk memperdayakan mana-mana orang yang dilantik di bawah Akta ini untuk menyiasat hal ehwal dan pengurusan syarikat itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun

Thursday, February 20, 2014

Ditipu Otak-Otak


Abah gua sememangnya penggemar Otak-Otak dan secara tidak langsung kegemaran itu turun juga kepada gua. Disebabkan kegemaran Abah gua itu, maka beliau kerap kali juga membeli Otak-Otak jenis sejukbeku (frozen) daripada pasaraya. Agak-agak teringin nak makan Otak-Otak, keluarkan sahaja daripada Peti Sejuk dan nikmati Otak-Otak dengan segera tanpa perlu memikirkan di mana nak cari pada waktu malam hari. 

Awal minggu itu hari, Abah gua memang teringin nak makan Otak-Otak, maka seperti biasa Abah gua akan memanaskan / memasaknya dengan menggunakan Gelombang Ketuhar sahaja. Dikeluarkan lebih Otak-Otak tersebut memandangkan gua juga berada di rumah pada ketika itu. Tekak gua memang terbayang dah isi ikan yang merah sambil rasa dia yang pedas-pedas sedap itu diratah rakus oleh gua. 

Akan tetapi sebaik sahaja bungkusan Otak-Otak tersebut dibuka, serta-merta gua ingin marah. Marah yang betul-betul punya marah. Gua ditipu. Abah gua ditipu. Tak patut betul menipu orang tua yang sudah tidak bekerja lagi itu. Gua kecewa. Abah gua kecewa. Gua yang sedang lapar menjadi semakin lapar. Mujurlah Iman gua masih menebal, jadi tiada sebarang kata-kata cacian yang terkeluar daripada mulut gua pada ketika itu. Otak-Otak ini kalau dihala ke kucing pun dipandang sebelah mata sahaja. Barangkali pemilik pembuat Otak-Otak ini juga ingin memberikan bonus berbulan-bulan kepada pekerja dengan mengaut mudah untung sebegini.


Saturday, February 08, 2014

Kisah AES



Buat pengguna Lebuhraya PLUS arah ke Kuala Lumpur pasti sangat dah cukup faham sangat, sewaktu mula melintasi Exit Bangi, papan tanda menyatakan ada kamera di hadapan sudah tentu akan membuatkan sang pemandu serta-merta menurunkan meter kelajuan daripada 140km/j kepada 90km/j. Gila-gila punya drop

Secara tidak langsung, para pemandu yang berada di belakang akan turut sama memperlahankan kenderaan secara intesif. Amat jelas, kelihatan kenderaan mula bersusun-susun waima lorong kanan sekalipun akan tetap untuk memperlahankan kelajuan menyamai kelajuan tahap basikal sahaja, padahal nak sampai ke kamera ada lagi dalam 3 kilometer gua rasa. 

Akan tetapi sebaik sahaja berada lingkungan 100meter daripada kamera AES, dah bawa 90km/j terus nak drop kan lagi meter kelajuan tu sehingga 80km/j. Kurang yakin dan percaya dengan meter sendiri barangkali. Makin perlahan jadinya kenderaan semua. Akan tetapi, sebaik sahaja kenderaan mula melintasi kamera, maka terus sahaja pedal minyak ditekan ke lantai. Yang punya VTEC, maka terbukalah VTEC nya. Manakala mana yang mempunyai sekadar DVVT ataupun VVTi, maka terbuka jugalah DVVT dan VVTi nya itu. Serupa Setan masing-masing punya perangai. Daripada 80km/j, terus sahaja melonjak ke 140km/j semula dalam masa kurang 4 saat. 

Nah, sekarang ini gua nak tanya..apa sebenarnya fungi kamera AES itu diletakkan di kawasan tersebut? Di manakah fungsi sebenarnya?? Siapa nak jawab ini?? Menteri kah?? Dr Maza kah?? Perkasa kah?? Kahkahkah!!


