Friday, June 28, 2013

Tentang 1926 Heritage Hotel Penang



Khas untuk penggemar ke Penang. Kali ini gua nak kongsikan dengan lu orang tentang satu tempat penginapan yang sentiasa senasib dengan gua, mempunyai gaji setaraf dengan gaji kerani sebuah bank sahaja. Hotel yang bertaraf bajet, tetapi memiliki fasiliti serupa kapal selam.

Hotel yang gua maksudkan ialah 1926 Heritage Hotel. Berlokasikan di Jalan Burma yang mana tidaklah berapa jauh daripada Georgetown, asalnya merupakan tempat tinggal pegawai British yang menetap di sini suatu ketika dahulu. Gua telah menginap sebanyak dua kali di sini. Pertama kali menginap sewaktu gua berkunjung ke Penang tahun sudah bersama Brader Sasa menjalankan misi sulit. Mujur juga sewaktu tidur sebilik dengan beliau tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Yang terbaru minggu sudah gua sekali lagi telah menginap di hotel yang boleh tahan murah ini.

Kenapa gua suka menginap di sini adalah kerana lokasinya yang terletak tidak begitu jauh dari Georgetown. Senanglah kalau pergi Pasar Chowrasta beli jeruk mak kirim. Nak pergi makan-makan di Gurney Drive pun sebenarnya tak berapa jauh sangat dah. Kira lokasi hotel ini memang strategik jugalah. Serba-serbi dekat.


Dari segi fasiliti, gua kira memang sangat berbaloi dengan apa yang dibayar sewaktu daftar-masuk [kalau nak daftar masuk seawal jam 12.00 tengahari silalah sah kan semula beritahu nak daftar-masuk awal]. Untuk bilik standard yang boleh memuatkan dua orang, harga yang perlu dibayar adalah serendah RM110 [tambah RM20 untuk caj hujung minggu kalau tak salah] sahaja. Apa yang lu orang akan dapat adalah setanding dengan lu orang menginap di hotel berbajet besar. Malah lu orang akan dapat lebih lagi. Ubat nyamuk turut disediakan. Barangkali, hotel yang bersaiz dua tingkat ini terletak berhampiran dengan kawasan perumahan memungkinkan nyamuk membaik dengan begitu efisyen sekali. Untuk yang membawa anak-anak juga amat sesuai sekali kerana hotel ini turut mempunyai kolam renang dewasa dan juga kanak-kanak. Biasanya golongan berkeluarga ini amat mementingkan kewujudan kolam renang demi memastikan keriangan anak-anak berada di tahap cemerlang.


Ok, sekarang ni gua nak beritahu tentang apa yang tidak berapa seronok berkenaan hotel ini. Memandangkan ruang menuju ke bilik tidak beralaskan karpet [hanya beralaskan mar-mar] maka lu tahap kebisingan kasut keletak-keletuk di luar bilik memang jelas kedengaran. Itu belum lagi ada pengunjung yang mempunyai anak serupa Jaclyn Victor dia punya pitching. Mujur juga di kala malam hari tidak pula kedengaran suara Askar British berkawad kaki luar bilik.

Berkenaan sarapan pagi, sewaktu gua pergi minggu sudah tiada lagi sarapan disertakan dengan harga bilik. Nak kena tambah sikit duit untuk bersarapan di hotel. Tapi gua fikir, daripada bayar ke hotel ini untuk bersarapan yang entahkan sedap entahkan tidak, ada eloknya pergi cari kedai mamak untuk bersarapan. Lagi puas melantak gua fikir. Jadi, gua kira, pelaburan untuk penginapan bagi hotel bertaraf bajet ini sangatlah sesuai kepada golongan marhean. Silalah Cuti-Cuti Malaysia untuk meredakan tekanan kerja yang tak pernah sudah tu.

Kredit Gambar: 1926 Heritage Hotel

Tuesday, June 25, 2013

Retorik-kah Buat Wasiat Pemudah Pusaka ?

Gambar Ilustrasi ihsan Google

Amacam, sesekali gua bubuh tajuk yang berilmiah pun cara juga iye tak? Berdasarkan pengalaman gua yang telah menjebakkan dalam dunia perwasiatan dan juga perpusakaan secara semenjak tahun 2006 lagi, maka sewajarnnya gua kongsikan apa yang patut gua kongsi dengan pembaca semua. Dewasa ini gua jamin semakin ramai yang telah mempunyai wasiat  [gua tidak menggunakan terma membuat kerana ramai yang tidak tahu bahawasanya mereka membuat wasiat secara paksa-rela melalui pinjaman di institusi kewangan]. Namun kepada yang membuat Wasiat atas kesedaran sendiri, maka jutaan Tahniah gua ucapkan. Tak sia-sia P.Ramlee membuat cerita Tiga Abdul itu. Berjasa sungguh juga.si Sulaiman Akhlaken.

Kepada yang pernah menghadiri ceramah / mendapat brosur / melihat iklan / membaca artikel / didatangi penjual Wasiat / apa sahaja berkaitan Wasiat ini sudah tentu ada tahu salah satu point terbesar [kononya] elok membuat Wasiat ini adalah pengagihan harta pusaka yang cepat berbanding tanpa adanya Wasiat. Waima gua dulu-dulu pun pernah juga memberikan sebab yang sama kepada orang ramai tentang mengapa kena buat Wasiat. Namun, semenjak bergelumang dengan arena perpusakaan [dah macam perpustakaan pula gua rasa], sebenarnya apa yang dituturkan tidak berapa tepat. Tetapi gua bukannya kata tidak cepat, tetapi kalau handle kes pusaka ni sebenarnya bukan perkara yang harus dianggap enteng dan mudah. Bilamana bukan perkara enteng dan dianggap mudah, maka sudah tentulah prosesnya juga mengambil masa. Jadi, mengatakan membuat Wasiat dapat mempercepatkan proses pengagihan harta pusaka sebenarnya tidak berapa tepat. Cuma ada kes-kes tertentu sahaja ianya menjadi secepat dan selaju LRT.

