Tuesday, November 26, 2013

Chana Era Star Sebuah Campervan


Amboi, bukan main skema tajuk entri gua kali ini Patuh Kamus Dewan orang kata. Beberapa purnama sudah gua pernah paparkan berkenaan spesis kenderaan yang telah mengalami mutasi, daripada sebuah lori kecil  menjadi sebuah Campervan. Ianya telah dibuat secara dalaman (in house) oleh insan yang menaruh minat begitu mendalam terhadap aktiviti kembara sebegini. Lori Chana yang gua paparkan ini bukanlah yang pertama dan bukanlah yang terakhir hasil kerja tangan beliau. Kini beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya (eceh..ayat serupa Majalah3 pula gua rasa) terhadap kerja-kerja merestorasi semula mana-mana kenderaan yang sesuai untuk disumpah menjadi Campervan.



Sejujurnya, sewaktu kali pertama bertentang mata secara langsung dengannya, gua memang kagum di atas kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan. Untuk makluman semua, Campervan ini sememangnya telah menjalani kerja-kerja fabrikasi semula bagi membina bahagian belakang supaya fungsi asalnya bagi mengangkat muatan ringan dapat dijelmakan pula sebagai untuk mengangkut ahli keluarga bersaiz kecil (Dua dewasa + dua kanak-kanak) Iya, lori kecil ini sememangnya kecil. Tapi percayakah bahawasanya ruangan dalamannya mampu memuatkan empat tempat tidur dengan kadar keselesaannya bolehlah ditolak ansur. Tiga ruangan di bahagian belakang manakala satu ruangan tempat tidur turut ditempatkan di bahagian atas bumbung pemandu.




Di bahagian dalamannya juga dibina ruangan untuk membolehkan stok makanan dalam tin dapat disimpan dengan kemas sewaktu kegiatan kembara bersama ahli keluarga dijalankan. Satu ruangan khas juga telah dibina khusus untuk menempatkan alat penghawa dingin mudah alih bagi memastikan mimpi lena seluruh ahli keluarga tidak terganggu di malam hari. Manakala, alat untuk membekalkan kuasa tambahan selain daripada penggunaan sel bateri tambahan, (Campervan ini mempunyai sebuah unit bateri tambahan yang boleh digunakan sewaktu enjin dimatikan), sebuah soket turut ditempatkan di bahagian luar/ pintu masuk Campervan ini bagi menyalurkan kuasa elektrik tambahan sekaligus dapat menjimatkan penggunakan kuasa bateri simpanan tersebut.



Sebuah tandas bersaiz kapal terbang turut ditempatkan dibahagian belakang pemandu bagi memudahkan urusan sakit perut dapat diuruskan dengan pantas sewaktu bermalam di tapak perkhemahan. Cumanya untuk manusia bersaiz seperti gua ini barangkali tidak beberapa sesuai untuk menggunakannya. Leceh juga sebenarnya nak kena ganti pintu tandas terkopak nanti.  Memandangkan terdapatnya tandas, ini bermakna tangki simpanan air turut ditempatkan di dalam Campervan ini. Jadi, urusan membasuh periuk dan memasak bukanlah satu masalah yang besar.
Jika ada yang skeptikal tentang kuasa yang mampu dijana oleh Chana Era ini, usah khuatir kerana individu yang mengubahsuainya telah pun membuat pandu uji sendiri sehingga ke tanah tinggi Genting tanpa ada masalah besar. Masalah kecil gua tak pasti.  Jika ada yang bertanya cuba-cuba untuk merisik untuk membeli Chana Era, maaf kerana model ini hanyalah bersifat prototaip buat masa ini kerana urusan mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib belum mendapat kata putus. Berbalik kepada isu budaya Campervan ini di Malaysia, perjalanan untuk membudayakannya masih terlalu jauh. Jika hendak dibandingkan dengan New Zealand, mereka menjadikannya sebagai salah satu tarikan pelancong. Maka, gua rasa juga ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menjelmakan Campervan ini sebagai salah satu tarikan pelancong ke negara kita suatu hari nanti. Langkah itu telah pun bermula sekarang. Kerana komuniti penggemar aktiviti sebegini telah mula menular sedikit demi sedikit. Cuma sedar dengan tidak sahaja.