Monday, February 03, 2014

Budaya Lif

Gua perati perkara ini lama sangat dah. Dan semakin menjadi-menjadi sejak akhir zaman ini. Perkara ini terjadi tidak kira di kawasan kediaman mahupun di tempat membeli-belah. Di pejabat-pejabat pun kadang biasa berlaku juga benda ini.

Sepatutnya menjadi tanggungjawab buat orang  pertama yang memasuki ke dalam lif untuk menekan butang membuka pintu lif, dan membiarkan orang-orang lain memasuki lif tanpa perlu risau memikirkan pintu lif tertutup dan menyebabkan ada orang lain yang tersepit. Tapi yang menjadi kebiasaannya adalah orang pertama yang pertama tersebut akan terus mencari sudut hujung lif yang paling dalam dan pandai-pandailah orang lain untuk menekan butang Buka tersebut. Gua sendiri beberapa kali terkena tersepit pintu lif gara-gara ada mangkuk yang masuk ke dalam lif terus sahaja menuju ke bahagian hujung tanpa sempat gua menekan butang Buka pintu lif tersebut. Sakit hati dan sakit bahu gua yang tersepit pintu lif itu.

Tapi yang paling sakit hati sekali apabila lu orang memasuki lif, ada pula jenis mangkuk yang selamba aja memegang rokok yang masih menyala. Sayang gamaknya nak buang rokok tersebut yang masih berbaki panjang lagi untuk dihisap. Bangang. Kalau dah tahu nak hisap rokok, janganlah sama sibuk nak naik lif. 

Sebenarnya ianya adalah benda-benda kecik sahaja. Adab dan sopan sebegini tak perlu sampai Mufti nak bagi fatwa baru nak ikut. Tapi itulah. Kalau benda-benda kecik macam ini pun susah nak ikut, baik tak payah hidup, iya tak??


Monday, January 27, 2014

Best Western Prima Inland Sea Resort Yang Tak Best Sebenarnya


Bukan main panjang tajuk entri gua kali ini. Jarang betul gua nak bubuh tajuk entri yang panjang-panjang serupa status FB.Minggu sudah gua telah sengaja memilih untuk bercuti di tempat yang dahulunya lebih dikenali sebagai Tiara Beach Resort. Gila, dah bertahun wujud baru kali ini gua tergerak hati nak pergi bawa anak mandi-manda di kolam. Entah syaitan apa yang menghasut gua supaya memilih di sini pun gua tidak pasti sedangkan banyak lagi pilihan yang lain.

Untuk makluman, gua telah membuat tempahan atas talian terus ke pihak hotel tanpa menggunakan perkhidmatan pihak ketiga, Groupon misalannya. Maaf, gua agak ortodok sedikit dalam bab ini. Untuk tempahan 1 malam, gua telah dikenakan RM230.00 (bilik studio). Kalau ikut standard harga hotel-hotel, memang dah melepasi harga 1Malaysia dah sebab berdasarkan slip gaji gua yang bertaraf kerani bank ini menjadi kebiasaan gua akan memilih hotel yang menawarkan harga di bawah RM200 sahaja. Tak mengapalah, barangkali kolam @ taman tema yang ditawarkan menyamai taman tema air Sunway Lagoon barangkali. Asalkan anak gua seronok sudahlah.

