Wednesday, February 18, 2015

Mari Mengenali Iblis

Rata-rata pembaca blog ini telah pun mengenali Iblis Petak Kuning yang kewujudannya semakin menjadi-jadi dan petanda ianya akan pulih seakan tipis sewaktu berada di jalanraya. Patutnya isu sebegini pun Mufti ambil tahu demi kemaslahatan ummah. Sebetulnya, Iblis Petak Kuning ini turut mempunyai beberapa taulannya yang turut sama jahat, sama ada kita sedari atau tidak. Jadi, marilah berkenalan dengan Iblis-Iblis yang ada sebagai panduan bersama. Terpulang kepada masing-masing bagaimana hendak mengatasinya. Nak standby batu sama stereng lock pun elok juga rasanya sebagai persediaan.

Iblis Berhenti Tepi Jalan
Sedang orang lain bukan main sabar menempuh kesesakan jalanraya, iblis ini dengan selamba sahaja memarkirkan kereta berjenama mewah tepi jalan tanpa ada sedikit pun rasa bersalah kerana mengganggu lalulintas. Eloknya dalam waktu yang ada Backhoe turut melalui kawasan tersebut lalu melibas iblis-iblis ini.

Iblis Memotong Barisan
Seringkali wujud terutamanya berhampiran di Plaza Tol. Sedang umat lain kusyuk beratur di belakang, iblis ini tanpa perasaan  terus sahaja memancung & memotong barisan di hadapan dengan alasan hendak lekas sampai ke rumah. Habis tu, yang beratur berjela kat belakang tu memang nak lambat sampai ke rumah kah??

Iblis Terhegeh
Keturunan iblis ini akan terasa kehadirannya sewaktu berada di lebuhraya tiga lorong dimana iblis ini gemar memandu dengan kadar kelajuan basikal lumba sahaja pada lorong kanan. Kenderaan belakang jenuh bagi high beam dia boleh bantai menyanyi lagu K-Pop sekuat hati buat tak reti. Macam mana kira ni?

Iblis Parking Senget
Biasanya melibatkan iblis yang memandu kenderaan bersaiz sederhana besar. Disebabkan berasa memandu kereta bersaiz lori, maka iblis ini lebih gemar memarkir secara senget dengan agak ketara sehingga mengganggu membuka pintu kenderaan di sebelah. 

Iblis Gadjet
Iblis gadjet ini pula terdiri daripada golongan muda yang gemar membalas WhatsApp ataupun mengemaskini status di media sosial tanpa mempedulikan kereta dihadapan telah jauh meninggalkan kereta sendiri selama lebih daripada empat kali. Kereta belakang hon baru terhegeh nak memecut macam orang gila ke hadapan. Menambahkan sesak yang telah sedia sesak.