Thursday, November 07, 2013

Kuih Keria Antarabangsa Limbongan


Gua fikir, kalau dicari seantero pelusuk Tanah Melayu pun gua tidak akan jumpa kuih Keria sesedap ini. Sumpah, ini adalah merupakan satu-satunya kuih Keria yang paling sedap di dunia. Tak perlu nak mencarinya sehingga ke pelusuk kampung, lu orang datang ke Melaka, atau pun lebih tepat lagi, di kawasan Limbongan lu orang sudah pun boleh mendapatkan kuih Keria yang gua gembar-gemburkan ini. Rasa kuih Keria yang diperbuat daripada Keledek yang mana kemudiannya telah dicelup bersama Gula Melaka sehingga ianya meresap ke dalam jiwa kuih Keria tersebut hingga membuatkan sang pemakannya berasa tidak cukup dengan hanya memakan seketul sahaja. Dua juga tidak cukup sebenarnya. Entah, gua sendiri tak berapa pasti berapa ketul baru berasa puas. Tetapi awas, kekerapan memakan kuih Keria ini bakal mengundang semut menghurung lu orang sehingga ke lubang tandas.

Jadi, bagaimana untuk mendapatkannya? Jikalau lu orang mempunyai urusan di Melaka, janganlah lupa untuk singgah mencari gerai yang menjualnya di kawasan Limbongan. Sebenarnya tidaklah berapa susah untuk mencari gerai yang turut menjual Laksa. Masing-masing pakai telefon jenis yang pintar bukan. Buat sahaja tetapan menggunakan GPS untuk mencari kawasan Limbongan ini. Kalau nampak ada kereta sibuk berhenti tepi jalan, maka tidak syak lagilah carian lu orang terhadap kuih Keria yang sangat lazat ini telah pun berakhir. Tapi awas, gerai ini dibuka seawal jam 2 petang. Sekiranya lewat ke gerai ini, kebarangkalian kegagalan mendapatkan kuih Keria ini tersangatlah tinggi. Kecewa. Oh ya, jangan di cari kuih Keria ini pada hari Jumaat kerana gerai ini ditutup pada hari tersebut.



No comments:

Post a Comment