Wednesday, July 31, 2013

Balik Raya Punya Cerita


GT
Entri ini sebenarnya gua dah karang dalam satu lagi blog GT.com . Gua buat kerja mudah. Tulis satu dapat dua. Kahkahkah. Jadi, silalah amalkan mana yang elok.
  1. Perkara asas seperti penyelenggaraan berkala gua kira tak perlu untuk gua ingatkan sangat. Masing-masing dah besar panjang. Cukup masa, pergi bengkel tukar benda-benda asas. 
  2. Jikalau odometer kenderaan lu orang itu dah cecah sampai ke 75,000 ada eloknya gua fikir lu orang pergi tukar timing belt.  Walaupun sesetengah pengeluar memberikan jaminan bahawa tidak perlu ditukar sehingga ke 100,000 km, tetapi dengan corak pemanduan serupa pelumba rali gua fikir elok abaikan sehaja kata-kata tersebut. Melainkan lu orang jenis tak kisah nak menunggu kereta kena towing dinihari akibat timing belt putus tidak mengapalah.
  3. Kondisi tayar harus juga diperiksa keadaan getah & bunganya juga. Bimbang terdapat sebarang rekahan mahupun bunga tayar yang dah tak serupa bunga sangat. Pastikan keadaan angin mencukupi untuk menampung keseluruhan penumpang dan juga beg-beg serta berbotol-botol kerepek yang turut diangkut pulang beraya. Oh ya, tayar simpanan pun kena periksa juga kondisinya. Kalau jadi sesuatu tengah hutan di kawasan Gua Musang, tengok-tengok tayar simpanan pula kempis. Nak menangis tepi jalan pun memang elok sangatlah.
  4. Macam biasa, sebelum memulakan perjalanan, baca apa-apa yang patut minta dipermudahkan perjalanan.
  5. Tali pinggang kaledar itu pakailah sebelum memulakan perjalanan yakni sesudah membaca doa. Tabiat buruk hanya memakai tali pinggang kaledar sewaktu ternampak kelibat En. JPJ & En. Trafik silalah tinggalkan. Ingat, keselamatan itu penting.
  6. Sila pastikan juga terdapat sebotol air mineral bersaiz besar, mana tahu kalau-kalau suhu enjin kereta terasa panas macam nak demam. Kan berguna tu.
  7. Sewaktu membuat isian petrol di kawasan rumah, silalah membuat tambah nilai kad Touch n Go demi memastikan kelancaran sewaktu melepasi Plaza Tol. Tak kacak langsung jenis yang beratur mengambil tiket / kad transit.
  8. Bagi yang memandu pulang ke kampung di kala bulan mengambang pastikan cukup cergas dan tidak mengantuk untuk menempuh perjalanan jarak jauh. Sediakan minuman penambah tenaga ataupun kudapan bagi mengelakkan rasa mengantuk. Tapi kalau dah menguap sampai lima enam kali, eloklah berhenti sebentar di R & R yang disediakan.
  9. Sewaktu berhenti untuk tidur sebentar di R & R, pastikan anda mengunci semua pintu dan bukalah sedikit tingkap demi memastikan ada pengaliran udara yang segar dari luar. Tak sedap juga esok keluar berita ada yang lemas dalam kereta kan.
  10. Silalah hormati hati dan perasaan pengguna lebuhraya yang lain sama. Kalau dah rasa 110 km/j itu dah cukup laju di lorong kanan silalah beri lalun kepada jentera sukan buatan Jepun dan Malaysia seperti Evo X dan juga jelmaan Evo X  untuk memotong. Jangan buat perangai keras hati tidak mahu memberikan laluan hanya kerana kereta standard kilang yang dipandu telah pun menyamai had kelajuan kebangsaan. Tak ada salahnya beralah.
  11. Jika memandu laju di lebuhraya, pastikan kedua belah tangan kemas berada di stereng. Memegang stereng sebelah tangan sambil memandu laju boleh dianggap sebagai aktiviti ekstrem. Dibuatnya tayar depan sebelah pecah, impak yang terjadi memang lu orang tak sanggup nak bayangkan.
  12. Silalah berikan signal dengan sewajarnya untuk memotong / memasuki simpang. Tidaklah pula nanti si pereka kereta berasa kecil hati kerana penat mereka untuk mencipta stick signal tersebut tapi lu orang tidak mahu menggunakannya.
  13. Sekiranya perlu membuat pit stop di tepi lebuhraya kerana tayar pancit misalannya, silalah pastikan ada sebarang tanda diletakkan di bahagian belakang kenderaan, sekurangnya 10-15 meter sebagai tanda isyarat anda mengalami masalah. Dan silalah berhati-hati sewaktu menukar tayar tersebut secara indie. Jika perlu, hubungi sahaja PlusLine dan tunggukan sahaja kehadiran PlusRonda untuk membantu sama menukar tayar tersebut. Tidaklah berasa rugi sangat bayar tol mahal-mahal tu kan.
  14. Ingat lagikah peraturan dalam buku kecil sewaktu nak mengambil ujian JPJ dahulu, ada menyatakan kita hendaklah mengamalkan prinsip "tunda 4 saat" berbanding dengan kenderaan di hadapan. Jadi silalah amalkan. Sempatlah lagi nak mengelak kalau-kalau kenderaan di hadapan membuat perangai nak tekan-tekan brek.
  15. Jika memandu di lebuhraya, tolonglah juga jangan memandu dengan kelajuan basikal hanya kerana nak mengamalkan prinsip biar lambat asalkan selamat. Kalau dah boleh pandu dengan had kelajuan kebangsaan, pandulah dengan kelajuan tersebut. Jangan nak mengada-mengada perlahan sangat. Ingat, ini lebuhraya. Pandu perlahan pun sebenarnya boleh jadi punca kemalangan juga.
  16. Dijangkakan lebuhraya juga bakal bergerak tak berapa nak laju akibat daripada pertambahan jumlah kenderaan yang berlipat kali ganda. Jadi, silalah bersabar. Jangan buat perangai iblis dengan memotong barisan di laluan kecemasan. Geng penunggang motosikal yang guna laluan kecemasan itu jangan buat-buat tak perasan pula. Hormati hak pengguna yang lain.
  17. Bila berhadapan dengan kesesakan di lebuhraya, mulalah nak mengemaskini status FB masing-masing. Eloklah begitu, berkongsi maklumat dengan rakan-rakan yang lain. Tapi jangan sampai ralit sehingga menyebabkan kereta di hadapan dah jauh bergerak hingga menyebabkan kenderaan di belakang mula sakit hati. Itu hanya akan melambatkan perjalanan.
  18. Jika bertembung dengan kenderangan yang mengalami kemalangan / kerosakan , gua mohon sangat-sangat agar di doakan sahaja yang baik-baik buat mereka. Panjatkan doa agar kesulitan yang mereka alami dipermudahkan urusannya.
  19. Sewaktu menghampiri plaza tol, silalah sediakan tiket transit dan wang pertukaran seawal mungkin. Jangan buat perangai dah sampai depan kakak plaza tol baru terhegeh-hegeh nak cari itu ini.
  20. Jika menggunakan laluan persekutuan ataupun laluan lama, silalah pandu dengan penuh hemah dan tatasusila. Ada masa boleh potong, potonglah. Jikalau tidak, duduk sahaja di belakang lori tanah dengan penuh rasa sabar.
  21. Sewaktu selamat sampai di kampung halaman tercinta lagi dirindui, janganlah lupa untuk panjatkan rasa syukur. Ingat, apa pun pandu cermat jiwa selamat. Biar cepat asalkan selamat.