Kredit : WingMotorhome

Nota Kaki : Entri yang sama turut diterbitkan di GearTinggi.com

Thursday, November 21, 2013

Peugeot 2008: Crossover Urban Yang Kacak Lagi Bergaya


Jenama Peugeot di Malaysia sebelum-sebelum ini bolehlah dikira sebagai melalui zaman suram. Namun semenjak Kumpulan Naza mengambil alih tampuk selaku pengedar sah, ternyata jenama buatan Perancis ini semakin mendapat tempat di kalangan pembeli tempatan. Kalau dilihat di jalanraya bandar-bandar besar, tidaklah sukar untuk melihat sang jejaka memandunya dengan penuh gaya. Tidak hanya menampilkan kereta sedan eksekutif, Peugeot kini tampil dengan barisan jentera yang mampu memenuhi selera setiap pembeli.

Bagi yang inginkan Crossover kecil, bergaya, moden dan ingin lari dari imej K-Pop, maka sewajarnya 2008 ini menjadi idaman hati. 2008 ini yang dibina berasaskan model 208, berjaya mewarisi rekaan Crossover mereka sebelum ini, 3008. Cumanya 2008 ini tampil dengan imej yang lebih maskulin dan perkasa, seumpama Fizo Omar gua rasa. Dengan dibantu Smart Park Assist pasti urusan keluar masuk ruangan parkir menjadi lebih mudah. Manakala bumbung panorama dengan lampu mood pasti memberikan perasaan yang berbeza sewaktu memandu di waktu malam sambil melihat awan di atas sana.

Skrin sesentuh berwarna 7 inci sambil dibantu oleh sistem bunyi Arkamys 3D yang handal cukup untuk menghiburkan halwa telinga dikala menempuh kesesakan di bandar-bandar besar. Untuk memudahkan urusan mengangkut muatan yang lebih besar, Smart One Touch Foldable Rear Seat pula tersedia untuk memudahkan kerja. Sebagai ciri standard keselamatan, enam beg udara dipasangkan berserta dengan ESP.
Di bawah hud enjinnya pula, bersemadi dengan tenang enjin 1.6 liter VTI, sama seperti model Peugeot 208 yang mempunyai kuasa 122 PS/160 Nm masih dikira memadai untuk sebuah Crossover bersaiz seperti ini.

Walaupun tempahan kini telah dibuka, namun dijangkakan model 2008 ini hanya akan dilancarkan pada awal tahun hadapan dengan aras harga sekitar RM118,000. Gua fikir, 2008 ini Jurujualnya tidak menghadapi masalah yang besar untuk menyakinkan masyarakat kenapa mereka harus beralih kepada jenama buatan Perancis ini. Setakat nak meredah banjir kilat di Kuala Lumpur ini gua fikir tak adalah rasa goyang sangat kepala lutut enjin mati ke tidak..iya tak?

Nota Kaki: Entri yang sama juga telah diterbitkan di GearTinggi


Tuesday, November 19, 2013

KLIMS 2013


Semalam gua sudah pun selamat menziarahi acara pameran kereta yang bertaraf antarabangsa katanya, Kuala Lumpur International Motorshow 2013. Gua ke KLIMS ini semalam bersama seorang rakan pejabat gua yang turut menaruh minat pada kereta. Sewaktu tiba di tempat yang mana turut berfungsi sebagai dewan untuk persidangan dan juga untuk acara nyanyi-nyanyi, gua dapati pengunjung agak ramai juga waima jam baru baru menunjukkan 11.00 pagi, ngam-ngam kaunter tiket dibuka. Tersedia menunggu gua dengan setia di kaunter tiket adalah Hanif, rakan pejabat yang gua maksudkan tadi.

