Thursday, October 29, 2015

Belasungkawa Zainol JKR - Selamat Tinggal Derita


 

Al-Fatihah Buat Allahyarham Zainol Hussain (merupakan anak bongsu kepada pasangan Allahyarham Hussain Bin Yaacob & Allahyarhamah Siti Binti Said) yang telah kembali ke PenciptaNya tanggal 15/10/2015 waktu tengahari di HUSM, Kubang Kerian.  Sedikit perkongsian umtuk dikenang, buat tatapan terutamanya buat keluarga di Kelantan yang sudi menjaga dan menerimanya yang pasti belum puas untuk mengenali Arwah sepenuhnya dan tak lupa juga buat rakan-rakan Arwah di JKR/KKR.

  • Arwah Zainol dilahirkan pada 17/05/60 dan telah dibesarkan di Ampang dan menetap sejak sekian lamanya di Taman Selayang. 
  • Nama Twin, Zainal, adalah merujuk kepada orang yang sama juga. Akan tetapi ahli keluarga terdekatnya lebih senang memanggilnya Non.
  • Telah berkerja dengan JKR sejak berpuluh tahun lamanya dan berkhidmat di Perancang Jalan pun boleh tahan lama juga. 
  • Di zaman mudanya, amat menggemari muzik berentak Pop. Maka, kaset artis seperti Duran Duran, Timy Thomas, Art Company, Culture Club, Michael Jackson, dan lain-lain artis Pop era 80an yang terkenal memang cukup banyak koleksinya.
  • Penulis dengan Arwah juga memang rapat sedari kecil kerana telah tinggal bersekali di Taman Selayang. Penulis sering di bawa menonton perlawanan bolasepak membabitkan pasukan Selangor di Stadium Merdeka dengan menaiki motosikal Suzuki Best yang tersangatlah best-nya di kala itu.
  • Penulis amat yakin, Arwah seorang yang amat disenangi oleh rakan-rakannya kerana perwatakannya yang dikenali bukanlah seorang yang bercakap kasar dan meninggi diri. Arwah seorang yang jenis lembut hati walaupun berpenampilan rugged.
  • Walau seberat mana pun masalah yang Arwah tanggung sewaktu hayatnya, Arwah jarang mempamerkan kepayahan dan keperitan derita yang ditanggunginya.Arwah pernah menggunakan Kad Kredit hanya semata untuk membeli telur sahaja dek kerana ketidakcukupan wang di dalam dompetnya tanpa diketahui oleh ahli keluarganya yang lain. 
  • Pernah mendirikan rumahtangga buat pertama kali dan dikurniakan 2 orang anak perempuan dan seorang lelaki, namun telah berpisah pada 2013.Tiada jodoh orang kata.
  • Arwah telah dihalau keluar rumah sehelai sepinggang pada 2013. Pada malam hari yang hening , beliau hanya duduk termenung di bawah jejambat Lebuhraya Plus Rawang mengenang nasib diri. Lalu dihubungi Kakak yang disayangi Hasnah Hussain untuk meluahkan isi yang terbuku di hati. Dan menetaplah Arwah di Taman Koperasi dikemudian hari.
  • Walaupun pernah dihambur dengan kata hinaan yang berupa bahawasanya beliau tidak mungkin akan bahagia setelah berpisah dek kerana ketidakberadaan harta benda, namun sesungguhnya jodoh Allah usah diduga. Arwah ditakdirkan untuk menemui jodoh dengan seorang Ibu Tunggal yang berasal dari Pasir Mas yang sudi untuk menerima Arwah dengan hati yang terbuka untuk mengubati hati yang berduka lara. Tanggal 28 Disember 2013 Arwah disatukan dengan Cik N. 
  • Arwah mula didapati kurang sihat serta mudah demam kemudiannya. Pernah beberapa kali Arwah dimasukkan ke Hospital Ampang dan juga Hospital di Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan tanpa diketahui musababnya.. Lalu didiagnos ada Nanah dalam hatinya. Sungguhpun beliau dalam keadaan kurang sihat dan tidak bermaya, Arwah cuba sedapa upaya untuk kelihatan biasa-biasa di hadapan orang yang menziarahinya.
  • Arwah mula disahkan menghidap Kanser Hati Tahap 4 kira-kira pertengahan tahun ini daripada pihak Hospital di Kota Bharu. Pada mulanya Arwah keberatan untuk memberitahu kepada ahli keluarga yang lain namun, Ayang (Anak tiri) berjaya mendapat tahu khabar tersebut lalu dikhabarkan pula kepada Mamanya (Cik N) yang terus mengkhabarkan berita duka tersebut kepada ahli keluarga di KL.
  • Sungguhpun demikian, sewaktu Arwah pulang ke KL di rumah kakaknya, Arwah masih cuba kelihatan biasa-biasa seperti kelaziman dirinya. Arwah sempat berubat secara tradisional dan hasilnya  Nanah di hatinya berjaya disembuhkan. 
  • Setelah mendapat MC setahun, Arwah memilih untuk menetap di Peringat, Kota Bharu supaya berada dekat dengan isterinya. Demikian pun berkeadaan tidak sihat dan sakit, Arwah kelihatan gembira sewaktu berada di sana. Masih boleh ke sana ke sini tanpa rasa gundah dipamerkan di wajahnya. Menjemput & menghantar isteri adalah rutin kehidupan Arwah.
  • Kegembiraan Arwah berganda apabila dikurniakan Bayi Perempuan kemudiannya. Sewaktu Arwah pulang ke KL untuk menjalani di rawatan di sini, jelas terpancar keseronokkan di wajahnya kerana punya anak kecil. (Arwah sememangnya menyukai anak kecil dan beliau amat menyayangi cucu sulung beliau Atta yang kemudiannya tidak lagi berpeluang untuk bertemu waima sekali. Dan sebagai ganti, Arwah menjadikan Aliff Mikael & Adra Nur Hannani sebagai tempat mencurahkan kasih sayangnya terhadap anak kecil selama menetap di KL)
  • Pulang semula ke Kota Bharu, Arwah meneruskan kehidupan seperti kelazimannya walaupun terdapat sedikit perubahan fizikal yang semakin mengurus susuknya.
  • Ironinya, Arwah dimasukkan ke Wad ICU HUSM tanggal 4/09/2015 (Jumaat) dan Penulis dikurniakan bayi perempuan pada 05/09/2015. Walaupun Penulis berasa gembira, namum kesedihan turut bersarang dihati dek kerana Paksu kesayangan terlantar di hospital tanpa berkesempatan untuk menziarahi.
  • Kakak Arwah, Hasnah Hussain serta beberapa ahli keluarga yang lain telah berkunjung ke Kota Bharu hampir saban minggu untuk menziarah. 
  • Penulis sempat menziarahi Arwah awal Oktober yang lalu. Perasaan sedih sukar digambarkan melihatkan susuk tubuhnya terlalu mengecil. Arwah seakan sedar akan kehadiran Penulis sewaktu menziarahinya dan kelihatan Arwah mengalirkan air mata tangis. Dikala itu juga, dikhabarkan sebelumnya bahawa Buah Pinggang telah gagal berfungsi. 
  • Menambahkan lagi rasa duka. Sungguhpun demikian, Cik N tetap tabah dan tidak putus berdoa di siang dan malamnya agar kesembuhan segera diberikan kepada suami tercinta. Menziarahi suami tercinta disamping harus menguruskan si anak kecil, Intan Delisha dalam keadaan yang serba tidak selesa bukanlah perkara mudah. Namun, Cik N tetap terus tabah mengharungi hari demi hari. Solat Hajat turut dilakukan di Kelantan dan juga rakan-rakan Arwah di JKR bagi memohon pertolongan Tuhan Yang Satu.
  • Sedikit perkhabaran gembira diterima dari pihak Hospital bahawasanya Buah Pinggang Arwah tidak lagi mengalami sebarang kegagalan fungsi seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini. Kuasa mustajab doa barangkali. Berita ini juga diterima dengan hati yang senang oleh ahli keluarga di KL.
  • Arwah akhirnya dipindahkan ke Wad biasa setelah ada sedikit perubahan positif. Namun, memerlukan penjagaan yang cukup rapi sehingga Cik N sanggup untuk mengambil perkhidmatan penjagaan Jururawat Swasta bagi menjaga sementara Cik N keluar bekerja di siang harinya. Sempat jugalah Arwah tinggal di Wad Biasa selamat 2 hari. Ayang juga sanggup untuk bermalam di hospital untuk menjaga Papanya. Ternyata, berstatuskan tiri tidak pernah mengenal erti kasih dan sayang Ayang terhadap Papanya. Jelas Ayang begitu menyayangi Arwah Papanya itu. Ayang juga turut menjaga Papanya sewaktu Arwah masih di ICU.
  • Tanggal 15/10/2015 pasti akan dikenang buat selamanya. Lebih kurang 1.30 tengahari Arwah meninggalkan dunia dalam keadaan yang tenang tanpa perlu bertarung dengan Sakarataul Maut, menurut Sang Jururawat yang menemani di hospital.Cik N pula dikala itu dalam perjalanan untuk menjemput Ayang dari sekolah, sebelum ke hospital untuk menjengah seketika sebagaimana rutin sebelumnya. Cik N segera menghubungi Kakak, Hasnah Hussain menyampaikan khabar dukanya itu. Penulis pula terus mengemaskini status di FB dengan tujuan memaklumkan kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Arwah.
  • Menurut  Cik N, pada Awal Muharram beliau telah bermimpi didatangi Arwah agar "melepaskannya pergi", memandangkan Arwah telah sekian lama menanggung derita sakit. Ternyata, itu adalah pertemuan terakhir di alam mimpi yang pasti tidak akan ditemui lagi.
Kesempatan yang ada ini, Penulis bagi pihak keluarga Arwah di KL ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat keluarga di Kelantan yang sudi menerima, menjaga, & menguruskan Paksu kami hingga ke akhir hayat. Buat Cik N & Ayang, moga Allah kurniakan Pahala dengan sebanyak-banyaknya kerana begitu menyayangi dan mengasihani Arwah, sungguhpun demikian ternyata Allah lebih menyayanginya.Terima kasih juga buat CIk N kerana sudi untuk menjadi Bunga, menghiasi Dada Paksu hingga ke akhirnya.

Al-Fatihah Buat Zainol Hussain.