Friday, July 26, 2013

Selamat Pengantin Baharu Atau Baru?


KITA sering terkeliru apabila menggunakan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’. Ada yang menganggap perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksud dan cara penggunaan sama.
Tanggapan salah itu juga menyebabkan pengguna bahasa Melayu selalu guna perkataan-perkataan itu dengan cara tidak sesuai.

Sebenarnya, perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, ‘bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’ mempunyai fungsi dan cara penggunaan yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘baru’ bermaksud ‘belum lama’.

Perkataan ini tergolong sebagai kata bantu aspek untuk menimbulkan suasana perbezaan masa sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Sebagai contohnya:
(i) Noraziah baru sampai dari Negeri Sembilan.
(ii) Fadzil baru pulang dari Arab Saudi.

Perkataan ‘baharu’ pula merupakan kata adjektif (sifat) waktu yang memberi pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan. Sebagai contohnya:
(i) Abdul Hadi membeli sebuah kereta baharu.
(ii) Baju baharu itu kepunyaan Mohd Rodi.

Pengguna bahasa Melayu juga kadang-kadang terkeliru sama ada ingin menggunakan ucapan ‘Selamat Pengantin Baharu atau Baru’. Sepatutnya ucapan tersebut diucap atau ditulis sebagai ‘Selamat Pengantin Baharu’. Begitu juga dengan ‘Selamat Tahun Baharu’ yang seharusnya digunakan dan bukannya ‘Selamat Tahun Baru’. Hal ini demikian kerana kedua-dua ucapan  tersebut membawa pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan iaitu pengantin dan tahun yang baharu.

Bagaimanakah pula dengan perkataan ‘bharu’ dan ‘bahru’ yang sering kita temukan dalam nama khas, khususnya merujuk kepada bandar atau tempat, contohnya Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Johor Bahru. Sepatutnya ‘Kota Bharu’ perlu dieja sebagai ‘Kota Baharu’, ‘Wakaf Bharu’ dieja sebagai ‘Wakaf Baharu’ manakala ‘Johor Bahru’ sepatutnya dieja sebagai ‘Johor Baharu’.

‘Kota Baharu’ bermaksud sebuah kota yang wujud selepas wujudnya kota lama sebelum itu kerana kita semua tahu di Kelantan terdapat suatu tempat dikenali sebagai Kota Lama. Begitu juga ‘Johor Baharu’ yang wujud selepas wujudnya Johor Lama dan ‘Wakaf  Baharu’ yang merujuk kepada sebuah pondok yang baharu. Namun disebabkan ketiga-tiganya nama khas dan telah sebati digunakan oleh masyarakat, maka penggunaan ‘Kota Bharu’,
‘Wakaf  Bharu’ dan ‘Johor Bahru’ dikekalkan. Hal ini demikian juga berlaku kerana ketiga-tiga tempat ini wujud sebelum 16 Ogos 1972 memandangkan selepas tarikh itu telah diperkenalkan penggunaan Sistem Ejaan Rumi
Bersama yang turut diisytiharkan penggunaannya secara serentak di Malaysia dan Indonesia. Bermula 16 Ogos 1972, penggunaan sistem ini di Malaysia dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dengan ejaannya diselaras dan lebih tepat. Kemungkinan juga dalam konteks ini telah berlaku pengguguran vokal ‘a’ dalam kedua-dua perkataan. Sebagai contohnya:
(i) Aziman akan ke Johor Bahru untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super.
(ii) Amir Farhan dan Nur Ain Nabila berasal dari Kota Bharu.

Perkataan ‘baru-baru’ mungkin tidak menjadi masalah untuk kita menggunakannya. ‘Baru-baru’ merupakan kata ganda penuh daripada kata dasar ‘baru’ yang bermaksud tidak lama dahulu atau tidak berapa lama sebelum ini. Sebagai contohnya:
(i) Baru-baru ini Nor Haslina membuat sebiji kek.
(ii) Baru-baru ini Persatuan Penduduk Taman Guchil Baharu mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka.

Namun, pengguna bahasa Melayu diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan ‘baharu-baharu’ bagi menggantikan ‘baru-baru’ kerana ‘baharu-baharu’ merupakan nama sejenis ikan laut.
Contoh di bawah membantu kita semua bagi membezakan penggunaan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’:
Ahmad yang baru sampai di Kota Bharu bertolak dari Johor Bahru pada pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kereta baharunya bersama-sama isteri baharu dan terus membeli ikan baharu-baharu.
Aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau dibincangkan secara mendalam. Namun pengguna bahasa Melayu perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam berbahasa. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”
Kredit : SinarHarian  - (Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur)

Thursday, July 25, 2013

Bersembang Dengan Ketupat Lampu

Ihsan : Google


Memandangkan dalam tempoh beberapa minggu lagi Umat Islam bakal menyambut Aidilfitri maka sewajarnya gua cuba membuat sedikit temuramah berkenaan bersama Ketupat Lampu (KL).