Di Dewan 1, terhidang deretan kenderaan milik Toyota berkongsi dengan jenama Lexus disebelah kanan dewan. Di bahagian kiri dewan pula milik booth Volkswagen. Gua kira, jenama dari Jerman ini bersungguh-sungguh mahu menembusi pasaran tempatan dengan pelbagai produk untuk dihidangkan kepada para pembeli di Malaysia. Kalau mahu SUV premium, pilih sahaja Tuareg manakala yang mahukan kenderaan penumpang dengan harga yang mampu milik, sudah tentu Polo Sedan menjadi pilihan hati. Pun begitu, Toyota juga tidak mahu kalah dengan menawarkan Vios TRD. Cuma gua sedikit kecewa apabila Avanza tiada dalam senarai untuk di-TRD-kan.

Memasuki Dewan 2 pula, sudah tentu jenama Honda Odyssey paling mencuri perhatian, terutamanya pegunjung yang sudah berkeluarga. Tidak syak lagi, Odyssey generasi keempat ini pasti tidak susah untuk dijual kepada umum bersaing dengan Toyota Previa. Selain daripada itu, Dewan 2 yang cukup besar ini turut menempatkan booth milik Isuzu, Nissan, Infiniti, Daihatsu dan juga jenama dari China.

Melangkah tapak kaki ke Dewan 3 sudah tentu yang mencuri perhatian adalah booth Perodua dengan kereta sedan konsep yang jelas berjaya mencuri perhatian pengunjung. Mujur juga gua ini tidak punya kuasa sihir. Kalau tidak nescaya gua sudah sumpah agar kereta konsep ini terus diproduksikan dengan serta-merta. Silap haribulan, Jurujual Saga SV goyang woo. Jentera milik jenama Perancis turut berkongsi pentas dalam Dewan 3 ini turut berjaya mencuri perhatian pengunjung.

Dewan 4 pula gua tidak berapa gemar kerana pada perkiraan gua serupa dah tersalah konsep. Lebih kepada menonton pameran kereta klasik sahaja gayanya. Sekadar melengkapi ruang pameran yang ditinggalkan oleh Proton dan juga Mitsubihsi. Namun kekecawaan gua sedikit terubat apabila melangkah dewan terakhir untuk melihatkan Hyundai & Ford juga serius dalam mengambil bahagian KLIMS edisi ke 8 ini. Gua paling suka dengan keterampilan pegawai dari Hyundai yang kelihatan sangat kemas dan professional tak ubah gaya seperti CEO. Maklumlah, jentera yang dipamerkan sememangnya kelihatan untuk bos-bos belaka.

Secara keseluruhannya gua masih boleh berasa puas hati walaupun gua sebenarnya tak berpuas hati. Apa pasal makwe separa bogel bersepah sana sini?? Gua keliru juga sebenarnya. Gua pergi tengok pameran kereta atau pun Kelab Malam ni?? Mujur member gua si Hanif itu kelihatan Syariah seperti gua juga.Jenis perati kereta daripada dada perempuan. Kehkehkeh!!

Notakaki: Ulasan tentang kereta yang lain-lain gua akan muatnaik dalam GearTinggi dan juga blog ini sedikit masa lagi.

Saturday, November 16, 2013

Iblis Pasu Bunga

Iblis Satria Kuning bersama Iblis Pasu Bunga

Gua rasa isu seperti ini semakin menjadi-menjadi khususnya buat mereka yang tinggal di kawasan perumahan yang mana tuan rumahnya telah mengubahsuai rumah mereka sehingga tidak serupa rumah lagi sehingga menyebabkan ruang parkir langsung tiada, lantas menjadikan ruangan yang mana sepatutnya digunakan untuk laluan jalanaraya dua hala dengan cukup selesa telah dijadikan ruangan untuk meletakkan kereta yang mana setiap rumah kadang kala mempunyai sehingga empat buah kereta!! Jadah apa serupa Pusat Jualan Kenderaan Terpakai pula gua rasa.

