Friday, July 12, 2013

Kisah Puasa 2009

Gua dah mula bersiap-sedia untuk memulakan perjalanan menemani bos menjalankan misi sulit, pertamanya menjalankan kerja-kerja risikan di pejabat kawasan utara dan satu lagi adalah bertujuan untuk menyerahkan dua keping cek sedekah jariah daripada simati. Sebenarnya, kalau diikutkan memang tiada siapa pun yang nak membuat kerja-kerja luar memandu sampai lima enam jam di kala bulan puasa. Dia punya mencabar meningkat berganda-ganda. Gua memandu lalu belakang lori bawa 100 Plus pun dah lain macam sangat dia punya khayalan. Tetapi memandangkan ini adalah satu amanah yang sangat mulia, maka gua tidak teragak-agak untuk menerima tugasan tersebut. Apatah lagi, tugasan ke luar daerah ini bersama dengan bos gua yang sememangnya sejak dari 2007 lagi gua memang dah biasa ke membuat tugasan luar bersama beliau. Kata orang, ada soul bila keluar dengan bos gua ini.

Memulakan perjalanan di awal pagi, lokasi pertamanya adalah Ipoh. Di awal perjalanan, gua membiarkan sahaja bos gua memandu terlebih dahulu. Gua duduk sebelah teman sembang. Nak tidur, bimbang jadi biadap pula kan. Sampai di Ipoh, kitaorang dikehendaki untuk membuat penerangan serba sedikit berkenaan satu produk baru.. Bos gua intro sikit, gua sambung sampai habis. Barangkali disebabkan puasa, maka ingatan gua terhadap teh tarik sama karipap inti kentang di kala itu memang tak mampu untuk gua tepis. Sampai tersasul gua memberikan penerangan. Selesai sahaja majlis, kitaorang terus sahaja menuju ke pejabat risikan di Penang pula. Kali ini bos minta gua pula pandu. Gua memandu dengan tenang tanpa ada perasaan gundah gulana terhadap kehausan tekak. Memandu kereta buatan tempatan yang mempunyai sesaran enjin 1.6 itu amatlah mudah melayan setiap selekoh ketika mula mendaki bukit menghampiri Terowong Menora. Sedap betul layan korner. Bos pula gua perati elok sahaja duduk di tempat duduknya di sebelah gua tanpa ada rasa cuak untuk melekat di cermin sisi kereta misalannya. Mendaki bukit untuk melepasi terowong pun tiada masalah untuk menekan pedal minyak. Cuma rasa simpati itu hadir tatkala melihatkan pemandu lori sehinggakan terpaksa menekan pedal minyak sambil berdiri demi memastikan lori beliau mampu melepasi bukit / terowong dengan kadar segera. 

Selesai melakukan perkara yang sama di Penang sekitar jam 4 petang, kitaorang terus pula bergerak menuju ke Guar Chempedak / Alor Setar dalam misi menyampaikan dua keping cek, satu bernilai kira-kira sebuah Neo R3 dan satu lagi bernilai kira 200 paket beras 10kilo Basmathi Faieza. Lokasi yang dituju sebetulnya adalah Sekolah Agama Integrasi Faizin di Pekan Guar Chempedak. Berbekalkan kaedah orang tua-tua, iaitu malu bertanya sesat jalan maka sampai jugalah kitaorang ke sekolah tersebut. Sampai sahaja di pintu pagar sekolah, jelas kelihatan bangunan utama sekolah tersebut masih giat dalam kerja-kerja pembinaan semula setelah terbakar sebelumnya. Di bahagian hadapan, terletaknya tiga set khemah yang mana dijadikan tempat pengajian dan juga berfungsi sebagai surau utama. Kelihatan begitu ramai sekali kanak-kanak sedang bermain di kawasan lapang bersama rakan sebaya. Serokes-rokes gua, hati gua sayu juga melihatkan persekitaran kemudahan yang serba kekurangan. Melihatkan khemah yang dijadikan surau, suasana panas di dalamnya sudah tentu menjadikan suasana sesi pengajian tidak seselesa seperti biasa. Mujur juga gua ini bukannya tisu. Kalau tidak, nescaya gua sudah benyek. Sewaktu hendak menyerahkan cek pertama itu, ternyata Ustaz yang mengepalai sekolah tersebut kelihatan sedikit sebak dan terharu apabila melihatkan jumlah terpapar di cek tersebut. Bos terharu. Gua juga terharu. Paling tidak, inilah sahaja jasa yang gua dan bos dapat sampaikan bagi pihak arwah. Kata bos gua, dapat tumpang sikit pun jadilah tukang hantar cek ini.

