Saturday, December 07, 2013

Misi Bantuan Kemanusian Ke Kuantan

Umum memang mengetahui tentang bencana banjir yang menimpa rakyat Kuantan di kala ini yang kelihatan tersangatlah teruknya. Umum juga mengetahui rakyat Kuantan sangat-sangat memerlukan bantuan yang sememangnya kelihatan agak perlahan. Maka secara tidak langsung, wujudlah insan-insan yang berhati waja untuk membantu mangsa banjir secara Indie.

Entah macam mana gua terlihatkan status di FB milik Brader Hezeri Samsuri tentang hasrat hatinya untuk membantu mangsa banjir di Kuantan secara Indie meminta bantuan rakan-rakan FB beliau yang secara kebetulan ada ahli keluarganya turut menjadi mangsa banjir di sana. Otak gua terus sahaja menghantar isyarat kepada hati bahawa inillah masanya untuk gua membuat sedikit jariah dengan mengwar-warkan kepada beberapa orang rakan pejabat supaya terlibat sama dalam hal-hal sebegini. Maka, terus sahaja gua mem-print screen status FB brader tadi dan terus sahaja menghantar surat elektronik (emel) kepada rakan-rakan terdekat di pejabat. Sangkaan gua barangkali dapat dua tiga orang yang menyumbang pakaian / barangan keperluan memadailah untuk gua penuhkan bahagian bonet S2000 milik gua itu. 

Keesokkan harinya (semalam - Jumaat) rupanya sambutan yang diberikan oleh rakan-rakan pejabat gua sangatlah menggalakkan. Sehinggakan ada beberapa orang rakan pejabat sanggup bergegas ke Mydin seawal pintu dibuka untuk membeli barangan keperluan khusus untuk kaum wanita. Sebaik sahaja semua muatan berjaya dimasukkan ke dalam S2000 gua tanpa ada sebarang masalah besar, terus sahaja gua menuju ke lokasi di Bayu Courtyard Homes untuk menghantar amanah barangan daripada rakan-rakan pejabat gua ditemani Brader Sasa. Brader Sasa ini memang sengaja gua angkut supaya senang untuk memuat turun barangan dari kereta dengan cepat dan mudah. 

Sewaktu gua tiba dilokasi, gua memang telah dimaklumkan sedari awal lagi bahawasanya Brader Hezeri memang tiada di rumah kerana sibuk mencari lori untuk mengangkut barangan yang sememangnya terlalu penuh di ruang rumah tamu beliau. Disebabkan gua membawa Brader Sasa, maka urusan mengangkut barang menjadi berganda pantas. Selagi boleh sauk, gua saukkan ke Brader Sasa. Tak cukup dengan tangan, gua suruh Brader Sasa gigit beg plastik demi memaksimakan urusan memuat turun barangan tersebut. Setelah selesai segala urusan, hanya Tuhan sahajalah yang tahu betapa leganya kerana barangan yang diamanahkan oleh rakan-rakan pejabat telah pun selamat diserahkan kepada Brader Hezeri untuk diserahkan kepada mangsa banjir seterusnya.

Untuk makluman terkini, beliau telahpun memulakan perjalanannya ke Kuantan dengan menggunakan lori 3 tan dan disertai oleh geng kenderaan 4x4  dek kerana daripada bantuan yang sepatutnya Indie sudah tidak lagi menjadi beberapa nak Indie. Beliau akan cuba untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat mengikut kadar kemampuannya. Semoga Allah S.W.T memberikan limpah kurniaNya kepada mereka-mereka yang terlibat di dalam kerja-kerja amal sebegini. Tahniah Rakyat Malaysia!!







Sumber Gambar: FB Hezeri Samsuri




No comments:

Post a Comment