Tuesday, December 24, 2013

Tol Naik Lagi

Sememangnya isu kenaikan harga Tol ini adalah isu yang sangat sensitif bagi rakyat Malaysia, terutamanya buat golongan marhaen seperti gua dan juga lu orang semua. Hidup di Kotaraya ini yang turut dihuni oleh Iblis Jem, maka sudah tentulah alternatif menggunakan laluan ber-Tol adalah pilihan yang tidak dapat disangkal lagi daripada bertarung dengan Iblis Jem yang entah menang entahkan tidak. Buat penduduk di Kuala Lumpur, namakan sahaja, lebuhraya seperti AKLEH, DUKE, KESAS, LDP, SPRINT, & NPE merupakan suatu nama cukup sinonim buat golongan pemandu yang ingin ke tempat kerja mengikut waktu yang diinginkan tanpa melibatkan sebarang penerimaan surat amaran daripada majikan.

Kenapa masyarat suka menggunakan laluan bertol? Jawapannya cukup mudah. Kerana masyarakat sudah cukup tertekan dengan kerja-kerja rutin seharian di pejabat, jadi jikalau terpaksa pula bertarung dengan setan-setan jem maka sudah tentulah level stress akan meningkat sekali ganda lagi. Entah pukul berapa nak sampai rumah pun gua tidak tahu. Sudahnya, masa untuk anak-anak pun semakin kurang. Bila masa untuk anak-anak dah menjadi semakin kurang, maka kebarangkalian untuk anak-anak itu menjadi setan tersangatlah cerah akibat daripada kurangnya kasih sayang di rumah. Nampak?? Nampak??

Tidak dapat tidak, penggunaan lebuhraya ini sebenarnya banyak membantu dari segi penjimatan masa yang terbazir begitu sahaja jikalau mengikut laluan tanpa tol ini. Sesungguhnya jika benar pemegang konsensi Tol ini berhasrat menaikkan harga sudah tentu ianya akan membebankan para pengguna lebuhraya yang mana jumlahnya bukanlah kecil anak dalam sehari. Keluhan yang keluar dalam FB berkenaan isu kenaikan harta Tol ini juga bukanlah kecil anak juga. Sukar untuk gua bayangkan jika benar harga Tol seperti AKLEH dinaikkan daripada RM1.50 ke RM2.50. Lari bajet woi walaupun sekadar seringgit orang kata. Sumpah, gua adalah orang yang paling setuju harga tol dinaikkan waima sehingga 110% sekalipun sekiranya akses untuk ke LRT / MRT hanyalah beberapa ratus meter daripada kediaman. Baru masyarat ada pilihan. Nak guna pengangkutan awam ke atau pun pandu sendiri menggunakan laluan bertol,  iya tak? 

Saturday, December 14, 2013

Nasi Mamak Ayam Sambal


Sesungguhnya gua berasa sangat beruntung kerana berhampiran dengan lokasi tempat gua mencari nafkah demi sesuap nasi ini terdapat tempat makan yang gua kira terlalu handal untuk ditafsirkan mengikut kitab pemakanan edisi waktu makan tengahari. Marilah gua perkenalkan kepada lu orang menu tersebut. Nasi Mamak Ayam Sambal yang berlokasikan di Selangor Mansion ataupun senang kata berhampiran dengan kawasan Masjid India.

Jika sekali imbas, pasti kelihatan biasa-biasa sahaja nasi bersama lauk tersebut. Kelihatan terlalu biasa sebenarnya. Tidak ada yang luarbiasa. Tetapi setelah mulut mula menerima hirupan pertama dari kuah kari tersebut, gua berani jamin.."Wow" adalah perkataaan yang akan terpacul. Karinya tidak terlalu pekat dan tidak pula terlalu cair serupa dicampur air paip.Rasa Karinya memang "kaw" orang kata. Ok, itu baru gua cerita bab Kari. Sekarang ini mari gua cerita pula bab Ayam Sambal tersebut yang merupakan hero utama dalam cerita ini.