Cuma ada beberapa perkara yang membuatkan gua berasa  tidak berapa nak berpuas hati sewaktu menginap di sini. Mari gua kongsikan.
  1. Hanya lif di bahagian tengah Blok A sahaja yang berfungsi untuk membawa naik turun pengunjung yang membuatkan maksimum 5 orang sekali gus termasuk dengan bagasi. Lif satu lagi di bahagian hujung Blok mengalami kerosakan mekanikal. Jadah apa, gua kena tunggu lama nak bagi lepas satu-satu keluarga baru boleh naik ke tingkat 3. Tak patut sungguh.
  2. Ruang koridor kelihata agak suram di kala malam hari dengan lampu warna amber yang yang sememangnya malap dan kelam. Balik daripada makan malam menuju ke bilik memang boleh terbayang ada benda-benda putih melayang depan mata wei. Seram juga gua dibuatnya.
  3. Keadaan bilik pula tersangatlah menyedihkan dengan karpet yang berhabuk serupa tak pernah dibersihkan. Keadaan bangku untuk menonton televisyen pun begitu juga jelas kelihatan putih-putih habuknya. Mujur katil kelihatan senonoh sedikit membuatkan gua sekeluarga sedikit berselera untuk lena.
  4. Perabot meja kopi (coffee table) pula dah terkopak di bahagian bawah. Sangat merbahaya buat mereka yang mempunyai anak kecil. Mujur anak gua tak ajak main menyorok-nyorak di bawah meja. 
  5. Untuk bermain air, sebenarnya lu orang perlu membeli Gelang yang berharga RM35 dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak untuk setiap sesi. (Pagi / Petang). Kalau lu orang stay 2 hari, maknanya lu orang perlu membeli dua kali. Tapi kalau lu orang ingin bermain air dari pagi sampai ke petang, makna kata lu orang perlu membeli 2 set Gelang yang berlainan. Amacam, kaya tak pengurusan Best Western ini? Jangan-jangan bonus pekerja mau cecah empat lima bulan senang-senang.
  6. Pakej yang gua bayar terus di hotel rupanya tidak berserta sekali dengan Sarapan pagi. Berkira sungguh pihak hotel dengan gua.
Secara keseluruhannya gua tak mampu beri Bintang langsung terhadap hotel ini. Teruk. Tak berbaloi sebenarnya untuk menginap.Jenis yang datang sekali, lepas tu tak datang-datang lagi dah. Tapi untuk berlaku adil kepada pemilik unit persendirian, bolehlah lu orang menempah terus tanpa melibatkan pihak hotel ataupun pihak ketiga dengan harga yang lebih murah sedikit. Cumanya lu orang tetap kena bayar untuk pergi main air itu.






Tuesday, December 24, 2013

Tol Naik Lagi

Sememangnya isu kenaikan harga Tol ini adalah isu yang sangat sensitif bagi rakyat Malaysia, terutamanya buat golongan marhaen seperti gua dan juga lu orang semua. Hidup di Kotaraya ini yang turut dihuni oleh Iblis Jem, maka sudah tentulah alternatif menggunakan laluan ber-Tol adalah pilihan yang tidak dapat disangkal lagi daripada bertarung dengan Iblis Jem yang entah menang entahkan tidak. Buat penduduk di Kuala Lumpur, namakan sahaja, lebuhraya seperti AKLEH, DUKE, KESAS, LDP, SPRINT, & NPE merupakan suatu nama cukup sinonim buat golongan pemandu yang ingin ke tempat kerja mengikut waktu yang diinginkan tanpa melibatkan sebarang penerimaan surat amaran daripada majikan.

Kenapa masyarat suka menggunakan laluan bertol? Jawapannya cukup mudah. Kerana masyarakat sudah cukup tertekan dengan kerja-kerja rutin seharian di pejabat, jadi jikalau terpaksa pula bertarung dengan setan-setan jem maka sudah tentulah level stress akan meningkat sekali ganda lagi. Entah pukul berapa nak sampai rumah pun gua tidak tahu. Sudahnya, masa untuk anak-anak pun semakin kurang. Bila masa untuk anak-anak dah menjadi semakin kurang, maka kebarangkalian untuk anak-anak itu menjadi setan tersangatlah cerah akibat daripada kurangnya kasih sayang di rumah. Nampak?? Nampak??

Tidak dapat tidak, penggunaan lebuhraya ini sebenarnya banyak membantu dari segi penjimatan masa yang terbazir begitu sahaja jikalau mengikut laluan tanpa tol ini. Sesungguhnya jika benar pemegang konsensi Tol ini berhasrat menaikkan harga sudah tentu ianya akan membebankan para pengguna lebuhraya yang mana jumlahnya bukanlah kecil anak dalam sehari. Keluhan yang keluar dalam FB berkenaan isu kenaikan harta Tol ini juga bukanlah kecil anak juga. Sukar untuk gua bayangkan jika benar harga Tol seperti AKLEH dinaikkan daripada RM1.50 ke RM2.50. Lari bajet woi walaupun sekadar seringgit orang kata. Sumpah, gua adalah orang yang paling setuju harga tol dinaikkan waima sehingga 110% sekalipun sekiranya akses untuk ke LRT / MRT hanyalah beberapa ratus meter daripada kediaman. Baru masyarat ada pilihan. Nak guna pengangkutan awam ke atau pun pandu sendiri menggunakan laluan bertol,  iya tak? 