Gua : Asssalamualaikum dan Salam 1Malaysia Ketupat Lampu..Hai apa khabar ?
KL  : Waalaikumussalam bang..Syukur alhamdulillah, saya sihat bang. Abang pula bagaimana?
Gua : Alhamdulillah, sihat juga. Aku tengok kau bukan main cergas lagi siang-siang hari ni..gaya tak puasa pun ada ni.
KL : Isk..tak baik tau fitnah-fitnah ni bang. Sia-sia saya kunci jam bangun sahur tadi pagi.
Gua : Alah..aku ni seloroh je la..tak payahlah nak sensitif sangat Ketupat Lampu oi..Aku ni bukannya apa, saja la nak bersembang sikit dengan kau. Hah, macam mana persiapan nak raya tahun ni?
KL  : Owh..ingatkan ada apa hal la abang tergesa-gesa jumpa saya siang hari ini. Biasanya waktu macam ni memang waktu  tidur saya. Maklumlah, saya ni kan kerja shift malam. Pasal persiapan raya tu, saya ni jenis yang bersederhana je bang. Tak adalah nak shopping sangat. Sikit-sikit tu adalah. Sehelai baju melayu pun memadai dah.
Gua : Apa tema warna baju raya kau tahun ni?
KL : Macam biasalah bang..warna hijau ketupat. Mana ada warna lagi yang lebih sesuai. Macam tak berapa nak kena pula kalau pilih warna merah jambu ke. Ketupat Riben bolehlah.
Gua : Owh..ok ok faham. Er, tak buat kuih raya ke tahun ni?
KL : Tak ada masalah bang nak buat kuih tahun ni. Biasa ada juga buat jenis yang tradisional-tradisional ni. Mungkin saya tunjuk-tunjuk je kot bang malam raya borong kat Jalan TAR. Mujur juga duit bonus ada lebih sikit tahun ni. Bolehlah nak beli lebih sikit kuih raya ni.
Gua : Ceh..eksen juga kau ni ye.
KL : Bukan eksen la bang..tapi kenyataan.. hinssff…hinssff.
Gua : Dah..dah..tak payah nak kembang kuncup hidung kau tu. Er, aku nak tanya lagi kau ni. Tak balik beraya kampung ke nanti?
KL : Eh..mesti balik. Karang mau menangis mak saya kalau tak balik raya. Tapi itulah, saya masih kena kerja malam nak raya tu. Biasalah nak menerangi jalanraya sekitar Kuala Lumpur ni. Karang kalau bergelap, tak meriah pula suasana nak raya kan.
Gua : Dah tu, kau nak balik raya macam mana nanti?
KL : Menjelang subuh, saya terus la gerak balik kampung di Melaka, naik motor. Sempat lagi nak salam-salam cium tangan mak abah sebelum solat raya tu.
Gua : Hah..bagus-bagus. Kerja, kerja juga. Raya kenalah balik kampung, iye tak?
KL : Betu..betul..betul.
Gua : Ok lah Ketupat Lampu, aku pun nak beransur pulang dahulu. Kau tu pun, pergi lah berehat dahulu. Kesian juga aku tengok kau ni. Malam-malam hari bekerja tanpa ada rasa penat. Kalau kau tak ada, alamat tak cerialah jalanraya di Kuala Lumpur ni tau.
KL : Ok lah bang…sama-sama. Selamat hari raya ye.
Gua : Ah, belum lagi nak raya. Tak payah nak ucap-ucap sangat. Awal lagi. Nanti sebelum balik raya aku jumpa kau lagi.
KL : Take care bang..
Gua : Ah,serupa makwe-makwe pula nak ber-take care bagai.

Tuesday, July 23, 2013

Gaya Pandu Lalu


Gua perati kejadian seperti ini semakin menjadi-jadi di kala bulan puasa ini. Perangai Pandu Lalu sewaktu berkunjung ke Pasar Malam sebelum ini diteruskan pula sehingga kini. Pernah juga gua sound satu kali ke brader yang buat gaya serupa ini tanya dia sakit kaki sampai kena naik motor bagai. Terus tersipu-sipu malu. Lepas tu, minggu depannya gua tengok dia dah pandai dah guna kaki nak pergi beli Pasar Malam. Sedih betul gua dengan orang kita ini. Memang kebiasaannya orang kita jugalah yang selalu buat perangai bingai serupa ini, hisap dadah, mat rempit, dan tak lupa juga curi tabung masjid.

Tapi bila berdepan dengan situasi yang sama di bulan-bulan puasa ini membuatkan gua berasa lagi sedih. Nak ditegur, masing-masing dah besar panjang. Tapi otak pergi simpan, tak mahu pakai. Macam tak ada rasa bersalah langsung pergi beli juadah berbuka sambil asap motosikal berkuasa rendah bercampur baur dengan rasa onde-onde. Konon berpuasa tapi buat perangai serupa iblis. Yang lebih mengharukan lagi, ada juga yang pak lebai pakai kopiah putih tapi buat perangai yang sama juga. Tak kalah. Penuh raga motosikal dia dengan ayam percik. Kalaulah ada sesiapa yang terkena ekzos motosikal beliau, gua memang tak teragak-agak nak bagi penendang. Lebai tak lebai. 

Thursday, July 18, 2013

Iblis Petak Kuning



Iblis Petak Kuning semakin menjadi sungguh sepanjang bulan Ramadhan kali ini. Sana sini tak mahu mengalah. Masing-masing sibuk nak berhenti dalam Petak Kuning tanpa ada rasa bersalah sambil sibuk nak mengemas kini status FB masing-masing melalui telefon bimbit. Kereta di laluan bertentangan nak lalu sibuk memberi hon bertalu-talu dia boleh buat muka tak ada rasa bersalah sama sekali seolah cukai jalan dialah yang paling sekali atas mukabumi ini.

Alahai. Letih betul nak bertarung dengan Iblis Petak Kuning ini. Gua fikir, dah sampai masanya pihak penguatkuasa mengenakan hukuman mandatori bagi pesalah lalulintas serupa ini. Kalau rasa macam berat sangat hukuman yang ini, apa kata mana-mana kenderaan yang berhenti ini dikenakan hukuman simbah cat. Tengok, ada berani ke tidak nak berhenti lagi dalam Petak Kuning. Para mufti pun gua mohon agar mengeluarkan fatwa dengan seberapa segera demi kemaslahatan ummah. Tolonglah. Gua pun nak lekas pergi Bazar Ramadhan juga balik kerja oi!

Wednesday, July 17, 2013

Salam 1Korea


Gua fikir, dah sampai masanya untuk gua angkat kisah 1Korea ini. Sama ada sedar mahupun tidak, dewasa ini jenama Korea semakin mendominasi setiap pelusuk dunia, tak kurang juga Malaysia turut mengalami demam 1Korea ini. Baik yang berada di Kuala Lumpur , waima yang berada di ceruk pedalaman mana sekalipun, pasti ramai pihak yang dengan senang hati menerima konsep 1Korea ini.