Jikalau lu orang jenis yang kuat melantak, saranan gua pilihlah bahagian dada ayam tersebut. Nescaya kepuasannya akan lebih terasa.Cubitan kecil ayam di bahagian dada tersebut sambil mencolek sedikit bahagian yang dikatakan sambal itu pasti akan membangkitkan selera si pemakan yang sememangnya sedang kelaparan di kala itu jelas terasa rempah ratusnya cukup rasa. Walau pun warnanya kelihatan seakan pedas tapi rasanya tidaklah sebegitu. Memang sesedap rasa orang kata. Tambahan pula hidangan ini yang sememangnya dilimpahkan dengan hirisan bawang yang membuatkan rasanya bertambah sedap. Memang hamdalah betullah rasa Ayam Sambal ini. Pada harga yang ditawarkan RM7.50 untuk set hidangan sebegini, mungkin kelihatan sedikit premium tetapi percayalah sangat berbaloi bila pekena sesekali di waktu tengahari selepas waktu Solat Jumaat. Kalau selepas itu lu orang berasa mengantuk, silalah tanggung sendiri. 


Friday, December 13, 2013

ZNA Succe : Kembar Nissan Serena


Amacam, sekali imbas apabila melihatkan kelibat kenderaan ini pasti bayangan Nissan Serena jelas diingatan. Gua juga sebegitu sebenarnya. Keliru dibuatnya. Akan tetapi setelah menjalankan siasatan dalaman, barulah kefahaman terbit dalam jiwa nurani hati ini. Baiklah, gua perkenalkan terlebih dahulu akan gerangan MPV ini. Nama penuh dalam kad pengenalan beliau adalah ZNA Succe dan berasal dari negara China. ZNA Succe ini sebenarnya telah dibesarkan di utara Semenanjung. Er, maksud gua ZNA Succe ini telah dipasangkan di kilang yang terdapat di Pulau Pinang melalui syarikat HSZNA Vehicles Sdn Bhd. ZNA ini atau nama panjangnya adalah Zhengzhou Nissan Automobile. Nah, sudah tentu Sekutu semua faham bagaimana ZNA Succe ini boleh kelihatan serupa dengan Nissan Serena.



Ternyata kehadiran pasukan HSZNA Vehicles selaku pengedar dan pemasang yang sah sewaktu KLIMS 2013 tempohari tidak lain dan tidak bukan sudah tentulah mahu mencuri sedikit kek pasaran dalam segmen MPV bukan kebangsaan. Sebenarnya tidak banyak maklumat yang berjaya gua kumpulkan kerana ZNA Succe ini dijangka membuat debut di atas jalanraya tanahair sekitar awal tahun hadapan. Dari segi harga, ianya dijangka diletakkan pada aras harga sekitar RM80,000. Untuk MPV yang bersesaran 2.0, gua fikir aras harga tersebut sudah dikira memadai untuk sebuah kenderaan yang berasal dari Tanah Besar Tembok China. Apa yang menarik tentang MPV ini adalah, faktor keluasannya yang sememangnya tiada tara. Besar dan luas. Kombinasi tempat duduk 2+2+3 kelihatan begitu selesa buat anak-anak yang ingin berpindah-randah dari tempat duduk. Malah, MPV ini turut dilengkapi dengan pintu gelonsor bagi memudahkan penumpangnya keluar masuk tanpa ada masalah terutamanya di ruangan parkir yang sempit.



Untuk makluman semua juga, ZNA Succe ini turut telah dilancarkan di negara jiran Indonesia tetapi dibekalkan dengan enjin berkuasa 1.5 cc sahaja. Manakala kembarnya, iaitu ZNA Succes yang mana merupakan kenderaan komersial telah pun berada di atas jalanraya kita sejak beberapa purnama yang lalu turut menggunakan spesifikasi enjin yang sama, 1.5 cc. Secara jujurnya gua hati nurani gua tetap mengatakan bahawasanya ZNA Succe ini masih mampu terjual di pasaran tempatan sekiranya pasukan pemasaran mereka berkerja dengan lebih keras lagi. Percayalah disebalik kata-kata nista yang dilemparkan buat kenderaan berketurunan China ini, pasti masih ada insan-insan yang sudi untuk memilikinya. Eceh. 