Ternyata Iblis yang selalu gua gembar-gemburkan itu telah menular sehingga menjelma sebagai Pasu Bunga pula. Gua sedih  melihatkan senario seperti ini berlaku, kerana ianya melibatkan Umat Islam juga sebenarnya. Apakah hanya merasakan rumah dia terletak berhadapan dengan jalanraya tersebut, maka secara otomatisnya ruangan di hadapan itu milik seluruh ahli keluarganya juga sehinggakan pernah ada sebuah kereta yang lain meletakkan kereta di ruangan Pasu Bunga tersebut telah diletakkan notis berbaur amaran supaya mengalihkan kereta dari tempat tersebut. Sesungguhnya, gua tidak langsung berasa apa sekiranya pemilik Pasu Bunga tersebut telah membayar sejumlah wang kepada pihak DBKL (oh ya, kawasan perumahan ini terletak di bawah seliaan DBKL) sehinggakan beliau diberikan hak secara ekslusif sehingga boleh menempatkan berbuah-buah kenderaan milik ahli keluarga beliau. Macam haram jadah perangai.

Entahlah, gua selalu benar terasa hati dengan perkara-perkara kecil sebegini. Mudah benar sensitif. Dah tua barangkali. Kahkahkah.!

Monday, November 11, 2013

Tentang Siri Upin & Ipin


Gua fikir seluruh pelosok tanahair sudah pun sedia maklum tentang siri animasi tempatan Upin & Ipin yang cukup tersohor sehingga mendapat tempat di negara luar. Gua memang tengok Upin & Ipin dan gua juga yakin ramai di kalangan ibubapa turut mengikuti siri tersebut. Akan tetapi, gua bukannya nak ulas tentang siri animasi tersebut. Gua cuba ulas dari sudut yang lain pula. Maksud gua, dari segi sudut pengiklanan / penajaan yang mana gua fikir ramai juga terlepas pandang tentang perkara ini.

Umum mengetahui bahawasanya Upin & Ipin sejak beberapa musim yang lalu telah dibawakan oleh Telekom Malaysia (TM) selaku penaja utama. Dalam kisah Opah pergi menunaikan Umrah sewaktu musim Raya Eidilfitri, ada digambarkan secara jelas bahawasanya jikalau inginkan panggilan murah antara Malaysia dan juga Mekah, gunakanlah produk TM ini. Ada juga kisah di mana Upin & Ipin serta rakan-rakannya menonton siaran secara atas talian menggunakan produk dari TM juga. Gua amat yakin impak yang ditinggalkan bukanlah kecik anak.

Syarikat pembuat kereta tempatan, Proton turut pernah menaja salah satu episod siri Upin & Ipin dengan mempertaruhkan Proton Exora sebagai subjek untuk diketengahkan kepada umum. Dipaparkan dalam episod tersebut tentang segala kelebihan Proton Exora. Gua tak pasti entah berapa ramai ibubapa yang terpengaruh dengan episod tersebut sehingga bertukar dari kenderaan sedan kepada Proton Exora tersebut.

Selain daripada dua jenama tersebut, suka juga untuk gua maklumkan bahawa jenama susu S26 dan juga Hong Leong Islamic Bank turut pernah bekerjasama dalam menghasilkan episod Upin & Ipin ini. Apa yang membuat gua suka untuk menontonnya adalah setiap episod yang dipaparkan tidaklah melampau-melampau sangat dipaparkan tentang segala kelebihan sesuatu jenama yang tersebut. Setiap jalan ceritanya diolah dengan cukup menarik, supaya anak-anak kecil dan anak tak berapa nak kecil dapat menikmati jalan cerita tersebut tanpa rasa bosan. Yang penting, mesej sampai kepada penonton. 

Penutup kepada entri kali ini adalah, umum juga mengetahui bahawa Upin & Ipin merupakan anak yatim piatu sejak kecil lagi. Jadi, gua fikir mana-mana organisasi yang terlibat dalam dunia pengamanahan seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menaja salah satu episod dalam siri Upin & Ipin. Sebenarnya penajaan ini bukannya isu untuk mendapatkan jualan sahaja, tetapi sebenarnya melalui penajaan sebeginilah sebenarnya kita berpeluang untuk menonjolkan ciri-ciri baik sesebuah organisasi tersebut, iye tak?? Isu jumlah jualan akan datang kemudian. Kalau ada yang berbunyi kata moda besar nak taja perkara sebegini, baik tak payah berbunyi. Meniaga aja kat Facebook. Kahkahkah!!