Wednesday, December 04, 2013

Tadika Islam: Kenapa Mahal??

Harus diakui, sebagai ibubapa yang mempunyai anak-anak yang semakin membesar, menghantar anak-anak ke pusat bimbingan atau dalam bahasa mudahnya, Tadika seolah menjadi satu keperluan. Ada yang menghantar anak-anak seawal usia 3 tahun lagi ke Tadika, Sesungguhnya, gua faham dewasa ini rata-ratanya ibubapa jenis yang bekerja siang malam. Maka, tugasan untuk mengajar / mendidik anak-anak terpaksa diserahkan kepada Tadika / Taska bagi mendapatkan ilmu tambahan. 

Anak gua yang bakal berusia 4 tahun pada tahun itu pun emaknya sudah mula sibuk-sibuk nak menghantar ke Tadika. Bila nak menghantar ke Tadika, sudah tentulah Tadika swasta yang menjadi pilihan kerana untuk menghantar ke Tadika Kemas, belum cukup umur lagi orang kata. Setidaknya, bilamana anak gua itu dihantar ke Tadika, boleh juga beliau belajar untuk berdikari disamping belajar apa-apa perkara asas dalam pembelajaran dan agar beliau tidak berasa bosan jikalau seharian duduk di rumah Tok & Tokwannya sahaja.

Baiklah, dipendekkan cerita pencarian terhadap Tadika pun bermula. Dewasa ini juga beberapa nama Tadika yang berunsurkan Islam (katanya) & semakin banyak dan tumbuh bak cendawan selepas hujan. Maka sudah tentulah Tadika yang berasaskan Islam ini menjadi keutamaan. Apa yang mengejutkan adalah bayaran untuk anak-anak sekecil usia 4 tahun ini memasuki Tadika berunsurkan Islam tersebut sikit lebih kurang hantar anak masuk Universiti sahaja gayanya. Cecah juga ribu-ribu. Barangkali, banyak juga yuran yang harus dibayar kepada Francaisor untuk menggunakan jenama Tadika Islam tersebut. Tak mengapalah asalkan modul pembelajaran yang digunakan berkesan.

Tapi ada satu Tadika yang gua survey (bukannya Francais) turut mengenakan yuran kemasukan & yuran bulanan yang tidak kurang premiumnya juga. Bila ditanya secara lebih lanjut lagi, mereka turut mengatakan bahawa Tadika mereka memberikan dua kali walaupun untuk kelas pembelajaran setakat setengahari. Dalam hati gua berbisik, bagus juga Tadika ini. Ditanya lebih lanjut lagi tentang menu makanannya, mereka mengatakan bahawa di awal pagi, murid-murid akan diberikan makan buah-buahan. Kemudiannya  sekitar jam 9.30 pagi baru sarapan berat akan dihidangkan. Dalam kotak pemikiran akal manusia yang hidup di Kuala Lumpur ini bila mana disebut tentang sarapan berat sudah tentulah sudah terbayang seperti Nasi Lemak, Nasi Goreng, Mihun Goreng waima Roti Canai sekalipun pasti terlintas dalam fikiran. Tetapi pihak Tadika tersebut tidak langsung menyebut apa yang gua bayangkan itu. Tadika tersebut mendakwa sarapan berat yang dimaksudkan adalah Kek, Roti, mahu pun Makanan Bijirin. Ditambah dengan minuman susu jenama Dugro turut diberikan kepada murid-murid. Katanya lagi, mereka mengikut Sunnah Nabi dengan makan buah terlebih dahulu sebelum diikuti dengan sarapan berat. Gua punya berkerut waktu itu jangan cakaplah. Entah sejak bila Kek turut termasuk dalam senarai sarapan berat pun gua tidak tahu. Mujur juga gua masih sedar batas-batas seorang Muslim agar tidak mencarut di hadapan pemilik Tadika tersebut. Sudahlah yuran bulanannya boleh dikategorikan sebagai mahal. Tapi bagi makan murid-murid serupa itu sahaja?? Takkan la bab yuran mahal pun ikut Sunnah Nabi juga??