Memandangkan jam di tangan sudah pun melewati angka 6 petang, kitaorang harus bergerak ke satu lagi lokasi, Sekolah Rendah Islam Darul Ulum bagi menyerahkan cek kedua juga atas nama arwah yang sama. Benarlah kata orang, kerja baik ini memang Allah bagi pemudah kerja. Kebetulan rupanya Sekolah Integrasi Faizin ini sebenarnya berada di bawah satu pengurusan yang sama dengan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum tersebut. Ustaz tersebut menawarkan diri untuk menjadi GPS menuju ke sekolah tersebut yang mana jarak pemanduan cuma sekitar 10 minit sahaja. Memandu melalui jalan kampung sambil dihidang dengan pemandangan yang cukup tenang sesungguhnya membuatkan gua alpa pada rasa lapar dan letih walaupun dari awal pagi dah menempuh perjalanan yang boleh tahan jauh. 

Sewaktu penyerahan cek derma kedua ini, si Ustaz beria mempelawa gua dan juga bos untuk berbuka bersama mereka, tanda mereka gembira menyambut tetamu datang dari jauh. Namun, pelawaan tersebut berjaya ditolak dengan penuh berhemah oleh bos gua tanpa melibatkan sebarang pertumpahan darah. Memandangkan jam sudah pun menghampiri 6.45 petang,maka kitaorang meminta izin mengundur diri  tanda orang berbudi bahasa dengan perasaan yang sangat lega kerana telah menunaikan amanah yang bukan calang-calang. Hanya Executor yang mampu melakukannya. Eceh.

Dan kitaorang pun terus bergegas menuju pula ke Alor Setar, atau lebih tepat kampung kepada bos gua untuk berbuka. Hah..pasal itulah kitaorang terpaksa menolak pelawaan si Ustaz itu tadi. Pekena berbuka stail kampung-kampung ni duduk bersila memang klasik betullah. Selesai berbuka & menunaikan solat Maghrib kitaorang sekali lagi bergegas menuju ke Holiday Villa Alor Setar untuk daftar masuk memandangkan kitaorang perlu menyambung tugasan rasmi yang masih belum selesai lagi keesokkannya. Walaupun dah penat tapi kalau dah nama keluar dengan bos gua, maka lewat malam itu sempat lagi bos mengajak gua untuk pekena ikan bakar di Perindu. Penat jangan cakaplah. Memang tak boleh nak bercakap sangat dah. Mulut pula penat nak mengunyah ikan bakar sama sotong goreng tepung. Balik hotel, tidur selena-lenanya. Mujur mampu lagi bangun sahur. Ok, pengalaman sahur di hotel memang tak seronok. Tak patut betul hidang nasi sama lauk kambing pukul 4.00 pagi. Sudahnya, sahur sama bijiran sahaja.

Siang esoknya kitaorang menyambung kerja semula di pejabat cawangan Alor Setar dahulu kemudiannya patah balik ke cawangan Sg Petani bagi melunaskan misi terakhir. Kitaorang mula bergerak meninggalkan Sg. Petani tepat jam 4.00 petang. Seperti biasa, tugas memegang stereng masih lagi diserahkan kepada gua. Gua sempat mengajukan soalan, di mana hendak berbuka nanti. Bos gua cuba mengagak, sempat ke tidak kalau nak berbuka di KL. Entah jin apa yang telah merasuk gua di kala itu, gua memberikan jawapan yang sangat yakin bahawasanya kita akan sempat sampai di KL sebelum waktu berbuka. Bos gua dengan segera memberikan arahan kepada pasukan ejen risikan yang berada di kawasan selatan agar berjumpa di titik pertemuan di Restoran Chaingmai Sg Buloh. Tanpa melengahkan masa, gua segera memandu kereta buatan tempatan itu sama seperti laju ETS. Gua nak perati meter kelajuan pun tak sempat dah. Itu jam, semua yang berada di lorong kanan gua bagi high beam satu kali tanda meminta izin diberikan laluan. Mujur juga gua diberikan kerjasama yang amat baik. Bos pula gua perati elok sahaja duduk tersandar tanda yakin dengan tahap pemanduan gua. Cuma setiap kali melintasi bawah jejambat, maka serta merta meter kelajuan mematuhi had kelajuan kebangsaan. Selebihnya, gua tak perlulah cerita berapa gua pecut itu jam. Hasilnya tepat jam 7.15 waktu tempatan gua dah berjaya sampai di hadapan pintu masuk restoran, ngam-ngam azan baru berkumandang. Gua syak, ETS pun tak mampu mencatat masa sebegitu pantas. Oklah, sekian sahaja cerita gua. Yang sebenarnya, gua nak suruh lu orang buat Wasiat dan jangan lupa sedekahkan sedikit buat mereka yang memerlukan. Itu aja. Kepada kawan gua yang nak naik haji itu, silalah berwasiat iya. 

Gua masuk dalam ni panas woo


Bangunan sekolah yang dibina semula dikala itu
Upacara menyerahkan cek yang pertama

Upacara penyerahan cek yang kedua pula
P/S: Gambar diambil menggunakan Telefom Bimbit Berkamera berkuasa rendah. Harap maklum.

1 comment: