Friday, July 05, 2013

Kisah Puasa Dulu-Dulu

Kisah ini berlaku sewaktu gua berusia sekitar lapan tahun. Macam biasa la, budak darjah dua kalau puasa, kadang tu bukan boleh dikira sangat cukup sifatnya. Ada masa gua puasa, ada masa tuang juga. Gua memang tiada masalah besar untuk bangun sahur. Kadang-kadang tu, gua yang bangun awal dari mak gua. Tapi apa jadahnya gua nak bangun sebegitu awal. Ayam pun tak bangun sahur lagi. Takkan la budak darjah dua dah sibuk kat dapur pula? Gua makan nasi pun kadang-kadang nasi tumpah tak tentu hala. Lebih ke meja daripada masuk ke mulut. Inikan pulak nak sibuk-sibuk kat dapur. Kena halau dengan mak gua lagi ada la. Baik gua sambung tido. nanti pandai la mak gua nak kejutkan semula. Menu sahur biasanya lebih ke arah menu 1Malaysia. Mudah dan jimat. Nasi putih, telur mata sama kicap. Cukup.

Waktu ni gua bersekolah sesi pagi. Memandangkan puasa, gua tak berapa sangat nak join budak-budak lain main sep-sep tiang la..konda kondi la. Biasanya waktu rehat kat sekolah gua lebih gemar membaca Al-Quran..(ah, gua tipu nih…) gua lepak dalam kelas aja yang sebenarnya. Banyak lagi tenaga nak guna sampai petang ni. Malas nak campur sangat dengan budak-budak tak tentu hala ni.

Habis sahaja sesi persekolahan memang gua terus tuju balik rumah. Sebarang niat untuk melepak & bermain tepuk kad di rumah kawan memang gua sematkan dalam hati sahaja. Sampai di rumah, gua campak beg sekolah, terus capai bantal. Waktu ni bateri Energizer gua memang tak boleh nak kompromi sangat dah. Lebih baik gua tido daripada gua buat-buat ulang-alik dapur jenguk peti ais. Agak-agak nak Asar, gua pun bangun. Gua bangun tu pun sebab nak tengok kartun. Itu jam siaran yang ada pun sampai ke angka 3 aja. Siaran TV kabel berbayar ni belum wujud lagi. Gua layan jela cerita Smurf sama Transformer. Kadang-kadang tu layan jugalah gua dengan cerita Rumah Kedai yang memang sangat ngam waktu bulan-bulan puasa ni. Kacak betul si Harun Salim Bachik di kala muda. Ehsan pun kalah gua fikir. 

Kadang, ada masa juga gua lepak di padang sambil tendang-tendang bola sikit-sikit. Nak tendang lebih-lebih, bimbang gua mengalami masalah hidrasi pula. Apabila jam menunjukkan jam kul 6, gua dah mula tak tentu hala. Dia punya mundar mandir mengalahkah YB yang baru lepas kalah Pilihanraya, macam mana tah nak jawab ke Ketua Bahagian. Untuk menghilangkan rasa gundah gulana, gua pun ajak la abah gua pergi mencari kuih sikit buat berbuka karang. Sampai sahaja di bazar Ramadhan, abah gua terus menuju ke gerai yang jual murtabak. Tapi dia punya beratur nak order mengalahkan makcik-makcik yang nak bayar bil api kat pejabat pos. Apa pasal tah, tiap kali musim puasa, murtabak memang ramai sangat orang cari. Itu jam, murtabak yang dijual memang merupakan sejenis murtabak. Zaman sekarang ini gua perati serupa roti telur. Inti daging  entah kemana. Sebaik sahaja mendapatkan murtabak, gua mesti minta abah gua cari satu lagi perkara wajib waktu bulan puasa nih.. kuih onde-onde. Minta serinnggit, dapat la sepuluh biji. Jangan-jangan waktu sekarang ni seringgit dapat tiga biji sahaja. Ceh. Tak patut betul. 

Balik sahaja dari membeli juadah berbuka, gua orang pertama yang mengambil tempat depan meja, padahal jam baru pukul 7..apa pasal entah gua rasa jam ni macam dengki sangat dengan gua. Perlahan sangat jarumnya nak gerak. Ini adalah masa yang paling kritikal sekali dalam hidup gua. Sebulan berpuasa, sebulan jugalah gua terpaksa menempuh waktu yang kritikal sebegini. Menguji sungguh nak tiba ke waktu azan berkumandang. Sebaik sahaja azan dilaungkan, gua cuma baca doa yang paling asas sahaja, iaitu Bismillah dan terus pekena air tebu sebalang. Sudahnya, murtabak ke mana, onde-onde ke mana. Tau-tau sahaja gua tersandar perut sebu. Begitulah sahajalah cerita gua mengimbau kenangan puasa dulu-dulu. Kepada semua, Selamat Berpuasa gua ucapkan. Bagi pihak Otak-Tepu, gua memohon kemaafan sekiranya ada turut kata di blog ini yang kurang disenangi. Ada masa, sepanjang bulan puasa nanti gua merapu lagi.

No comments:

Post a Comment