Notakaki: Entri yang sama turut diterbitkan di GearTinggi.com

Saturday, December 07, 2013

Misi Bantuan Kemanusian Ke Kuantan

Umum memang mengetahui tentang bencana banjir yang menimpa rakyat Kuantan di kala ini yang kelihatan tersangatlah teruknya. Umum juga mengetahui rakyat Kuantan sangat-sangat memerlukan bantuan yang sememangnya kelihatan agak perlahan. Maka secara tidak langsung, wujudlah insan-insan yang berhati waja untuk membantu mangsa banjir secara Indie.

Entah macam mana gua terlihatkan status di FB milik Brader Hezeri Samsuri tentang hasrat hatinya untuk membantu mangsa banjir di Kuantan secara Indie meminta bantuan rakan-rakan FB beliau yang secara kebetulan ada ahli keluarganya turut menjadi mangsa banjir di sana. Otak gua terus sahaja menghantar isyarat kepada hati bahawa inillah masanya untuk gua membuat sedikit jariah dengan mengwar-warkan kepada beberapa orang rakan pejabat supaya terlibat sama dalam hal-hal sebegini. Maka, terus sahaja gua mem-print screen status FB brader tadi dan terus sahaja menghantar surat elektronik (emel) kepada rakan-rakan terdekat di pejabat. Sangkaan gua barangkali dapat dua tiga orang yang menyumbang pakaian / barangan keperluan memadailah untuk gua penuhkan bahagian bonet S2000 milik gua itu. 

Keesokkan harinya (semalam - Jumaat) rupanya sambutan yang diberikan oleh rakan-rakan pejabat gua sangatlah menggalakkan. Sehinggakan ada beberapa orang rakan pejabat sanggup bergegas ke Mydin seawal pintu dibuka untuk membeli barangan keperluan khusus untuk kaum wanita. Sebaik sahaja semua muatan berjaya dimasukkan ke dalam S2000 gua tanpa ada sebarang masalah besar, terus sahaja gua menuju ke lokasi di Bayu Courtyard Homes untuk menghantar amanah barangan daripada rakan-rakan pejabat gua ditemani Brader Sasa. Brader Sasa ini memang sengaja gua angkut supaya senang untuk memuat turun barangan dari kereta dengan cepat dan mudah. 

Sewaktu gua tiba dilokasi, gua memang telah dimaklumkan sedari awal lagi bahawasanya Brader Hezeri memang tiada di rumah kerana sibuk mencari lori untuk mengangkut barangan yang sememangnya terlalu penuh di ruang rumah tamu beliau. Disebabkan gua membawa Brader Sasa, maka urusan mengangkut barang menjadi berganda pantas. Selagi boleh sauk, gua saukkan ke Brader Sasa. Tak cukup dengan tangan, gua suruh Brader Sasa gigit beg plastik demi memaksimakan urusan memuat turun barangan tersebut. Setelah selesai segala urusan, hanya Tuhan sahajalah yang tahu betapa leganya kerana barangan yang diamanahkan oleh rakan-rakan pejabat telah pun selamat diserahkan kepada Brader Hezeri untuk diserahkan kepada mangsa banjir seterusnya.

Untuk makluman terkini, beliau telahpun memulakan perjalanannya ke Kuantan dengan menggunakan lori 3 tan dan disertai oleh geng kenderaan 4x4  dek kerana daripada bantuan yang sepatutnya Indie sudah tidak lagi menjadi beberapa nak Indie. Beliau akan cuba untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat mengikut kadar kemampuannya. Semoga Allah S.W.T memberikan limpah kurniaNya kepada mereka-mereka yang terlibat di dalam kerja-kerja amal sebegini. Tahniah Rakyat Malaysia!!







Sumber Gambar: FB Hezeri Samsuri




Wednesday, December 04, 2013

Tadika Islam: Kenapa Mahal??

Harus diakui, sebagai ibubapa yang mempunyai anak-anak yang semakin membesar, menghantar anak-anak ke pusat bimbingan atau dalam bahasa mudahnya, Tadika seolah menjadi satu keperluan. Ada yang menghantar anak-anak seawal usia 3 tahun lagi ke Tadika, Sesungguhnya, gua faham dewasa ini rata-ratanya ibubapa jenis yang bekerja siang malam. Maka, tugasan untuk mengajar / mendidik anak-anak terpaksa diserahkan kepada Tadika / Taska bagi mendapatkan ilmu tambahan. 