Jikalau suatu ketika dahulu, kita dengan riang hati dapat menonton siri daripada Jepun, Maero Attack. Tapi sekarang ini kita lebih suka menonton siri daripada Korea pula. Kalau pihak stesen TV ulang siar cerita Winter Sonata pun gua fikir masih ramai yang sanggup bertenggek depan kaca tv. Tak mengapalah, sedap juga sebenarnya layan drama bersiri Korea ini. Tapi jadah apa, cerita Running Man itu pun ramai yang sanggup melekap depan tv. Mati-mati gua fikir Running Man itu cerita berkisar tentang orang yang bercita-citakan nak jadi pelari pecut.

Bab artis-artis KPop ini pun jangan cakaplah. Semua orang minat. Najib pun minat. Jadi, lu orang pasti akan berasa canggung kerana tidak meminati KPop tetapi hanya meminati irama Melayu Deli. Sampaikan ramai anak muda yang bercita-cita untuk menjadi KPop daripada seorang Guru. Malapetaka jenis apakah ini??

Kalau sembang bab telekomunikasi, sesiapa yang pakai telefon bimbit jenama zaman Paleolitik seperti Nokia dan Alcatel pasti ramai yang akan mencebik. Rata-rata memilih jenama Samsung sebagai medium penghubung. Power sungguh Samsung ini sampaikan MakLong dan Paklong di kampung pun sama sibuk nak pakai S4. Setahun berapa kali entah perkenalkan model baru si Samsung ini.

Untuk segmen automatif pula, Korea diwakili oleh dua beradik, Hyundai dan Kia. Jika dahulu rekaan kedua-dua jenama ini boleh mengundang dosa, kini Hyundai dan Kia telah kembali ke pangkal jalan dengan mengeluarkan kenderaan yang mempunyai rekaan yang menawan dan mampu untuk memarkir sebelah menyebelah dengan kenderaan buatan Jepun dan Eropah. Kalau dalam cerekarama edisi Korea pun, hanya kereta buatan Korea sahaja yang akan dipaparkan. Begitu juga hal telefon bimbit. Tapi drama kita, tunjuk pelakon muda belia dah ada bilik sendiri di pejabat, pandu kereta BMW 5series jadi-jadian. Tak kalah. Apalah salahnya gunakan Preve ke, Kancil Turbo ke kan. Barulah 1Malaysia, ye tak?

Berdasarkan pemerhatian, tak salah rasanya jenama buatan Korea kini mampu dianggap sebagai produk “ori”, setanding dengan produk-produk yang telah lama mencipta nama. Korea semakin menakluk dunia tanpa kita sedar. Cumanya gua nak tanya, di manakah  produk global kita?? Salam 1Korea.

Friday, July 12, 2013

Kisah Puasa 2009

Gua dah mula bersiap-sedia untuk memulakan perjalanan menemani bos menjalankan misi sulit, pertamanya menjalankan kerja-kerja risikan di pejabat kawasan utara dan satu lagi adalah bertujuan untuk menyerahkan dua keping cek sedekah jariah daripada simati. Sebenarnya, kalau diikutkan memang tiada siapa pun yang nak membuat kerja-kerja luar memandu sampai lima enam jam di kala bulan puasa. Dia punya mencabar meningkat berganda-ganda. Gua memandu lalu belakang lori bawa 100 Plus pun dah lain macam sangat dia punya khayalan. Tetapi memandangkan ini adalah satu amanah yang sangat mulia, maka gua tidak teragak-agak untuk menerima tugasan tersebut. Apatah lagi, tugasan ke luar daerah ini bersama dengan bos gua yang sememangnya sejak dari 2007 lagi gua memang dah biasa ke membuat tugasan luar bersama beliau. Kata orang, ada soul bila keluar dengan bos gua ini.

Memulakan perjalanan di awal pagi, lokasi pertamanya adalah Ipoh. Di awal perjalanan, gua membiarkan sahaja bos gua memandu terlebih dahulu. Gua duduk sebelah teman sembang. Nak tidur, bimbang jadi biadap pula kan. Sampai di Ipoh, kitaorang dikehendaki untuk membuat penerangan serba sedikit berkenaan satu produk baru.. Bos gua intro sikit, gua sambung sampai habis. Barangkali disebabkan puasa, maka ingatan gua terhadap teh tarik sama karipap inti kentang di kala itu memang tak mampu untuk gua tepis. Sampai tersasul gua memberikan penerangan. Selesai sahaja majlis, kitaorang terus sahaja menuju ke pejabat risikan di Penang pula. Kali ini bos minta gua pula pandu. Gua memandu dengan tenang tanpa ada perasaan gundah gulana terhadap kehausan tekak. Memandu kereta buatan tempatan yang mempunyai sesaran enjin 1.6 itu amatlah mudah melayan setiap selekoh ketika mula mendaki bukit menghampiri Terowong Menora. Sedap betul layan korner. Bos pula gua perati elok sahaja duduk di tempat duduknya di sebelah gua tanpa ada rasa cuak untuk melekat di cermin sisi kereta misalannya. Mendaki bukit untuk melepasi terowong pun tiada masalah untuk menekan pedal minyak. Cuma rasa simpati itu hadir tatkala melihatkan pemandu lori sehinggakan terpaksa menekan pedal minyak sambil berdiri demi memastikan lori beliau mampu melepasi bukit / terowong dengan kadar segera. 

Selesai melakukan perkara yang sama di Penang sekitar jam 4 petang, kitaorang terus pula bergerak menuju ke Guar Chempedak / Alor Setar dalam misi menyampaikan dua keping cek, satu bernilai kira-kira sebuah Neo R3 dan satu lagi bernilai kira 200 paket beras 10kilo Basmathi Faieza. Lokasi yang dituju sebetulnya adalah Sekolah Agama Integrasi Faizin di Pekan Guar Chempedak. Berbekalkan kaedah orang tua-tua, iaitu malu bertanya sesat jalan maka sampai jugalah kitaorang ke sekolah tersebut. Sampai sahaja di pintu pagar sekolah, jelas kelihatan bangunan utama sekolah tersebut masih giat dalam kerja-kerja pembinaan semula setelah terbakar sebelumnya. Di bahagian hadapan, terletaknya tiga set khemah yang mana dijadikan tempat pengajian dan juga berfungsi sebagai surau utama. Kelihatan begitu ramai sekali kanak-kanak sedang bermain di kawasan lapang bersama rakan sebaya. Serokes-rokes gua, hati gua sayu juga melihatkan persekitaran kemudahan yang serba kekurangan. Melihatkan khemah yang dijadikan surau, suasana panas di dalamnya sudah tentu menjadikan suasana sesi pengajian tidak seselesa seperti biasa. Mujur juga gua ini bukannya tisu. Kalau tidak, nescaya gua sudah benyek. Sewaktu hendak menyerahkan cek pertama itu, ternyata Ustaz yang mengepalai sekolah tersebut kelihatan sedikit sebak dan terharu apabila melihatkan jumlah terpapar di cek tersebut. Bos terharu. Gua juga terharu. Paling tidak, inilah sahaja jasa yang gua dan bos dapat sampaikan bagi pihak arwah. Kata bos gua, dapat tumpang sikit pun jadilah tukang hantar cek ini.