Alahai, apa nak jadilah. Masing-masing berlumba untuk menggunakan lesen atas nama ISLAM, lalu menawarkan produk dengan harga yang jauh lebih mahal daripada produk konvensional. Mufti mana Mufti?? 

Pencarian Tadika untuk anak gua masih diteruskan. Kalau tak jumpa juga yang sesuai (dari segi faktor harga + lokasi) maka pilihan yang boleh dikatakan sesuai (dari segi faktor harga + lokasi juga) maka sudah tentulah Tadika mengikut Sunnah Nabi itu tadi yang terpaksa gua pilih. Kalau anak gua tak pandai serupa Nabi tak tahulah nak kata. 

Saturday, November 16, 2013

Iblis Pasu Bunga

Iblis Satria Kuning bersama Iblis Pasu Bunga

Gua rasa isu seperti ini semakin menjadi-menjadi khususnya buat mereka yang tinggal di kawasan perumahan yang mana tuan rumahnya telah mengubahsuai rumah mereka sehingga tidak serupa rumah lagi sehingga menyebabkan ruang parkir langsung tiada, lantas menjadikan ruangan yang mana sepatutnya digunakan untuk laluan jalanaraya dua hala dengan cukup selesa telah dijadikan ruangan untuk meletakkan kereta yang mana setiap rumah kadang kala mempunyai sehingga empat buah kereta!! Jadah apa serupa Pusat Jualan Kenderaan Terpakai pula gua rasa.

Ternyata Iblis yang selalu gua gembar-gemburkan itu telah menular sehingga menjelma sebagai Pasu Bunga pula. Gua sedih  melihatkan senario seperti ini berlaku, kerana ianya melibatkan Umat Islam juga sebenarnya. Apakah hanya merasakan rumah dia terletak berhadapan dengan jalanraya tersebut, maka secara otomatisnya ruangan di hadapan itu milik seluruh ahli keluarganya juga sehinggakan pernah ada sebuah kereta yang lain meletakkan kereta di ruangan Pasu Bunga tersebut telah diletakkan notis berbaur amaran supaya mengalihkan kereta dari tempat tersebut. Sesungguhnya, gua tidak langsung berasa apa sekiranya pemilik Pasu Bunga tersebut telah membayar sejumlah wang kepada pihak DBKL (oh ya, kawasan perumahan ini terletak di bawah seliaan DBKL) sehinggakan beliau diberikan hak secara ekslusif sehingga boleh menempatkan berbuah-buah kenderaan milik ahli keluarga beliau. Macam haram jadah perangai.

Entahlah, gua selalu benar terasa hati dengan perkara-perkara kecil sebegini. Mudah benar sensitif. Dah tua barangkali. Kahkahkah.!

Monday, October 21, 2013

Situasi Tegas 2

Inilah kereta si iblis tersebut

Sesudah kisah menengking Mamak, orang rumah gua dengan tegas mengajak gua ke Pasaraya Segi Fresh Batu Caves untuk membeli sedikit barangan. Untuk makluman, Pasaraya Segi Fresh ini memang ramai yang suka berkunjung ke sini untuk membeli barangan basah, khusus untuk mereka yang tidak gemar untuk ke Pasar Basah konvensional tetapi jenis tak berapa nak gemar pula pilih ikan di Pasaraya Giant yang entahkan segar entahkan tidak. Untuk makluman juga, ruangan parkir di kawasan ini sememangnya terhad. Siapa cepat dia dapat. Kalau jenis yang blok parkir, kebiasaannya sang pemandu akan menunggu di dalam kenderaan sementara membiarkan sang orang rumah melakukan tugasan membeli.