Anak gua yang bakal berusia 4 tahun pada tahun itu pun emaknya sudah mula sibuk-sibuk nak menghantar ke Tadika. Bila nak menghantar ke Tadika, sudah tentulah Tadika swasta yang menjadi pilihan kerana untuk menghantar ke Tadika Kemas, belum cukup umur lagi orang kata. Setidaknya, bilamana anak gua itu dihantar ke Tadika, boleh juga beliau belajar untuk berdikari disamping belajar apa-apa perkara asas dalam pembelajaran dan agar beliau tidak berasa bosan jikalau seharian duduk di rumah Tok & Tokwannya sahaja.

Baiklah, dipendekkan cerita pencarian terhadap Tadika pun bermula. Dewasa ini juga beberapa nama Tadika yang berunsurkan Islam (katanya) & semakin banyak dan tumbuh bak cendawan selepas hujan. Maka sudah tentulah Tadika yang berasaskan Islam ini menjadi keutamaan. Apa yang mengejutkan adalah bayaran untuk anak-anak sekecil usia 4 tahun ini memasuki Tadika berunsurkan Islam tersebut sikit lebih kurang hantar anak masuk Universiti sahaja gayanya. Cecah juga ribu-ribu. Barangkali, banyak juga yuran yang harus dibayar kepada Francaisor untuk menggunakan jenama Tadika Islam tersebut. Tak mengapalah asalkan modul pembelajaran yang digunakan berkesan.

Tapi ada satu Tadika yang gua survey (bukannya Francais) turut mengenakan yuran kemasukan & yuran bulanan yang tidak kurang premiumnya juga. Bila ditanya secara lebih lanjut lagi, mereka turut mengatakan bahawa Tadika mereka memberikan dua kali walaupun untuk kelas pembelajaran setakat setengahari. Dalam hati gua berbisik, bagus juga Tadika ini. Ditanya lebih lanjut lagi tentang menu makanannya, mereka mengatakan bahawa di awal pagi, murid-murid akan diberikan makan buah-buahan. Kemudiannya  sekitar jam 9.30 pagi baru sarapan berat akan dihidangkan. Dalam kotak pemikiran akal manusia yang hidup di Kuala Lumpur ini bila mana disebut tentang sarapan berat sudah tentulah sudah terbayang seperti Nasi Lemak, Nasi Goreng, Mihun Goreng waima Roti Canai sekalipun pasti terlintas dalam fikiran. Tetapi pihak Tadika tersebut tidak langsung menyebut apa yang gua bayangkan itu. Tadika tersebut mendakwa sarapan berat yang dimaksudkan adalah Kek, Roti, mahu pun Makanan Bijirin. Ditambah dengan minuman susu jenama Dugro turut diberikan kepada murid-murid. Katanya lagi, mereka mengikut Sunnah Nabi dengan makan buah terlebih dahulu sebelum diikuti dengan sarapan berat. Gua punya berkerut waktu itu jangan cakaplah. Entah sejak bila Kek turut termasuk dalam senarai sarapan berat pun gua tidak tahu. Mujur juga gua masih sedar batas-batas seorang Muslim agar tidak mencarut di hadapan pemilik Tadika tersebut. Sudahlah yuran bulanannya boleh dikategorikan sebagai mahal. Tapi bagi makan murid-murid serupa itu sahaja?? Takkan la bab yuran mahal pun ikut Sunnah Nabi juga??

Alahai, apa nak jadilah. Masing-masing berlumba untuk menggunakan lesen atas nama ISLAM, lalu menawarkan produk dengan harga yang jauh lebih mahal daripada produk konvensional. Mufti mana Mufti?? 

Pencarian Tadika untuk anak gua masih diteruskan. Kalau tak jumpa juga yang sesuai (dari segi faktor harga + lokasi) maka pilihan yang boleh dikatakan sesuai (dari segi faktor harga + lokasi juga) maka sudah tentulah Tadika mengikut Sunnah Nabi itu tadi yang terpaksa gua pilih. Kalau anak gua tak pandai serupa Nabi tak tahulah nak kata.