Monday, June 24, 2013

Pasembuq Penang Mari


Apabila bercerita pasal Penang, secara otomatis, gambaran tentang Pasembuq pasti tidak lari dari jelmaan di otak pemikiran kita sebagai manusia yang normal. Gua kira, Pasembuq ini sudah boleh diangkat sebagai satu lagenda yang masih wujud sehingga kini. Sesungguhnya gua rasa amat berbangga kerana Pasembuq ini lahir di bumi Malaysia secara amnya, dan Penang secara khususnya, Gua tak boleh bayangkan kalau Pasembuq ini berasal dari benua lain. Leceh juga nak kena beli beli tiket kapal terbang semata nak pekena Pasembuq ni.

Pasembuq ini secara asasnya merupakan kuih udang yang digoreng secara rangup sambil disertakan sekali sengkuang dan juga timun sambil disirami dengan kuah pekat berwarna gelap yang mempunyai rasa pedas dan manis yang seimbang. Namun sejajarnya dengan arus pemodenan, Pasembuq dewasa ini turut mengalami anjakan paradigma bilamana selain daripada kuih udang, segala isi makanan yang lain turut berpotensi untuk dijadikan sebahagian daripada Pasembuq. Nak bubuh ubi kentang, telur rebus goreng, waima segala jenis bebola makanan pun layak untuk meraih populariti sebahagian daripada Pasembuq ini.

Namun, sewaktu berkunjung ke Penang untuk pekena Pasembuq ini, tahap keberhati-hatian hendaklah tinggi. Silap haribulan, memesan Pasembuq ini serupa memesan tiket kapal terbang tambang murah dia punya harga. Konon murah padahal mahal. Beberapa tahun sudah gua pernah secara sengaja memesan Pasembuq di Padang Kota Lama untuk satu pinggan besar sekali dia caj gua serupa gua makan sampai tiga puluh orang. Itu tahun dahulu. Kalau pergi waktu sekarang ni yang sememangnya serba-serbinya dah naik harga, mahal serupa kapal selam.

Tetapi, kepada penggemar Pasembuq ini tidak usah berasa khuatir dan bimbang kerana jika pandai mencari masih terdapat lagi Pasembuq dengan harga yang gua kira masih lagi munasabah. Salah satunya yang boleh gua syorkan adalah di Medan Selera Padang Broom @ Padang Brown. Setakat yang gua dah pergi berkali-kali ni, rasa dan harganya masih lagi berada pada tahap yang sama. Yang penting, rasa Pasembuq ini masih lagi sama seperti Pasembuq. Tidak berubah sama sekali. Manakala Pasembuq di Medan Selera Gurney Drive itu pun sebenarnya sedap juga tapi gua syak harga dia pun dah sikit lagi menyamai harga kapal selam. Jadi, kepada pemburu makanan sekalian alam, bergegaslah kamu ke Padang Broom @ Padang Brown untuk pekena Pasembuq ini

No comments:

Post a Comment