Memandangkan jam di tangan sudah pun melewati angka 6 petang, kitaorang harus bergerak ke satu lagi lokasi, Sekolah Rendah Islam Darul Ulum bagi menyerahkan cek kedua juga atas nama arwah yang sama. Benarlah kata orang, kerja baik ini memang Allah bagi pemudah kerja. Kebetulan rupanya Sekolah Integrasi Faizin ini sebenarnya berada di bawah satu pengurusan yang sama dengan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum tersebut. Ustaz tersebut menawarkan diri untuk menjadi GPS menuju ke sekolah tersebut yang mana jarak pemanduan cuma sekitar 10 minit sahaja. Memandu melalui jalan kampung sambil dihidang dengan pemandangan yang cukup tenang sesungguhnya membuatkan gua alpa pada rasa lapar dan letih walaupun dari awal pagi dah menempuh perjalanan yang boleh tahan jauh. 

Sewaktu penyerahan cek derma kedua ini, si Ustaz beria mempelawa gua dan juga bos untuk berbuka bersama mereka, tanda mereka gembira menyambut tetamu datang dari jauh. Namun, pelawaan tersebut berjaya ditolak dengan penuh berhemah oleh bos gua tanpa melibatkan sebarang pertumpahan darah. Memandangkan jam sudah pun menghampiri 6.45 petang,maka kitaorang meminta izin mengundur diri  tanda orang berbudi bahasa dengan perasaan yang sangat lega kerana telah menunaikan amanah yang bukan calang-calang. Hanya Executor yang mampu melakukannya. Eceh.

Dan kitaorang pun terus bergegas menuju pula ke Alor Setar, atau lebih tepat kampung kepada bos gua untuk berbuka. Hah..pasal itulah kitaorang terpaksa menolak pelawaan si Ustaz itu tadi. Pekena berbuka stail kampung-kampung ni duduk bersila memang klasik betullah. Selesai berbuka & menunaikan solat Maghrib kitaorang sekali lagi bergegas menuju ke Holiday Villa Alor Setar untuk daftar masuk memandangkan kitaorang perlu menyambung tugasan rasmi yang masih belum selesai lagi keesokkannya. Walaupun dah penat tapi kalau dah nama keluar dengan bos gua, maka lewat malam itu sempat lagi bos mengajak gua untuk pekena ikan bakar di Perindu. Penat jangan cakaplah. Memang tak boleh nak bercakap sangat dah. Mulut pula penat nak mengunyah ikan bakar sama sotong goreng tepung. Balik hotel, tidur selena-lenanya. Mujur mampu lagi bangun sahur. Ok, pengalaman sahur di hotel memang tak seronok. Tak patut betul hidang nasi sama lauk kambing pukul 4.00 pagi. Sudahnya, sahur sama bijiran sahaja.

Siang esoknya kitaorang menyambung kerja semula di pejabat cawangan Alor Setar dahulu kemudiannya patah balik ke cawangan Sg Petani bagi melunaskan misi terakhir. Kitaorang mula bergerak meninggalkan Sg. Petani tepat jam 4.00 petang. Seperti biasa, tugas memegang stereng masih lagi diserahkan kepada gua. Gua sempat mengajukan soalan, di mana hendak berbuka nanti. Bos gua cuba mengagak, sempat ke tidak kalau nak berbuka di KL. Entah jin apa yang telah merasuk gua di kala itu, gua memberikan jawapan yang sangat yakin bahawasanya kita akan sempat sampai di KL sebelum waktu berbuka. Bos gua dengan segera memberikan arahan kepada pasukan ejen risikan yang berada di kawasan selatan agar berjumpa di titik pertemuan di Restoran Chaingmai Sg Buloh. Tanpa melengahkan masa, gua segera memandu kereta buatan tempatan itu sama seperti laju ETS. Gua nak perati meter kelajuan pun tak sempat dah. Itu jam, semua yang berada di lorong kanan gua bagi high beam satu kali tanda meminta izin diberikan laluan. Mujur juga gua diberikan kerjasama yang amat baik. Bos pula gua perati elok sahaja duduk tersandar tanda yakin dengan tahap pemanduan gua. Cuma setiap kali melintasi bawah jejambat, maka serta merta meter kelajuan mematuhi had kelajuan kebangsaan. Selebihnya, gua tak perlulah cerita berapa gua pecut itu jam. Hasilnya tepat jam 7.15 waktu tempatan gua dah berjaya sampai di hadapan pintu masuk restoran, ngam-ngam azan baru berkumandang. Gua syak, ETS pun tak mampu mencatat masa sebegitu pantas. Oklah, sekian sahaja cerita gua. Yang sebenarnya, gua nak suruh lu orang buat Wasiat dan jangan lupa sedekahkan sedikit buat mereka yang memerlukan. Itu aja. Kepada kawan gua yang nak naik haji itu, silalah berwasiat iya. 

Gua masuk dalam ni panas woo


Bangunan sekolah yang dibina semula dikala itu
Upacara menyerahkan cek yang pertama

Upacara penyerahan cek yang kedua pula
P/S: Gambar diambil menggunakan Telefom Bimbit Berkamera berkuasa rendah. Harap maklum.