Kebetulan sewaktu gua tiba, memang ada satu ruangan parkir untuk gua. Sesudah memastikan jentera buatan Rawang tidak diparkir senget hingga membuatkan pemilik kenderaan sebelah melahirkan perasaan benci terhadap gua, terus sahaja menuju masuk ke bahagian dalam pasaraya tersebut bagi menjalani urusan pembelian barangan basah.

Usai urusan pembelian barangan selesai, tanpa berlengah terus sahaja gua menjinjit beg plastik ke dalam kenderaan. Namun jelas kelihatan di belakang kenderaan gua terdapat sebuah Proton Iswara bernombor pendaftaran WGR9727 tanpa sang pemandu di dalamnya. Selesai sahaja urusan menyimpan barangan, perhatian gua segera ke arah Proton Iswara tersebut untuk cuba-cuba menolak sedikit ke bahagian belakang supaya kenderaan gua boleh melepasi untuk keluar dari parkir setelah usaha membunyikan hon berulang kali tidak membuahkan sebarang hasil. Sebaik sahaja melihatkan bahawa brek tangan Iswara tersebut ditarik, serta-merta ungkapan cilake terucap dibibir gua. Maka sia-sia sahajalah gua menonton siaran Al Hijrah  sama Oasis selama ini. Dengan cuaca yang sudah mula terik, maka sang iblis cukup mudah menghasut gua. Mujur juga gua sedar yang gua ini Orang Islam, maka segera ucapan Istigfar terucap dari mulut gua tanda insaf.

Berdasarkan pemerhatian awal, gua syak Iswara ini adalah milik Orang Melayu beragama Islam. Sebabnya hanya bangsa Melayu sahaja yang suka memiliki Iswara kemudian tukar warna kereta + tukar Rim Sukan +  kasi lowered konon macam sporty. Dengan keadaan kereta yang seakan sudah lusuh, gua syak Melayu ini adalah jenis yang miskin + bingai  = otak sumbu.

Walau pun iblis di kala itu kerap benar membisikan kata-kata jahat namun gua berjaya juga untuk menepis kata-kata berunsur jahat tersebut. Mujur juga kekerapan menonton siri McGyver memberikan inspirasi supaya gua mencuba untuk membuka pintu Iswara tersebut supaya gua boleh melepaskan brek tangan dan menolak ke bahagian tengah jalan dengan harapan Iswara tersebut akan dilanggar oleh lori sampah. Diringkaskan cerita, gua berjaya juga membuka pintu bahagian belakang Iswara tersebut walaupun alat penggera Iswara tersebut berbunyi agak nyaring juga namun gua yakin tiada siapa yang akan peduli akan hal tersebut. Mengenangkan Malaikat di bahu kiri barangkali akan mencatatkan lebih banyak perkara jahat sekiranya gua meneruskan hasrat untuk menolak Iswara tersebut hingga jauh ke tengah, sebaliknnya gua hanya menolak sedikit sahaja memadai kereta gua boleh melepasi Iswara milik iblis tersebut.

Oleh yang demikian, gua dengan rasa rendah diri, kepada sesiapa janganlah diulangi sikap seperti iblis ini iya. Jangan suka menyusahkan orang lain. Tolonglah ubah perangai PPRT seperti ini. Sekian.

Saturday, October 19, 2013

Situasi Tegas 1

Meggi Goreng Kejung 

Pagi tadi gua mengambil keputusan untuk bersarapan di sebuah Kedai Mamak yang terletak di sebuah kawasan rumah kedai yang bolehlah dikatakan agak baharu juga terletak berseblahan dengan Pasaraya Besar Giant Batu Caves. Entah apa yang merasuk gua, boleh pula gua memasang niat untuk bersarapan di sini sedangkan gua cuma sekali sahaja ke Kedai Mamak ini tidak beberapa lama dahulu. Biasanya gua bersarapan di kedai berhampiran PPRT gua sahaja. Tetapi entah kenapa tekak gua macam nak pekena Meggi Goreng pula, jadinya gua memandu sahaja menuju ke kedai tersebut.

