Tuesday, April 14, 2015

Pasca GST : Apa Nasib Sang Marhaen

Salam 1GST. Begitulah mukadimah yang paling sesuai untuk gua ungkapkan kepada semua. Tahniah, akhirnya kita semua berpeluang untuk merasai dan membantu pemerintah mendapatkan kembali wang dengan pantas melalui GST. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, tiada sebarang kejadian tumpah darah berlaku di bandar-bandar besar, menandakan Malaysia ini masih lagi aman dan damai serta sejahtera adanya.

Namun gua juga yakin dan amat pasti, sedari mula GST ini mula dilaksanakan, yang paling teruk terasa kesannya adalah Marhaen yang kebanyakkannya tinggal di rumah bersaiz Gelanggang Badminton sahaja. Gua berasa 200% pasti bahawasanya golongan ini juga sebetulnya telah lama berjimat cermat tatkala harga minyak naik sehingga beberapa puluh sen sehingga mengakibatkan kesan domino yang bukan kepalang. Boleh sawan dibuatnya. Mana yang bawa bekal, bekallah dibawa yang dimasak oleh sang isteri. Manakala yang bujang, hanya bekalan ilmu di dada sahaja yang dibawa.

Ternyata, pasca GST ini Marhaen semakin menderita dan terus sengsara menanggung beban. Harga barangan keperluan untuk terus kekal hidup di hutan batu ini seperti mee segera, ikan sardin dalam tin terus mengalami kenaikan harga. Manakala yang sudah berkeluarga dan beranak pinak, harga barangan seperti lampin pakai buang dan susu formula turut mengalami kenaikan harga. Nah, Marhaen terus ditekan dengan kenaikan harga barangan keperluan beberapa peratus. Sedangkan jumlah pendapatan yang diterima sudah tidak mampu ditampung lagi dengan kadar kenaikan tersebut. Maka, merintihlah jiwa-jiwa Marhaen di Dinding FB dan Suapan Berita di Twitter mengenangkan nasib diri yang terpaksa menanggung beban. Hendak berjimat celah mana pun tak tahu lagi dah rasanya. 

Maka, berlumlah-lumbalah pula tawaran untuk mencari pendapatan sampingan melalui kaedah MLM. Bagi golongan yang terdesak dan masih berharap maka inilah adalah peluang yang ada untuk mencari duit lebih tanpa mengetahui keberangkalian untuk menanggung beban kewangan yang jauh lebih tinggi berbanding sedia ada. Berita kejadian samun / ragut / rompakan baik yang berskala besar mahupun bertaraf kecil-kecilan, dijangka akan terus meningkat. Maka, tinggallah Marhaen dalam keadaan yang serba menekan. Sang Politikus pula hanya bijak memberikan cadangan yang kurang bijak, seperti memasak di pejabat misalannya.

Jadinya, bagaimana kita hendak menangani situasi sebegini? Nak menyimpan?? Korek tabung anak?? Minta duit KWSP?? Gadai tanah pusaka di kampung?? Maaf, gua sendiri tiada jawapan yang tepat. Pandai-pandailah lu orang. Kalau rasa meniaga buah pinggang boleh mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda, mengapa tidak?? Kahkahkah!

No comments:

Post a Comment