Friday, June 28, 2013

Tentang 1926 Heritage Hotel Penang



Khas untuk penggemar ke Penang. Kali ini gua nak kongsikan dengan lu orang tentang satu tempat penginapan yang sentiasa senasib dengan gua, mempunyai gaji setaraf dengan gaji kerani sebuah bank sahaja. Hotel yang bertaraf bajet, tetapi memiliki fasiliti serupa kapal selam.

Hotel yang gua maksudkan ialah 1926 Heritage Hotel. Berlokasikan di Jalan Burma yang mana tidaklah berapa jauh daripada Georgetown, asalnya merupakan tempat tinggal pegawai British yang menetap di sini suatu ketika dahulu. Gua telah menginap sebanyak dua kali di sini. Pertama kali menginap sewaktu gua berkunjung ke Penang tahun sudah bersama Brader Sasa menjalankan misi sulit. Mujur juga sewaktu tidur sebilik dengan beliau tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Yang terbaru minggu sudah gua sekali lagi telah menginap di hotel yang boleh tahan murah ini.

Kenapa gua suka menginap di sini adalah kerana lokasinya yang terletak tidak begitu jauh dari Georgetown. Senanglah kalau pergi Pasar Chowrasta beli jeruk mak kirim. Nak pergi makan-makan di Gurney Drive pun sebenarnya tak berapa jauh sangat dah. Kira lokasi hotel ini memang strategik jugalah. Serba-serbi dekat.


Dari segi fasiliti, gua kira memang sangat berbaloi dengan apa yang dibayar sewaktu daftar-masuk [kalau nak daftar masuk seawal jam 12.00 tengahari silalah sah kan semula beritahu nak daftar-masuk awal]. Untuk bilik standard yang boleh memuatkan dua orang, harga yang perlu dibayar adalah serendah RM110 [tambah RM20 untuk caj hujung minggu kalau tak salah] sahaja. Apa yang lu orang akan dapat adalah setanding dengan lu orang menginap di hotel berbajet besar. Malah lu orang akan dapat lebih lagi. Ubat nyamuk turut disediakan. Barangkali, hotel yang bersaiz dua tingkat ini terletak berhampiran dengan kawasan perumahan memungkinkan nyamuk membaik dengan begitu efisyen sekali. Untuk yang membawa anak-anak juga amat sesuai sekali kerana hotel ini turut mempunyai kolam renang dewasa dan juga kanak-kanak. Biasanya golongan berkeluarga ini amat mementingkan kewujudan kolam renang demi memastikan keriangan anak-anak berada di tahap cemerlang.


Ok, sekarang ni gua nak beritahu tentang apa yang tidak berapa seronok berkenaan hotel ini. Memandangkan ruang menuju ke bilik tidak beralaskan karpet [hanya beralaskan mar-mar] maka lu tahap kebisingan kasut keletak-keletuk di luar bilik memang jelas kedengaran. Itu belum lagi ada pengunjung yang mempunyai anak serupa Jaclyn Victor dia punya pitching. Mujur juga di kala malam hari tidak pula kedengaran suara Askar British berkawad kaki luar bilik.

Berkenaan sarapan pagi, sewaktu gua pergi minggu sudah tiada lagi sarapan disertakan dengan harga bilik. Nak kena tambah sikit duit untuk bersarapan di hotel. Tapi gua fikir, daripada bayar ke hotel ini untuk bersarapan yang entahkan sedap entahkan tidak, ada eloknya pergi cari kedai mamak untuk bersarapan. Lagi puas melantak gua fikir. Jadi, gua kira, pelaburan untuk penginapan bagi hotel bertaraf bajet ini sangatlah sesuai kepada golongan marhean. Silalah Cuti-Cuti Malaysia untuk meredakan tekanan kerja yang tak pernah sudah tu.

Kredit Gambar: 1926 Heritage Hotel

Tuesday, June 25, 2013

Retorik-kah Buat Wasiat Pemudah Pusaka ?