Nah, barangkali lu orang dah boleh mengatakan bahawasanya tidak perlulah untuk membuat Wasiat jikalau serupa itu, iye tak? Jadi, untuk apa sebenarnya lu orang membuat Wasiat? Jawapan yang akan gua berikan adalah kerana, melalui Wasiatlah sebenarnya lu orang boleh membuat kebajikan dengan menyatakan derma sedekah jariah tidak kurang daripada 1/3 jumlah harta yang ada. Nak bagi ke Masjid ke, Surau ke, Rumah Anak Yatim ke, silakanlah. Bukankah itu yang menjadi bekalan buat kita semua "di sana" kelak? Sepanjang penglibatan gua dalam arena perpusakaan ini, pernah jugalah berkali-kali gua terlibat dalam penyerahan cek kepada mana-mana badan kebajikan yang mana ada diantaranya bernilai sebuah Nissan Almera. Paling tidak, gua dapat "tumpang" sikit pahala arwah kerana menyampaikan hasrat murni beliau pun sudah memadai. Manakala, selebihnya 2/3 bahagian lagi, lu orang nak serahkan kepada waris-waris yang ada mengikut pembahagian masing-masing terserah. Soal mendapat bangkangan ke, itu pandai-pandailah pegawai pusaka tersebut nak uruskan bagaimana. Pengalaman gua mengendalikannya, jarang betullah ada pertelingkahan waris. Elok sahaja bermuafakat. Barangkali, disitulah fungsinya sesi pembacaan Wasiat dengan semua waris-waris yang ada.

Selain itu juga, kepada sesiapa yang tidak mempunyai anak / waris / sebatang kara / mempunyai anak angkat juga amat-amat digalakkan untuk menulis Wasiat.  Maka, golongan sebeginilah yang patut menulis Wasiat 1/3 untuk menderma demi memastikan kelangsungan pahala berterusan. [anak angkat juga tergolongan dalam penerima bukan waris, maka layak juga untuk menerima 1/3 bahagian harta pusaka tersebut melalui Wasiat]

Berbalik kepada tajuk entri di atas, cepat atau lambat / cara pembahagian dituruti atau tidak sebenarnya bergantung banyak faktor. Tapi bos gua pernah beritahu. Kalau cara mana dapatkan harta itu dengan elok, maka elok jugalah pembahagian / cepat jugalah pembahagian sesuatu harta pusaka tersebut. Amacam?? Ada rasa nak buat Wasiat ke tidak sekarang ni? ASB sama Tabung Haji banyak-banyak tu nak kasi sapa??

Monday, June 24, 2013

Pasembuq Penang Mari


Apabila bercerita pasal Penang, secara otomatis, gambaran tentang Pasembuq pasti tidak lari dari jelmaan di otak pemikiran kita sebagai manusia yang normal. Gua kira, Pasembuq ini sudah boleh diangkat sebagai satu lagenda yang masih wujud sehingga kini. Sesungguhnya gua rasa amat berbangga kerana Pasembuq ini lahir di bumi Malaysia secara amnya, dan Penang secara khususnya, Gua tak boleh bayangkan kalau Pasembuq ini berasal dari benua lain. Leceh juga nak kena beli beli tiket kapal terbang semata nak pekena Pasembuq ni.

Pasembuq ini secara asasnya merupakan kuih udang yang digoreng secara rangup sambil disertakan sekali sengkuang dan juga timun sambil disirami dengan kuah pekat berwarna gelap yang mempunyai rasa pedas dan manis yang seimbang. Namun sejajarnya dengan arus pemodenan, Pasembuq dewasa ini turut mengalami anjakan paradigma bilamana selain daripada kuih udang, segala isi makanan yang lain turut berpotensi untuk dijadikan sebahagian daripada Pasembuq. Nak bubuh ubi kentang, telur rebus goreng, waima segala jenis bebola makanan pun layak untuk meraih populariti sebahagian daripada Pasembuq ini.

Namun, sewaktu berkunjung ke Penang untuk pekena Pasembuq ini, tahap keberhati-hatian hendaklah tinggi. Silap haribulan, memesan Pasembuq ini serupa memesan tiket kapal terbang tambang murah dia punya harga. Konon murah padahal mahal. Beberapa tahun sudah gua pernah secara sengaja memesan Pasembuq di Padang Kota Lama untuk satu pinggan besar sekali dia caj gua serupa gua makan sampai tiga puluh orang. Itu tahun dahulu. Kalau pergi waktu sekarang ni yang sememangnya serba-serbinya dah naik harga, mahal serupa kapal selam.

Tetapi, kepada penggemar Pasembuq ini tidak usah berasa khuatir dan bimbang kerana jika pandai mencari masih terdapat lagi Pasembuq dengan harga yang gua kira masih lagi munasabah. Salah satunya yang boleh gua syorkan adalah di Medan Selera Padang Broom @ Padang Brown. Setakat yang gua dah pergi berkali-kali ni, rasa dan harganya masih lagi berada pada tahap yang sama. Yang penting, rasa Pasembuq ini masih lagi sama seperti Pasembuq. Tidak berubah sama sekali. Manakala Pasembuq di Medan Selera Gurney Drive itu pun sebenarnya sedap juga tapi gua syak harga dia pun dah sikit lagi menyamai harga kapal selam. Jadi, kepada pemburu makanan sekalian alam, bergegaslah kamu ke Padang Broom @ Padang Brown untuk pekena Pasembuq ini

Thursday, June 20, 2013

Petua Elak Silau Memandu Di Malam Hari

Ada nampak button kat bawah cermin pandang belakang tu?? [gambar gua pinjam GT punya]
Amacam, gua memang suka membubuh tajuk yang entri yang panjang. Kali ini gua nak kongsikan tentang satu petua ringkas. Gua berani jamin, berapa kerat sahaja yang mengetahui tentang apa yang ingin gua kongsikan. Lu orang sudah tentu pernah mengalami pengalaman silau yang begitu menyakitkan hati apabila pulang ke kampung halaman di waktu malam secara tak semena-mena ada kereta yang meluru seperti kereta api laju daripada arah belakang sambil disilaui dengan lampu putih yang begitu menyakitkan mata dan tak  kurang juga menyakitkan hati. Dalam hati terdetik, pasti jenis kereta-kereta mahal buatan Jepun mahupun Eropah sedang meluru laju. Bertambah menyakitkan hati, kereta tersebut berulang kali memberikan lampu tinggi seolah kereta dia yang paling laju. di muka bumi meminta diberikan laluan. Sekali bila dah diberikan laluan, yang melepasi cumalah Myvi SE 1.5. Sakit hati betul dibuatnya. Rasa macam nak bagi penendang, iye tak? Tak mengapalah. Barangkali pemandunya sedang mengalami sakit perut dan perlu bergegas ke R&R berikutnya. Kita bersangka baik sahajalah. Tapi jadah apa yang pergi pasang lampu putih serupa lampu limpah stadium yang silau itu sapa suruh??

Ok, disebabkan oleh itu, izinkan gua untuk berkongsi dengan lu orang satu perkara. Perasankah lu orang tentang satu button [butang/alat pemetik kecil - sori, gua tak berapa pasti nak panggil mende alah ni] yang terletak di bahagian bawah cermin pandang belakang. Jikalau berhadapan dengan kejadian silau-menyilau ni, maka apa yang perlu lu orang lakukan hanyalah dengan menolak/menariknya ke atas sahaja. Maka secara automatis pandangan lu orang tidak lagi akan berasa silau kerana cahaya lampu putih tersebut telah pun dipantulkan ke bahagian atas, Tapi lu orang jangan risau, sebab pemandangan lampu-lampu kereta di bahagian belakang masih lagi jelas kelihatan tanpa perlu berasa risau tentang silau. Kalau lu orang tak percaya, cubalah ketika memandu di kala bulan mengambang malam hari. Insya Allah masalah silau ini dapat diatasi dengan jayanya. Kalau silau di siang hari tu, pandai-pandailah lu orang nak cari spek hitam pakai. 

Wednesday, June 19, 2013

Aku Sebuah Power Bank



Aku adalah sebuah Power Bank. Iye, begitulah tajuk yang ingin aku sampaikan kepada semua pembaca budiman semua. Jangan dihairankan dengan tajuk yang sebegini. Bukankah semasa kita semua bersekolah rendah dahulu acapkali cikgu Bahasa menyuruh kita menulis karangan seperti Aku Sebuah Pembaris, Aku Sebuah Pensil, Aku Sebuah Buku dan tak kurang juga Aku Sebuah Kasut Sekolah. Maka, sejajar dengan arus permodenan dan zaman teknologi, maka terbitlah cerita Aku Sebuah PowerBank ini. Iye, aku memang sebuah PowerBank yang mempunyai kuasa 5000mAh. Buat yang tidak tahu mAh itu bererti Milliamps Hour yang berfungsi untuk mengukur ke-power-an sesebuah bateri. 

Nama ku, Romlan Askolani Abdullah Nama asal ku, Zhao Jinhua dan berasal dari sebuah daerah pedalaman China, Guangxi. Ibu bapa ku adalah seorang pesawah di kampung. Kami semua hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun agak terpencil dari arus kemodenan. Kami cuma memerlukan kemudahan yang sangat asas untuk terus hidup. Sungguhpun demikian, kelajuan Wifi dikampung ku sudah lama mempunyai jalur lebar tertaraf 4G secara percuma sedangkan ditempat baharu ku ini baru sahaja sibuk nak lancar sana sini. Walaupun di mata kasar kami hidup serba kekurangan, namun kami amat mengikuti setiap perkembangan yang terjadi di luar sana. Sebarang bentuk berita gempa bumi mahupun berita majlis perkahwinan bertaraf diraja tetap dapat kami semua ikuti di kampung tanpa sebarang masalah. Setakat nak menonton klip video dak Bobo yang semakin popular itu sikit pun tiada sebarang masalah dan gangguan.