Wednesday, July 10, 2013

Fatwa Sana Sini

Sejak akhir-akhir ini sudah tentu ramai yang perasan sana-sini ramai yang duk sibuk nak menfatwakan tentang penggunaan e-rokok. Sampaikan persatuan pengguna sebuah negeri di utara semenanjung pun sama sibuk nak menyelit kata e-rokok itulah..inilah. Seolah e-rokok ini adalah perkara yang paling teruk & paling merbahaya sekali di muka bumi. Jadi, kesempatan yang ada ini gua nak kongsikan, sebenarnya banyak lagi perkara yang patut sama untuk difatwakan dan diambil kisah oleh Presiden Persatuan Pengguna sebuah negeri di utara Semenanjung.
  1. Kenderaan yang berhenti di Petak Kuning. Tahukah 3 biji kenderaan termasuk bas yang berhenti di Petak Kuning mampu menyebabkan berpuluh kereta yang lain tersangkut tak boleh nak bergerak. Dan berapa banyak pula sumpah seranah yang telah dilemparkan. Cukup 40 kali, 3 biji kenderaan yang tersangkut itu pasti ditimpa celaka, kemalangan misalannya. Bila dah berlaku kecelakaan, pasti akan menyebabkan kesesakan yang berlipat kali ganda. Nampak..? Nampak..? Apa balanya berhenti di Petak Kuning? 
  2. Kenderaan yang berhenti di tepi jalanraya yang sibuk semata-mata nak menunggu orang rumah keluar pejabat. Tahukah juga, hanya kerana terdapat sebuah Proton Satria Neo R3 jadi-jadian sedang menunggu di bahu jalan, bahananya boleh mengakibatkan kereta-kereta di babagian belakang mengalami kesesakan yang biasa-biasa, tetapi bakal bertukar menjadi dasyat pada bulan puasa ini kerana semua orang mahu bergegas pulang awal.  Cukup 40 kali, Satria Neo tadi yang berhenti di bahu jalan itu pasti ditimpa celaka, kemalangan misalannya. Bila dah berlaku kecelakaan, pasti akan menyebabkan kesesakan yang berlipat kali ganda dasyat. Nampak..? Nampak..? Apa balanya berhenti di bahu jalan.
  3. Orang meniaga di Bazar Ramadhan, dia pun sama nak meniaga di Bazar Ramadhan juga. Orang meniaga pasal memang dah meniaga itu kerja diaorang. Tapi dia ini meniaga pasal tengok orang lain meniaga. Jual kuih-muih, tapi rasa Friskies. Tah berapa ramai yang kecewa bila mana terbeli. Dengar kata, masalah ini melibatkan 1Malaysia juga. Bukan setakat di bandar-bandar besar sahaja.
  4. Meniaga di Bazar Ramadhan serupa nak pergi Haji cepat. Serba-serbi jual pada harga premium. Air tebu sebalang jual sampai RM5. Onde-onde seringgit dapat 5 ketul tapi besar ibu jari anak gua. Karipap 40sen sebiji tapi inti angin. Lauk paru berlado dua senduk bersamaan dengan dua sudu besar jual sampai 4 ringgit. Tak patut betul jual benda-benda lagha macam ni kepada insan yang mempunyai pendapatan yang sama seperti kerani sebuah bank sahaja padahal berjawatan seorang eksekutif.
  5. Penjual mercun yang jual mercun di Bazar Ramadhan. Jadah apa, dalam kaca tv asyiklah beritahu rakyat kata pihak penguatkuasa berjaya mematahkan cubaan seludup mercun dan bunga api berskala Sukan Sea. Tapi yang dijual di Bazar Ramadhan tu gua perati dah berskala Sukan Olimpik dia punya mercun sama bunga api. Apa cerita?? Takkanlah para Mufti dan Presiden Persatuan Pengguna sebuah negeri utara Semenanjung tak tahu akan perkara ini?? 
Gua rasa, cukuplah kot apa yang gua nak kongsikan ini. Mungkin dah sampai masanya benda-benda serupa ini pun difatwakan sama apa hukumnya. Nampak macam remeh, tapi akibat yang mungkin timbul daripadanya bakal memberikan impak yang lebih besar daripada kawan-kawan yang menghisap e-rokok. Lupakanlah bab e-rokok itu. Rokok yang sedia ada itu pun tak tentu hala jadinya lagi gua perati. Er, rokok itu sebenarnya halal ke haram woi?? 

Sunday, July 07, 2013

Perihal Nasi Lemak

Nasi Lemak ini asalnya merupakan satu satu makanan tradisi orang Melayu yang kebiasaannya di makan di waktu pagi. Secara asasnya, Nasi Lemak ini dipakejkan sekali dengan kacang tanah yang siap digoreng, ikan bilis rangup, telur rebus sepotong dan tak lupa juga timun barang sepotong dua berserta sambal sesedap tekak. Ini adalah asas yang lengkap untuk sesebuah Nasi Lemak selain daripada nasi yang telah ditanak bersama santan perah [santan kotak tak sedap..terasa kotak bila makan]. Kebiasaanya, Nasi Lemak ini dijual dipinggir jalan di kampung-kampung demi memudahkan masyarakat setempat untuk membelinya.

Namun, sejajar dengan arus kemodenan, Nasi Lemak kini telah diangkat menjadi makanan tradisi masyarakat Malaysia tanpa mengira waktu. Pagi petang siang malam memang tak susah nak dapatkan Nasi Lemak. Dan kini Nasi Lemak ini menjadi semakin tak tentu arah dibuatnya apabila ianya kerap dijodohkan pelbagai jenis lauk-pauk. Bukan setakat telur goreng dan ayam goreng, malah paru goreng, sambal kerang, sambal sotong, rendang daging pun ada. Serupa hidangan tengahari dia punya lauk. Itu jam, dia punya harga kalau serupa kapal selam jangan terkejut pula bila waktu membayar di kedai makan bertaraf kopitiam. Tak mengapalah, memang kedainya dah elok sedikit. Siap berpenghawa dingin bagai.

Ini jadah apa, pagi tadi gua pergi makan Nasi Lemak di medan selera yang terletak di Tanglin dia punya harga untuk yang asas [tak berapa asas sebenarnya sebab ikan bilis & telur rebus dia tak ada bubuh sekali] boleh cecah sampai 2 ringgit.  Belum lu orang ambil lauk lain lagi. Mahal merepek. Begedel besar syiling 50sen jual seringgit. Nak cepat kaya pergi buat umrah ke?? Tak patut betul. Gua menentang sekeras-kerasnya penjualan Nasi Lemak yang tidak menyerupai Nasi Lemak yang sebenar. Sumpah, kalau lu orang berhajat nak pergi makan Nasi Lemak yang terletak di Tanglin tersebut, batalkan sahaja niat nak mengkayakan empunya. Sedapnya entah kemana. Memang gua takkan sesekali menyinggah untuk makan lagi Nasi Lemak di situ lagi. Yang orang ramai asyik pergi makan disitu berulangkali tekak serupa apa pun gua tak reti nak bayangkan. Tolonglah selamatkan maruah Nasi Lemak. Gua merayu ni.