Sebaik sahaja gua sampai, gua perati manusia boleh tahan ramai juga memenuhi tempat duduk. Mujur ada meja yang baharu sahaja dikosongkan oleh manusia di bahagian dalam kedai. Gua duduk lebih daripada 5 minit baharu gua disapa oleh pekerja Kedai Mamak tersebut untuk mengambil pesanan. Agak hairan juga kerana menjadi kebiasaan kalau pergi ke Kedai Mamak, duduk tak sampai 5 saat akan ada seorang pekerja yang bertanyakan untuk memesan makanan. Nak kata kedai ini tidak ramai pekerja, gua perati sebelum itu pekerjanya boleh tahan ramai juga yang ke hulu ke hilir. Tak apa..gua cuba bersabar. Lantas gua memesan 2 keping Roti Canai untuk anak & juga orang rumah gua manakala Meggi Goreng biasa pula untuk gua. Teh Tarik, Teh O & Air Kotak gua pesan sebagai penghilang dahaga sementara menunggu makanan sampai. 

Memandangkan meja gua terletak berhampiran dengan tempat pembuatan tebaran Roti Canai, maka gua dapat melihat dengan jelas bahawasanya stok Roti Canai bukan main banyak lagi dalam bekas yang tersedia di sebelahnya. Para pekerja cuma mengambil untuk memanaskan di atas kuali leper besar sahaja yang berupaya untuk memasak 10 keping Roti Canai sekaligus. Jadi dalam fikiran gua Roti Canai untuk mereka berdua tidaklah lama untuk dihidangkan di atas meja. Sewaktu pesanan untuk air tiba, gua syak roti canai akan tiba sejurus selepas itu. Tapi Pekerja yang sama mengambil order merangkap tukang hantar air, dia jugalah yang pergi membuat Meggi Goreng untuk gua. Tukang masak entah mana pula perginya. Pada hal sebelum itu, elok sahaja ada si tukang masak tersebut tengah membuat kerja-kerja menggoreng pesanan yang lain. Bila si Pekerja yang sama pergi menggoreng Meggi gua, gua masih berasa tenang lagi. Sewaktu pesanan Meggi Goreng tiba, gua membuat peringatan lembut (soft reminder) supaya menghantar dengan segera Roti Canai tersebut kerana sudah melebihi 15 minit anak kecil gua menunggu Roti Canai tersebut. Ini tidak boleh jadi. Sudah melebihi KPI sebuah Kedai Mamak. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Perkara tersebut hanya mengiakan sahaja peringatan lembut gua tersebut. Sudahlah Meggi Goreng gua kelihatan sangat kejung. Sudu pun tak bagi. Garfu sahaja yang ada. 

Sewaktu Pekerja tersebut meninggalkan meja gua, gua beranggapan beliau akan dengan segera menghidangkan Roti Canai tersebut. Tapi entah apa jadah pula beliau terus sahaja ke bahagian menggoreng untuk membuat kerja-kerja lain. Perasaan gua mula meluap. Iblis mula menghasut gua agar segera untuk membuat onar seperti mentarbalikkan meja misalannya. Tapi gua mampu bersabar lagi. Gua bagi tempoh 60 saat untuk beliau segera meninggalkan kerja tersebut dan segera menghidangkan Roti Canai. 

Berlalu 60 saat dan Pekerja tersebut berterusan membuat kerja lain. Ok, gua memang tak boleh tahan. Tahap toleransi gua dah sampai limit. Gua dengan tangkas terus sahaja ke arah beliau sambil bertanyakan apa pasal beliau membuat kerja lain dan tidak menghidangkan Roti Canai ke meja gua *SILA BACA: Gua dalam mood menengking sebetulnya.

Serta merta datang seseorang Mamak juga yang gua syak adalah bos beliau meminta maaf sambil meminta segera menghantar Roti Canai ke meja dengan apa cara sekali pun. Kalau perlu pertumpahan darah sekali pun, lakukan kata beliau. Mujur juga anak kecil gua berjaya untuk menenangkan gua. Kalau tidak, ada chance keluar Metro Ahad esok "Pekerja Mamak DiTendang di Celah Kelangkang". Kahkahkah.