Wednesday, June 19, 2013

Aku Sebuah Power Bank



Aku adalah sebuah Power Bank. Iye, begitulah tajuk yang ingin aku sampaikan kepada semua pembaca budiman semua. Jangan dihairankan dengan tajuk yang sebegini. Bukankah semasa kita semua bersekolah rendah dahulu acapkali cikgu Bahasa menyuruh kita menulis karangan seperti Aku Sebuah Pembaris, Aku Sebuah Pensil, Aku Sebuah Buku dan tak kurang juga Aku Sebuah Kasut Sekolah. Maka, sejajar dengan arus permodenan dan zaman teknologi, maka terbitlah cerita Aku Sebuah PowerBank ini. Iye, aku memang sebuah PowerBank yang mempunyai kuasa 5000mAh. Buat yang tidak tahu mAh itu bererti Milliamps Hour yang berfungsi untuk mengukur ke-power-an sesebuah bateri. 

Nama ku, Romlan Askolani Abdullah Nama asal ku, Zhao Jinhua dan berasal dari sebuah daerah pedalaman China, Guangxi. Ibu bapa ku adalah seorang pesawah di kampung. Kami semua hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun agak terpencil dari arus kemodenan. Kami cuma memerlukan kemudahan yang sangat asas untuk terus hidup. Sungguhpun demikian, kelajuan Wifi dikampung ku sudah lama mempunyai jalur lebar tertaraf 4G secara percuma sedangkan ditempat baharu ku ini baru sahaja sibuk nak lancar sana sini. Walaupun di mata kasar kami hidup serba kekurangan, namun kami amat mengikuti setiap perkembangan yang terjadi di luar sana. Sebarang bentuk berita gempa bumi mahupun berita majlis perkahwinan bertaraf diraja tetap dapat kami semua ikuti di kampung tanpa sebarang masalah. Setakat nak menonton klip video dak Bobo yang semakin popular itu sikit pun tiada sebarang masalah dan gangguan.

Namun, apa bila kepulangan salah seorang teman akrab ku ketika sambutan Tahun Baru yang lalu, membuatkan hati aku tergerak sama untuk berhijrah ke bandar. Setelah mendapat restu dari kedua orang tua ku, maka aku tekadkan hati untuk berhijrah. Cadangnya untuk ke Jepun, boleh juga menyambung pengajian dalam bidang IT. Namun bimbang kerana faktor kos kehidupan yang sememangnya tinggi di negara Ninja tersebut. Akhirnya aku memilih untuk ke Malaysia sahaja. Berdasarkan carian di Internet, PowerBank seperti aku ini semakin mendapat perhatian sana sini. Barangkali ini peluang terbaik untuk aku untuk ke sana.

Setelah menempuh perjalanan melalui udara selama berjam-jam lamanya, akhirnya aku selamat tiba di bumi Malaysia tercinta. Mujur juga urusan kastam dan juga imigresen berjalan lancar. Dengan menggunakan ejen, aku akhirnya di bawa terus ke sebuah kedai IT-IT di kawasan yang tidak berbukit tetapi mempunyai bintang-bintang di malam harinya. Ternyata, begitu ramai sekali kaum kerabat aku yang berada di sini. Dari sekecil-kecil power 2000mAh sehinggalah kepada 500000mAh. Power sungguh,. Jenis boleh buat jump-start bateri kereta barangkali. Tidaklah rasa keseorangan bila berada di Malaysia ini bila mana begitu ramai sekali sahabat handai ku di sini. Oh ya, dalam tempoh berada di kedai itu, sempat jugalah aku membuat panggilan sidang video kepada kedua ibubapa di kampung. Bimbang juga dituduh derhaka tak ingat ke ibubapa kan bila dah tinggal di kota ini.

Untuk makluman semua, setelah hampir 3 minggu tinggal di kedai ini, akhirnya aku telah dibeli oleh tuan ku. Aku begitu gembira kerana dapat berkhidmat dengan tuan ku. Fungsi ku sudah tentulah untuk menge-charge bateri telefon bimbit beliau. Bangga jugalah dapat membantu tuan ku ini dikala kesusahan kerana kehabisan bateri. Maklumlah, telefon bimbit zaman sekarang ini dengar kata pakai tak sampai sehari sudah habis power-nya. Sewaktu berkawan dengan tuan ku ini, aku akhirnya terbuka pintu hati untuk menerima Islam. Maklumlah, kadang ada juga aku di bawa sama ke majlis-majlis agama mendengar syarahan dan juga kuliah Subuh....... Ah, tiba-tiba gua rasa macam malas pula nak habis kan sambungan cerita ni. Karang tak pasal pula gua dituduh khurafat sebab menyebarkan cerita berunsur tahyul macam ni. Kahkahkah!

2 comments:

  1. "Setakat nak menonton klip video dak Bobo yang semakin popular itu sikit pun tiada sebarang masalah dan gangguan."

    ayat ni paling power hahaha

    ReplyDelete
  2. kwong yik bank ada tak?

    ReplyDelete