Friday, July 05, 2013

Kisah Puasa Dulu-Dulu

Kisah ini berlaku sewaktu gua berusia sekitar lapan tahun. Macam biasa la, budak darjah dua kalau puasa, kadang tu bukan boleh dikira sangat cukup sifatnya. Ada masa gua puasa, ada masa tuang juga. Gua memang tiada masalah besar untuk bangun sahur. Kadang-kadang tu, gua yang bangun awal dari mak gua. Tapi apa jadahnya gua nak bangun sebegitu awal. Ayam pun tak bangun sahur lagi. Takkan la budak darjah dua dah sibuk kat dapur pula? Gua makan nasi pun kadang-kadang nasi tumpah tak tentu hala. Lebih ke meja daripada masuk ke mulut. Inikan pulak nak sibuk-sibuk kat dapur. Kena halau dengan mak gua lagi ada la. Baik gua sambung tido. nanti pandai la mak gua nak kejutkan semula. Menu sahur biasanya lebih ke arah menu 1Malaysia. Mudah dan jimat. Nasi putih, telur mata sama kicap. Cukup.

Waktu ni gua bersekolah sesi pagi. Memandangkan puasa, gua tak berapa sangat nak join budak-budak lain main sep-sep tiang la..konda kondi la. Biasanya waktu rehat kat sekolah gua lebih gemar membaca Al-Quran..(ah, gua tipu nih…) gua lepak dalam kelas aja yang sebenarnya. Banyak lagi tenaga nak guna sampai petang ni. Malas nak campur sangat dengan budak-budak tak tentu hala ni.

Habis sahaja sesi persekolahan memang gua terus tuju balik rumah. Sebarang niat untuk melepak & bermain tepuk kad di rumah kawan memang gua sematkan dalam hati sahaja. Sampai di rumah, gua campak beg sekolah, terus capai bantal. Waktu ni bateri Energizer gua memang tak boleh nak kompromi sangat dah. Lebih baik gua tido daripada gua buat-buat ulang-alik dapur jenguk peti ais. Agak-agak nak Asar, gua pun bangun. Gua bangun tu pun sebab nak tengok kartun. Itu jam siaran yang ada pun sampai ke angka 3 aja. Siaran TV kabel berbayar ni belum wujud lagi. Gua layan jela cerita Smurf sama Transformer. Kadang-kadang tu layan jugalah gua dengan cerita Rumah Kedai yang memang sangat ngam waktu bulan-bulan puasa ni. Kacak betul si Harun Salim Bachik di kala muda. Ehsan pun kalah gua fikir. 

Kadang, ada masa juga gua lepak di padang sambil tendang-tendang bola sikit-sikit. Nak tendang lebih-lebih, bimbang gua mengalami masalah hidrasi pula. Apabila jam menunjukkan jam kul 6, gua dah mula tak tentu hala. Dia punya mundar mandir mengalahkah YB yang baru lepas kalah Pilihanraya, macam mana tah nak jawab ke Ketua Bahagian. Untuk menghilangkan rasa gundah gulana, gua pun ajak la abah gua pergi mencari kuih sikit buat berbuka karang. Sampai sahaja di bazar Ramadhan, abah gua terus menuju ke gerai yang jual murtabak. Tapi dia punya beratur nak order mengalahkan makcik-makcik yang nak bayar bil api kat pejabat pos. Apa pasal tah, tiap kali musim puasa, murtabak memang ramai sangat orang cari. Itu jam, murtabak yang dijual memang merupakan sejenis murtabak. Zaman sekarang ini gua perati serupa roti telur. Inti daging  entah kemana. Sebaik sahaja mendapatkan murtabak, gua mesti minta abah gua cari satu lagi perkara wajib waktu bulan puasa nih.. kuih onde-onde. Minta serinnggit, dapat la sepuluh biji. Jangan-jangan waktu sekarang ni seringgit dapat tiga biji sahaja. Ceh. Tak patut betul. 

Balik sahaja dari membeli juadah berbuka, gua orang pertama yang mengambil tempat depan meja, padahal jam baru pukul 7..apa pasal entah gua rasa jam ni macam dengki sangat dengan gua. Perlahan sangat jarumnya nak gerak. Ini adalah masa yang paling kritikal sekali dalam hidup gua. Sebulan berpuasa, sebulan jugalah gua terpaksa menempuh waktu yang kritikal sebegini. Menguji sungguh nak tiba ke waktu azan berkumandang. Sebaik sahaja azan dilaungkan, gua cuma baca doa yang paling asas sahaja, iaitu Bismillah dan terus pekena air tebu sebalang. Sudahnya, murtabak ke mana, onde-onde ke mana. Tau-tau sahaja gua tersandar perut sebu. Begitulah sahajalah cerita gua mengimbau kenangan puasa dulu-dulu. Kepada semua, Selamat Berpuasa gua ucapkan. Bagi pihak Otak-Tepu, gua memohon kemaafan sekiranya ada turut kata di blog ini yang kurang disenangi. Ada masa, sepanjang bulan puasa nanti gua merapu lagi.

Wednesday, July 03, 2013

Siri Rumah Kedai


Drama bersiri Teduhan Kasih dah pun berakhir. Gua tengok sejak akhir-akhir ini, ramai juga yang mengemaskini status FB masing-masing perihal Ehsan la..Ayu la..KakLong la..tapi takde sorang pun nak petik nama Makcik Hanim tu. Tahukah lu orang, tanpa Makcik Hanim, sudah tentu Ehsan kelam kabut semalam kerana merasa khuatir tentang keadaan Iffa yang bila-bila masa bakal melahirkan anak. Dengar kata, baby perempuan. Entah berapa cm pula dah buka semalam si Iffa tu ye.

Ah, jadah apa pula gua nak ulas panjang lebar pasal cerita yang sikit masa lagi entah siapa yang ingat lagi tah perihal Ehsan dan juga Pakcik Fuad [bapa tiri Ehsan]. Sekarang ni gua nak imbas kembali drama bersiri yang pernah menggegar arena pendramaan satu ketika dahulu, terutamanya menjelang Ramadhan ini. 