Namun, apa bila kepulangan salah seorang teman akrab ku ketika sambutan Tahun Baru yang lalu, membuatkan hati aku tergerak sama untuk berhijrah ke bandar. Setelah mendapat restu dari kedua orang tua ku, maka aku tekadkan hati untuk berhijrah. Cadangnya untuk ke Jepun, boleh juga menyambung pengajian dalam bidang IT. Namun bimbang kerana faktor kos kehidupan yang sememangnya tinggi di negara Ninja tersebut. Akhirnya aku memilih untuk ke Malaysia sahaja. Berdasarkan carian di Internet, PowerBank seperti aku ini semakin mendapat perhatian sana sini. Barangkali ini peluang terbaik untuk aku untuk ke sana.

Setelah menempuh perjalanan melalui udara selama berjam-jam lamanya, akhirnya aku selamat tiba di bumi Malaysia tercinta. Mujur juga urusan kastam dan juga imigresen berjalan lancar. Dengan menggunakan ejen, aku akhirnya di bawa terus ke sebuah kedai IT-IT di kawasan yang tidak berbukit tetapi mempunyai bintang-bintang di malam harinya. Ternyata, begitu ramai sekali kaum kerabat aku yang berada di sini. Dari sekecil-kecil power 2000mAh sehinggalah kepada 500000mAh. Power sungguh,. Jenis boleh buat jump-start bateri kereta barangkali. Tidaklah rasa keseorangan bila berada di Malaysia ini bila mana begitu ramai sekali sahabat handai ku di sini. Oh ya, dalam tempoh berada di kedai itu, sempat jugalah aku membuat panggilan sidang video kepada kedua ibubapa di kampung. Bimbang juga dituduh derhaka tak ingat ke ibubapa kan bila dah tinggal di kota ini.

Untuk makluman semua, setelah hampir 3 minggu tinggal di kedai ini, akhirnya aku telah dibeli oleh tuan ku. Aku begitu gembira kerana dapat berkhidmat dengan tuan ku. Fungsi ku sudah tentulah untuk menge-charge bateri telefon bimbit beliau. Bangga jugalah dapat membantu tuan ku ini dikala kesusahan kerana kehabisan bateri. Maklumlah, telefon bimbit zaman sekarang ini dengar kata pakai tak sampai sehari sudah habis power-nya. Sewaktu berkawan dengan tuan ku ini, aku akhirnya terbuka pintu hati untuk menerima Islam. Maklumlah, kadang ada juga aku di bawa sama ke majlis-majlis agama mendengar syarahan dan juga kuliah Subuh....... Ah, tiba-tiba gua rasa macam malas pula nak habis kan sambungan cerita ni. Karang tak pasal pula gua dituduh khurafat sebab menyebarkan cerita berunsur tahyul macam ni. Kahkahkah!

Friday, June 14, 2013

Mari Membuat Teh Masala Dengan Mudah


Gua nak berkongsi dengan lu orang satu rahsia. Gua memang minat betul dengan Teh Masala ni. Kali pertama gua mencubanya di salah sebuah Restoran Pakistan di kawasan Bukit Bintang. Itu jam, restoran tersebut turut menyajikan Lamb Shank yang teramat lazat tetapi pada harga bertaraf 1Malaysia. Namun apabila restoran semakin terkenal sehingga dengar kata turut mendapat tempat golongan Diraja, maka harga makanan dan minuman di restoran tersebut turut berubah sama sekali. Sampai sekarang gua masih lagi terkenang Nasi Beryani sama Lamb Shank yang lazat serta air Teh Massala yang lazat juga itu. Cakap-cakap orang juga ada berkata bahawa Teh Massala ini banyak khasiatnya kepada si peminum. Sejauh mana kebenarannya, gua kurang pasti. Tapi yang nyata, gua memang merindui minuman Teh Massala ini.

Entah macam mana, pada suatu petang, gua telah terjumpa dengan sekotak kecil yang tertera Garam Masala di Pasaraya Mini berhampiran rumah. Gua pernah menonton satu rancangan masakan bahawasanya Garam Masala ini juga adalah cara mudah untuk membuat teh tersebut. Dan hasilnya setelah gua buat berulang kali, rasanya memang sesedap dengan restoran yang bertaraf premium tersebut. Dengan pengetahuan yang ada, izinkan gua untuk berkongsi resepi membuat Teh Masala tersebut dengan cara  yang  paling mudah.

Bahan-bahan
4 - 5 Teh Uncang (Hidangan untuk 4 orang)
Susu Pekat
Susu Cair
Teh Massala (Cari di bahagian rempah ratus Pasaraya berhampiran dengan lu orang)
Air 4 - 5 cawan


Cara Membuat
Didihkan air di dalam bekas yang sewajar. Guna mangkuk yang besar lagi senang. Bila dah cukup didih, campakkan Teh Uncang. Kemudiannya, tuanglah susu pekat sesedap rasa. Rasa-rasa nak kena potong kaki, tuanglah sampai habis tin. Kemudian, campurkan juga sedikit susu cair untuk bagi lagi sedap. Dan paling penting, gunakan sikit sahaja (guna hujung sudu) serbuk Garam Massala itu. Jangan gunakan banyak. Bukannya nak buat Nasi Beryani ye (gua memasak nasi beryani pun guna benda alah ini juga). Bila dah siap dikacau, hidangkan dikala panas. Dan nikmatilah secawan Teh Massala tersebut sambil melayan siaran ulangan TV berbayar lu orang itu.

Wednesday, June 12, 2013

Kisah Brader Jaga Trafik Sukarela

Brader Jaga Trafik sedang menjalankan tugasnya

Kepada pengguna laluan Jalan / Persimpangan Jelatek / Setiawangsa mahupun Persimpangan Yap Kwan Seng / Jalan Tun Razak / Jalan Ampang, gua kira kelibat brader yang persis Anggota Trafik sambil sebuah motor EX5 yang agak usang diparkir berdekatan  amat sinonim di waktu petang di kala iblis jem mula merasuk jalanraya sekitar Kuala Lumpur ini. Sekali imbas, memang iras, dengan Baju Kalis Hujan berwarna Hijau Trafik, berseluar gelap, bersarung tangan putih, memang saling tak tumpah Anggota Trafik Jalan Bandar. Tapi gua yakin, brader tersebut bukanlah Anggota Trafik sebenar. Nak kata Polis Trafik bukan, Polis Bantuan bukan, Polis Hutan pun jauh sekali. Maaf, gua sendiri tidak mengetahui profession sebenar beliau. Tapi setiap petang memang kelibat brader ni memang mudah nak tengok pada setiap jalan yang gua nyatakan. Niatnya hanya satu, untuk membantu melicinkan aliran trafik terutamanya di hadapan persimpangan lampu isyarat, yang mana kenderaan di Kuala Lumpur ini amat gemar untuk berhenti di Petak Kuning. Ternyata, kehadiran brader tersebut sedikit sebanyak membantu buat pengguna jalanraya yang lain.

Gua fikir sudah sampai masanya cerita brader yang jaga trafik ini diangkat dan dihargai andai benar beliau melakukannya hanya secara sukarela. Andai ada yang berkata beliau seolah gila untuk membuat kerja segila ini, ketahuilah tiada insan yang segila beliau gigih berdiri dikala hujan lebat, sama seperti mana Anggota Trafik sebenar yang sememangnya mendapat upah yang jauh lebih lumayan. Kalau gua punya masa, memang gua teringin betul nak temuramah beliau. Paling tidak, gua nak ucapkan terima kasih di atas jasa beliau sepanjang berkhidmat secara sukarela . Semoga Allah sahaja yang mampu membalasnya. 

Tuesday, June 11, 2013

Panduan Mudah Untuk Ke Bandung


Memandangkan gua dah ada pengalaman dua kali ke Kota Bandung, maka sewajarnya juga kongsikan tentang panduan mudah untuk sapa-sapa ke Bandung. Sejujurnya, gua memang jatuh hati dengan Bandung. Dua kali pergi, dua kali itu jugalah gua jatuh hati dengan Kota Bandung ini. 
  1. Di dalam penerbangan, pastikan membawa pen untuk menulis Borang /  Kad Kemasukan ke Indonesia. Leceh juga karang nak pinjam-pinjam pen dengan penumpang kat depan tu. Kalau jenis yang datang secara jemaah dua tiga saf surau,pastikan ada pen lebih sama iye. Banyak juga sebenarnya maklumat yang nak kena isi dalam Borang tu.
  2. Touch down je Bandara kat Bandung sila pastikan roaming telah diaktifkan. Tapi gua fikir, elok juga kalau nak dapatkan kad prabayar versi Indonesia tu. Lagi jimat sebenarnya.
  3. Jangan lupa aktifkan juga pengeluaran kat ATM di luar negara. Dari Kota Bandung pun lu orang boleh call balik Khidmat Pelanggan Bank tersebut kalau terlupa nak aktifkan. Bukannya apa, mana tahu sesak-sesak boleh juga keluarkan barang sejuta dua rupiah tu kan. Macam gua yang menggunakan perkhidmatan Maybank, silalah cari BII yang juga merupakan Maybank versi Indonesia di sana. Tiada caj pengeluaran dikenakan. (Tak salah gua, RM12 akan dikenakan untuk setiap kali pengeluaran kalau menggunakan bank lain)
  4. Elok juga sebelum sampai ke Bandung ni lu orang mendapatkan / menempah supir siap-siap. Harga untuk sehari menyewa kereta & supir biasanya sekitar Rp. 400.000 termasuk dengan petrol dan juga tips (rate standard untuk penggunaan Avanza dan yang sewaktu dengannya). 
  5. Upah untuk si supir (yang mana kebiasaannya bekerja untuk pemilik kenderaan tersebut) untuk sehari adalah setelah ditolak kos sewa kenderaan kepada supir daripada pemilik adalah Rp.150.000 sahaja (Rp. 250.000 adalah untuk pemilik). Daripada jumlah Rp.150.000 yang tinggal inilah si supir harus menggunakan untuk bayaran petrol + tips kepada penjaga parkir / lalulintas yang mana biasanya baki yang tinggal sebagai gaji si supir seharian sekitar Rp. 70.000 - Rp. 80.000 sahaja. Memang sikit. Jadi, di akhir trip ke Bandung, jikalau Rupiah masih lagi berbaki, apalah salahnya lu orang sedekahkan kepada si supir tersebut. Mereka pun dah membawa lu orang ke sana ke mari + tolong mengangkat plastik barangan Bandung lagi + tolong jagakan anak yang ketiduran dalam kereta misalannya. Kalau lu orang tak percaya, sesiapa yang dah upah supir, silalah bertanya tentang berapakah upah yang mereka dapat.
  6. Selain terkenal dengan kain yang murah-murah, Bandung ini juga terkenal dengan Perfume yang diinspirasikan. Harga untuk sebotol bagi 50ml adalah sekitar Rp.50.000. Gua sangat syorkan kedai Win Perfume. Kualiti patinya memang jenis elok. Menyesal juga gua cuma beli dua botol sahaja. Ceh, dia punya ketahanan wangi memang diperakui. 
  7. Silalah ke Aria Jeans yang terletak di Jl. Merdeka untuk menempah jeans / blouse / jubah mahupun jaket berasaskan kain jeans. Memang pelbagai material yang ditawarkan. Pergi pagi, petaang dah boleh siap. Jangan lupa minta diaorang hantarkan ke hotel sekali iye. (servis ini memang ditawarkan oleh Aria Jeans). Harganya pula, memang murah.
  8. Ubat sakit perut cap Chikit Tek Aun itu amat-amat diwajibkan untuk dibawa bersama ke Bandung. Ramai juga yang mengalami cirit-birit sewaktu ke Bandung ini. Maka, segala bentuk pemakanan di gerai-gerai ditepi jalan amatlah tidak digalakkan sama sekali. Leceh juga orang lain sibuk membeli belah, awak pula sibuk nak cari tandas.
  9. Kat Bandung ini memang bersepah Factory Outlet (FO) sana sini. Antara yang gua boleh syorkan adalah Heritage, Bali Heaven, Anak Kechil, Rumah Mode dan juga Warta (ok, Warta ni gua acah aja)
  10. Sewaktu di Pasar Baru, silalah berhati-berhati meletakkan dompet. Afdalnya pakai yang jenis Sling Bag letak di bahagian hadapan. 
  11. Eloknya peruntukkan seharian untuk menawaf Pasar Baru sahaja iye kerana nak menghabiskan satu tingkat pun makan masa berjam lamanya. Inikan pula nak menghabiskan kesemua tingkat yang ada. Silap haribulan, mau kena repeat datang balik esoknya.
  12. Skil tawar-menawar haruslah power sewaktu berada di Pasar Baru. Kebiasaanya harga yang dibuka memang tinggi sedikit. Jadi, pandai-pandailah nak menawar.
  13. Sewaktu pergi ke Tangkuban Perahu itu, hati mau sikit kering dengan penjual-penjual cenderahati yang sentiasa mengekori ke mana sahaja. Jangan mudah terpengaruh. Kalau nak beli juga cenderahati, silalah berkunjung ke gerai-gerai jualan yang terdapat di sana. Dan jangan lupa untuk mengaktifkan skil tawar-menawar. Gua beli Jam Dinding yang ada tulis Hard Rock bersaiz besar itu pun cuma Rp.80.000 sahaja walhal harga yang dibuka kepada pada mula Rp.150.000.
  14. Silalah berkunjung ke Kartika Sari pada hari terakhir ataupun malam sebelum pulang sekiranya penerbangan pulang di awal pagi keesokannya. Selain daripada beli kek yang sedap itu, silalah beli juga Pisang Bolen yang tersangatlah sedapnya juga. (Untuk makluman, setiap kek yang dijual ini tidak mampu bertahan lama, sekitar 3-4 hari selepas tarikh pembuatannya. Sebab itu gua suruh lu orang beli pada hari nak balik)
  15. Bab makan pula, Kota Bandung ini banyak menyajikan masakan Padang & Sunda. Tapi gua lagi suka jenis yang Sunda daripada Padang. Antara yang gua syorkan adalah Kedai Belacan , Karamba Cafe dan juga Restoran Sangkuriang. Tapi kalau masih tak kena selera juga, silalah berkunjung ke KFC yang berhampiran. Sumpah, rasa KFC dia lagi sedap dari yang kita punya.
  16. Sebagai salah satu ikon kepada bangsa Indonesia, gua rasa kalau lu orang tak mencuba Teh Botol macam tak sah pula. Silalah dapatkannya.
  17. Silalah buat penambahan berat bagasi kerana sangat-sangat dikhuatiri bagasi yang dibawa bakal beranak-pinak. Lagi mahal woo caj yang AirAsia kenakan kalau terlebih.
  18. Sebelum balik, silalah pastikan setiap ahli jemaah rombongan ada menyediakan Rp.75.000 seorang sebagai cukai penerbangan yang akan dikenakan oleh pihak berwajib Bandara. Budak-budak pun kena cukai juga iye.
  19. Berkenaan penginapan pula, pilih yang biasa-biasa pun tak menjadi kesalahan. Sekadar tempat nak tidur aja. Macam membazir pula rasa ambil hotel yang berbintang-bintang ni.
  20. Memandangkan kebarangkalian untuk penerbangan balik delay adalah sangat tinggi, maka silalah tinggalkan sedikit Rupiah yang ada sewaktu berada di Bandara. Boleh juga lu orang nak beli roti inti kacang sama air kotak buat hilang lapar sementara menunggu pesawat tiba. Now everbody can cry.



Friday, June 07, 2013

Kisah Ke Singapura


Ok, kali ini gua nak kongsikan tentang / tatacara / apa yang menarik pasal Singapura tu. Gua yakin,ramai yang teruja nak pergi ke sana, lebih-lebih lagi bilamana wujudnya USS tu.