Thursday, November 07, 2013

Kuih Keria Antarabangsa Limbongan


Gua fikir, kalau dicari seantero pelusuk Tanah Melayu pun gua tidak akan jumpa kuih Keria sesedap ini. Sumpah, ini adalah merupakan satu-satunya kuih Keria yang paling sedap di dunia. Tak perlu nak mencarinya sehingga ke pelusuk kampung, lu orang datang ke Melaka, atau pun lebih tepat lagi, di kawasan Limbongan lu orang sudah pun boleh mendapatkan kuih Keria yang gua gembar-gemburkan ini. Rasa kuih Keria yang diperbuat daripada Keledek yang mana kemudiannya telah dicelup bersama Gula Melaka sehingga ianya meresap ke dalam jiwa kuih Keria tersebut hingga membuatkan sang pemakannya berasa tidak cukup dengan hanya memakan seketul sahaja. Dua juga tidak cukup sebenarnya. Entah, gua sendiri tak berapa pasti berapa ketul baru berasa puas. Tetapi awas, kekerapan memakan kuih Keria ini bakal mengundang semut menghurung lu orang sehingga ke lubang tandas.

Jadi, bagaimana untuk mendapatkannya? Jikalau lu orang mempunyai urusan di Melaka, janganlah lupa untuk singgah mencari gerai yang menjualnya di kawasan Limbongan. Sebenarnya tidaklah berapa susah untuk mencari gerai yang turut menjual Laksa. Masing-masing pakai telefon jenis yang pintar bukan. Buat sahaja tetapan menggunakan GPS untuk mencari kawasan Limbongan ini. Kalau nampak ada kereta sibuk berhenti tepi jalan, maka tidak syak lagilah carian lu orang terhadap kuih Keria yang sangat lazat ini telah pun berakhir. Tapi awas, gerai ini dibuka seawal jam 2 petang. Sekiranya lewat ke gerai ini, kebarangkalian kegagalan mendapatkan kuih Keria ini tersangatlah tinggi. Kecewa. Oh ya, jangan di cari kuih Keria ini pada hari Jumaat kerana gerai ini ditutup pada hari tersebut.



Monday, November 04, 2013

Imej Korporat

Dewasa ini sudah menjadi kelaziman buat mana-mana organisasi untuk menampilkan para pekerja mereka berpakaian Baju F1 yang kemudiannya dijelmakan sebagai pakaian Kemeja Korporat sebagai simbol bahawa organisasi mereka maju, bergaya dan hensem. Dan terkini, pakaian T-Shirt turut diangkat sebagai salah satu imej korporat yang ingin dibawa oleh sang organisasi. Acap kali  Kemeja Korporat & T-Shirt Korporat ini digayakan oleh orang bawahan di majlis-majlis keraian sama ada yang dihadiri oleh Sang Menteri hatta Ketua Kampung sekalipun. Masing-masing ingin berlumba bahawa organisasi merekalah yang paling handal sekali apabila bab berfesyen ini.

Baguslah sebenarnya. Paling tidak masyarakat tahu ianya mewakili organisasi tertentu. Selain daripada baju yang kemas & cantik, paling tidak sebenarnya ianya juga merupakan cabang dalam kategori aktiviti Pemasaran. Tapi gua perati banyak juga organisasi sering terlepas pandang. Selain daripada pakaian, lanyard juga sebenarnya mampu untuk memainkan peranan sebagai menonjolkan imej Korporat. Baju Kemeja Korporat itu bukan pakai kacak lagi bila dipakai dengan poket kiri kanan dada entah nak isi apa pun gua tidak tahu tapi pakai lanyard yang sudah lunyai serupa tali rafia jadah apa?? Takkan tak reti-reti nak ganti yang baharu??  Nampak..?? Nampak..??