Cerita yang gua maksud adalah Rumah Kedai. Rumah Kedai ni memang layan betul tengok petang-petang sambil menunggu habis cerita nak pergi beli Onde-onde sama Murtabak. Itu jam, watak Remy sama Tapa memang ngam betullah sebagai pelengkap kepada pemegang watak tunjang, Pak Halim dan juga Mak Lijah. Memang kuat betul watak yang dipegang sehinggakan dah berpuluh tahun pun kita masih terbayang Harun Salim Bachik begitu ngam dengan watak Remy. Dia punya kuat serupa besi berani. Watak Pak Halim yang dipegang oleh Arwah Yusof Mohamad itu sebenarnya kerap kali juga gua tertembang dengan beliau mengayuh basikal di sekitar Batu Caves sewaktu gua dah besar sikit dahulu. Nak jerit panggil Pak Halim serupa kurang ajar pula terjerit-jerit dari dalam kereta. Watak “Rumah Kedai” sebenarnya itu pula di kala itu dirakamkan di sebuah rumah kedai yang terletak di Taman Koperasi Polis Fasa 1. Gua yang tinggal di Fasa 2 di kala itu pun menumpang seronok bercerita dengan rakan sekelas bahawasanya lokasi penggambaran dilakukan di kawasan adik-beradik dengan taman gua.

Siri Rumah Kedai inilah yang sebenarnya dekat dengan masyarkat kita. Tentang perihal apa yang berlaku di kalangan jiran tetangga. Bukannya watak anak muda yang kelihatan baru habis Ijazah, tapi dah dapat duduk dalam bilik sendiri gaya bos-bos. Pakai pula kereta buatan Eropah, tak kalah. Gua tengok realitinya budak-budak habis belajar zaman sekarang habis kuat pun Myvi SE 1.5 aja. Itu pun kadang sangkut sebulan tak bayar. Tak baik betul pembikin drama zaman sekarang ni memberikan harapan palsu kepada anak-anak yang masih di bangku sekolah lagi konon seronok kerja di sektor swasta.

Maka, sebab itulah Rumah Kedai ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan penonton di kala itu, baik yang muda mahupun tak berapa nak muda. Sebabnya, itulah realiti kebanyakkan orang seperti kita. Setakat mak suruh beli kelapa separuh nak buat santan di kedai runcit apa ada hal. Siap boleh bersembang kat tepi kaunter lagi dengan jiran belakang rumah konon lama tak jumpa. Zaman sekarang ni gua dengar semuanya jenis beli santan kotak di pasarraya besar Giant. Tak feel langsung. Sempena Ramadhan kali ini, gua dengar akan ada cerita Rumah Kedai versi 2013. Jangan jahanam sudahlah. Gua mohon dibuat tayangan semula cerita Rumah Kedai versi asal. Amacam, ada yang bersetuju dengan gua tak??

Tuesday, July 02, 2013

Kisah Bukit Bendera




Ok, ini entri terakhir tentang Penang. Gua memang suka betul kalau dapat menjejakkan kaki ke Penang ini. Jadi, mari gua kongsikan tentang Bukit Bendera ini, yang mana gua yakin masih ramai lagi belum menjejakkan kaki ke sana. Sepanjang sejarah hidup gua, adalah dalam tiga kali gua telah menjejakkan kaki ke Bukit Bendera. Pertama kali sewaktu gua masih lagi di zaman kanak-kanak. Sunat pun belum lagi di kala itu. Sungguh pun demikian, ingatan gua terhadap Bukit Bendera begitu kuat dikala gua membuat kunjungan kali kedua sekitar tahun 2005. Ternyata, memori ketika kali pertama berulang lagi sewaktu gua mula beratur untuk menaiki tren dari stesen bawah. Dia punya panas jangan cakaplah. Puas jugalah gua mengibas kolar baju supaya angin segera datang untuk menyejukkan gua dikala itu. Gua sangkakan panas berpanjangan, rupanya memang berpanjangan sungguh. Bila mana menaiki tren yang mempunyai kelajuan serupa siput, lagilah terasa panas hati dengan ramai orang dan juga kipas di bumbung tren yang kelihatan seperti berada di Butang No. 1 sahaja dia punya laju. Bila sampai di stesen atas, gua perati situasinya juga tidak jauh berubah sewaktu kunjungan gua zaman masih kecil lagi. Segalanya masih kelihatan tiada beza. Suhu di atas Bukit Bendera di kala itu pun masih boleh terasa angin sejuk lagi. Serupa pasang kipas dinding Butang No. 3.

Namun segalanya kini telah jauh berubah, seiring dengan peredaran zaman barangkali. Pengalaman mengipas kolar baju panas menunggu tren tidak lagi berlaku. Sejuk betul di bahagian ruangan menunggu. Penghawa dinginnya bersepah di sana sini. Cumanya bahangnya terasa di bahagian luar kerana sedang mengalami pengubahsuaian yang cukup intensif, demi keselesaan di masa hadapan. Sikit masa lagi siap sudah barangkali kerja pengubahsuainya. Menunggu tren yang serba baharu itu pun tidak lama. Sekejap dah sampai. Dan sekejap juga dah sampai stesen di bahagian atas. Laju serupa LRT. Memang berbaloi sungguh gua membayar RM8 sebagai tiket untuk sampai ke atas Bukit Bendera ini.

Sewaktu berada di Bukit Bendera, ternyata kerja-kerja menaik-taraf yang telah dijalankan sebelum ini berjaya mengembalikan rupa-bentuk Bukit Bendera yang lebih segar dan terkini. Antara yang telah menerima facelift adalah teropong yang telah dicat dengan pelbagai warna-warni untuk menarik perhatian anak-anak kecil supaya meminta RM1 sebagai ganti untuk melihat meneropong Penang dari kejauhan. Manakala, antara perubahan besar yang telah ditambah-baik adalah wujudnya Astaka juga untuk di deck atas untuk melihat-lihat pemandangan sambil bergambar sakan manakala di bahagian bawahnya menempatkan orang ramai menjamu tekak dan juga sebuah Muzim Burung Hantu turut ditempatkan di bahagian bawah. Untuk yang bercitarakan premium, boleh mencuba melepak sambil pekena Teh yang gua syak harga dia serupa RON97 di David Brown's Restaurant & Tea Terrace sambil menikmati pemandangan yang gua jamin cukup berbaloi dengan apa yang lu orang bayar.



Secara jujurnya, kalau lu orang tak mahu naik ke Bukit Bendera ni pun bukanlah satu isu yang harus diperbesarkan. Setakat naik duduk kat atas tu menghabiskan masa sejam dua bergambar sana sini. Tipikal. Tapi lu orang tak segan ke, esok-esok kalau dah ada anak, dia bertanya.. "Ayah, jom kita pergi Bukit Bendera nak tak? Er, mesti Ayah dah pernah pergi masa kecil-kecil dulu kan.. ". Hah..Apa lu orang orang nak jawab?