  1. Gua rasa, paling senang ikut Tuas/Link Kedua nak ke Singapura. Lepas Titik Periksa [Check Point] Malaysia, dah terus lalu jambatan melintasi Selat Tebrau. Dari apa yang gua maklum, Tambak Johor biasanya akan sedikit sesak tiap kali hujung minggu.
  2. Sebelum nak sampai Tambak Johor / Tuas, pastikan kredit Sentuh & Pergi [Touch N Go] lu orang berada pada tahap cemerlang dan terbilang bagi tujuan keluar masuk ke Singapura. Wang Tunai ke, Kad Kredit ke, Kad Debit ke, Kad iTalk ke tidak diterima. Harap maklum. Lebih-lebih lagi bila guna Link Kedua, lalu Plaza Tol Kedai Lima tu semua kena guna kad elektronik ok.
  3. Kalau lu orang pertama kali memandu ke Singapura macam gua, lepas pemeriksaan Imigresen Singapura tu, berhentilah kat tepi tu (lu orang akan nampak ada dua tiga biji kereta berhenti) untuk beli/daftar Autopass yang berharga $10. Autopass ini berfungsi sebagai VEP [Vehicle Entry Permit] bagi kenderaan yang kita pandu masuk ke sana. Untuk makluman, Autopass ini juga boleh digunakan untuk pembayaran elektronik untuk mana-mana tempat parking yang menyediakannya. Tapi harus barang diingat, Autopass ini tidak boleh dipindahmilik sesuka hati. Satu kad, untuk setiap kenderaan. 
  4. Gua fikir, GPS juga adalah satu benda yang wajib ada untuk sesiapa yang memandu masuk ke sana. Senang nak tuju ke sana ke mari. Zaman sekarang ni mana ada orang pakai peta lagi der.  
  5. Kalau lu orang pakai henfon jenis bayar dulu baru guna (prepaid) pastikan kredit lu orang ada dalam lebih kurang dua juta. Karang tak pasal kena tolak kredit sebab sibuk nak buat panggilan itu ini. Jenis yang pakai bil, pun eloklah roaming kan siap-siap. Setel.
  6. Gua perati keadaan jalanraya Singapura cantik aja..waima lu orang lalu kat sebelah jalan yang tengah dok buat baru. Jangankan lubang, batu besar guli pun lu orang takkan jumpa. Sebabnya undang-undang yang begitu ketat di sana, memastikan kebersihan jalanraya untuk orang awam guna terjaga, apatah lagi sewaktu pembinaan jalanraya. 
  7. Subara selayaknya diangkat kereta Nasional Singapura. Deruman Boxer [bukannya boxer yang ada gambar Sponge Bob tu] bersepah-sepah tak tentu hala. Impreza Ver.10 tu pun selamba aja parking bawah flat. Yang dah berkeluarga, pakai la Forester sama Exiga. Yang bergaji lebih $10,000, pakai Legacy, baru nampak imej bos-bos.
  8. Honda Jazz pun sama bersepah macam Myvi [Sepat]. Tengok depan nampak GE kaler biru air laut. Toleh kanan nampak GE kaler merah menyala. Toleh kiri aja nampak amoi tengah nak melintas jalan.
  9. Pemandu-pemandu Singapura amat-amatlah menghormati pejalan kaki. Tak macam pemandu Malaysia, amat-amatlah nak terasa macam nak bagi kaki kalau yang melintas jalan tu macam siput babi.
  10. Kalau memandu dan ternampak palang ERP [Electronik Road Pricing] benda alah tu sebenarnya tol yang akan dikenakan kepada setiap kereta yang melaluinya. Percuma hanya pada hujung minggu dan cuti umum. Kalau ada yang menggunakannya pada hari biasa, tak perlu risau. Bayaran $5 akan dikenakan untuk penggunaan seharian tanpa mengira berapa banyak lalu kat ERP tu. Cuma, pastikan lu orang tambah nilai Autopass itu di E-Elevan.
  11. Parking kat bawah flat harus diingat bukannya percuma ye. Percuma bermula jam 5.30 hari Sabtu sampailah hari Ahad dan juga cuti umum. Tapi waktu malam bermula jam 10.30 malam sehingga jam 7.00 pagi setiap hari akan tetap dikenakan bayaran $4.00 menggunakan koupon yang boleh dibeli di mana-mana kedai serbaneka. Caj untuk parking adalah $0.50 untuk setiap ½ jam. 
  12. Tentang petrol pula, kalau boleh sebelum memandu masuk ke Singapura, buatlah isian penuh di Hentian R&R Geylang Patah (guna Link Kedua). Kalau agak-agak tak cukup, terpulanglah sama ada nak isi guna RON95 & RON98. Harganya takdelah jauh beza sangat. Kalau rasa macam sadis sangat, nak isi RON92 pun masih dijual lagi kepada pengguna di sana.
  13. Sistem pengangkutan awam Singapura pada perkiraan gua dah cukup efisyen. Setiap hentias bas, biasanya akan ada stesen MRT. Dan stesen MRT merangkumi segenap pelusuk bumi Temasek. Kiranya lu orang takkan terputus dengan sistem pengangkutan awam. 
  14. Untuk beli kereta di sana, lu orang kena beli juga COE [Certificate of Entitlement] ni dulu. Harganya berbeza mengikut cc kereta. Dan COE ni pula ada had sehingga 10 tahun sahaja, lepas tu lu orang kena bida semula untuk dapatkan COE yang baru dan kereta yang lu orang dah pakai selama 10 tahun pergilah hantar scrap. Kalau kat Malaysia, kereta kurun ke 18 pun masih wujud lagi jalan macam ketam.
  15. Bercerita bab makanan memang tak sah. Mana-mana tempat lu orang pergi, mesti tanya mana tempat makan yang best. Gua rasa, kalau lu orang pergi Singapura tapi tak pekena Nasi Beryani sama Murtabak Singapura memang tak stail langsung. Wajib untuk lu orang pergi area Arab Street, depan Masjid Sultan. Lu orang akan nampak Restoran Zam-Zam sama Restoran Victory. Dua-dua ni ada jual Nasi Beryani & Murtabak Singapura yang sedap. Lepas makan, lu orang boleh la pergi jalan-jalan area Arab Street, tengok kedai jual kain. Tempat orang perempuan rambang mata.
  16. Pasar Geylang Serai antara merupakan tenpat tumpuan orang Melayu Singapura dan Melayu bukan Singapura. Sebabnya kalau nak pekena Rojak sama Mee Siam kat sinilah tempat dia setelah penat membeli barangan basah kat belah bawah. Tingkat atas menempatkan pelbagai jenis gerai yang menjual segala mak nenek makanan yang sedap-sedap. Selain tu, ada juga kedai-kedai yang menjual pakaian untuk orang perempuan rambang mata juga.
  17. Gua pernah memandu waktu malam kat atas litar jalanan F1 cuma tidak dipasang dengan lampu sorot aja.  Kalau tidak, mesti gua dah feeling serupa Sebastian Vettel aja. Gua terbayang dah kalau-kalau F1 kat Malaysia tahun depan diaorang buat kat area Bukit Bintang tu je. Amacam?? 
  18. Masa merambu diwaktu malam, pakcik gua sempat juga bawa pusing-pusing kawasan Marina, terjumpalah tempat yang bernama Casino. Pakcik gua bilang, warga Singapura kena bayar, kalau nak masuk tapi untuk pelancong masuk dalam tu percuma. 
  19. Singapore Flyers tinggi berapa puluh tingkat tah jangan harap gua nak naik. Gayat gua ni bukannya boleh harap sangat. Jadi, gua lalu kat tengok dari bawah cukuplah. Itu pun dah rasa gayat. Ceh.
  20. Dan tarikan utama Singapura adalah Universal Studio. Semenjak buka memang ramai ke sana. Nak senang, lu orang tempah duduk di TuneHotel JB. Kemudiannya guna perkhidmatan Shuttle yang turut disediakan dengan bayaran yang berpatutan. Pergi USS awal pagi. Lewat petang pulang semula ke TuneHotel. Esok paginya pulang. Habis cerita.
  21. Tapi kalau nak memandu juga ke USS tu, sila pastikan $26.00 atau pun lebih sikit diasingkan untuk bayaran parking kat USS tu. Nak jimat sikit, parking kat Vivo (Shopping Mall). Dari Vivo tu boleh gunakan perkhidmatan terus ke USS.
  22. Dengar kata, sekarang ini kadar pertukaran duit antara RM dan Dollar Singapore memihak jugalah walau sedikit ke kita ni berbanding beberapa bulan sudah. Kalau ada lebih duit bonus yang kalau dapat tu, boleh juga gua menyinggah ke sana kejap. 

Tuesday, June 04, 2013

Kisah Si Onde-Onde 2013


Memandangkan tidak berapa lama lagi bulan Ramadhan bakal menjelang, maka sewajarnya gua mengangkat martabat kuih yang sangat digemari oleh warga veteran dan juga separa veteran seperti gua berkenaan kuih Onde-Onde ini. Nama Buah Melaka pun sebenarnya merujuk kepada spesis yang sama. Nama sahaja sahaja berbeza. Onde-onde dewasa ini semakin dilupakan oleh anak muda yang ternyata lebih menggemari kuih moden. Sejajar dengan era modenisasi barangkali. Gua syak, Onde-Onde ini juga selayaknya diangkat martabak oleh mana-mana Universiti untuk dibuat Logo seperti mana Donut yang telah diangkat martabatnya oleh salah satu Universiti Islam untuk dibuat Logo. Bila dah siap Logo, maka bolehlah pula dimasukkan kedalam mana-mana Buku Rekod yang ada.


Sebagai orang yang sedang menginjak usia ke separa veteran ini, maka sewajarnya juga gua amat menggemari Onde-Onde ini. Gua suka jenis yang tak terlalu besar, besar saiz duit syiling 20sen yang lama itu. Saiz duit syiling 20sen yang baru itu terasa kecil pula kalau dibuat Onde-Onde ini. Yang penting, isi gula merah di dalamnya harus dimasak sempurna. Sewaktu mula menggigit Onde-Onde di dalam mulut, letusan pertama Gula Melaka yang mencair adalah perkara yang cukup sempurna bilamana memakan Onde-Onde ini. Sewaktu bulan puasa juga, Onde-Onde ini boleh dikatakan sebagai benda yang wajid yang harus ada dalam menu pembukaan puasa gua. Kadang, gua kunyah Onde-Onde dulu baru kunyah Kurma. Tapi harus barang diingat, kalau silap pembuatannya, Onde-Onde ini boleh jadi liat sehinggakan boleh membuat orang rasa tercekik sewaktu mengunyahnya.

Cuma yang menjadi sedikit kekesalan di hati, dewasa ini ramai orang yang tidak mahir untuk membuat Onde-Onde. Rupa seperti Onde-Onde, tetapi bila dikunyah, selipar rasa ditekak. Cuma harapan gua menjelang Puasa nanti, Onde-Onde ini kembali ke zaman kegemilanganya yang semakin layu di arena per-kuih-an. Dan kepada bakal peniaga Onde-Onde, silalah meniaga dengan seikhlas hati. Tolong jangan hampakan harapan Peminat Tegar Onde-Onde seperti gua.

Gambar Ihsan: Google