Gambar Ilustrasi ihsan Google

Amacam, sesekali gua bubuh tajuk yang berilmiah pun cara juga iye tak? Berdasarkan pengalaman gua yang telah menjebakkan dalam dunia perwasiatan dan juga perpusakaan secara semenjak tahun 2006 lagi, maka sewajarnnya gua kongsikan apa yang patut gua kongsi dengan pembaca semua. Dewasa ini gua jamin semakin ramai yang telah mempunyai wasiat  [gua tidak menggunakan terma membuat kerana ramai yang tidak tahu bahawasanya mereka membuat wasiat secara paksa-rela melalui pinjaman di institusi kewangan]. Namun kepada yang membuat Wasiat atas kesedaran sendiri, maka jutaan Tahniah gua ucapkan. Tak sia-sia P.Ramlee membuat cerita Tiga Abdul itu. Berjasa sungguh juga.si Sulaiman Akhlaken.

Kepada yang pernah menghadiri ceramah / mendapat brosur / melihat iklan / membaca artikel / didatangi penjual Wasiat / apa sahaja berkaitan Wasiat ini sudah tentu ada tahu salah satu point terbesar [kononya] elok membuat Wasiat ini adalah pengagihan harta pusaka yang cepat berbanding tanpa adanya Wasiat. Waima gua dulu-dulu pun pernah juga memberikan sebab yang sama kepada orang ramai tentang mengapa kena buat Wasiat. Namun, semenjak bergelumang dengan arena perpusakaan [dah macam perpustakaan pula gua rasa], sebenarnya apa yang dituturkan tidak berapa tepat. Tetapi gua bukannya kata tidak cepat, tetapi kalau handle kes pusaka ni sebenarnya bukan perkara yang harus dianggap enteng dan mudah. Bilamana bukan perkara enteng dan dianggap mudah, maka sudah tentulah prosesnya juga mengambil masa. Jadi, mengatakan membuat Wasiat dapat mempercepatkan proses pengagihan harta pusaka sebenarnya tidak berapa tepat. Cuma ada kes-kes tertentu sahaja ianya menjadi secepat dan selaju LRT.

Nah, barangkali lu orang dah boleh mengatakan bahawasanya tidak perlulah untuk membuat Wasiat jikalau serupa itu, iye tak? Jadi, untuk apa sebenarnya lu orang membuat Wasiat? Jawapan yang akan gua berikan adalah kerana, melalui Wasiatlah sebenarnya lu orang boleh membuat kebajikan dengan menyatakan derma sedekah jariah tidak kurang daripada 1/3 jumlah harta yang ada. Nak bagi ke Masjid ke, Surau ke, Rumah Anak Yatim ke, silakanlah. Bukankah itu yang menjadi bekalan buat kita semua "di sana" kelak? Sepanjang penglibatan gua dalam arena perpusakaan ini, pernah jugalah berkali-kali gua terlibat dalam penyerahan cek kepada mana-mana badan kebajikan yang mana ada diantaranya bernilai sebuah Nissan Almera. Paling tidak, gua dapat "tumpang" sikit pahala arwah kerana menyampaikan hasrat murni beliau pun sudah memadai. Manakala, selebihnya 2/3 bahagian lagi, lu orang nak serahkan kepada waris-waris yang ada mengikut pembahagian masing-masing terserah. Soal mendapat bangkangan ke, itu pandai-pandailah pegawai pusaka tersebut nak uruskan bagaimana. Pengalaman gua mengendalikannya, jarang betullah ada pertelingkahan waris. Elok sahaja bermuafakat. Barangkali, disitulah fungsinya sesi pembacaan Wasiat dengan semua waris-waris yang ada.

Selain itu juga, kepada sesiapa yang tidak mempunyai anak / waris / sebatang kara / mempunyai anak angkat juga amat-amat digalakkan untuk menulis Wasiat.  Maka, golongan sebeginilah yang patut menulis Wasiat 1/3 untuk menderma demi memastikan kelangsungan pahala berterusan. [anak angkat juga tergolongan dalam penerima bukan waris, maka layak juga untuk menerima 1/3 bahagian harta pusaka tersebut melalui Wasiat]

Berbalik kepada tajuk entri di atas, cepat atau lambat / cara pembahagian dituruti atau tidak sebenarnya bergantung banyak faktor. Tapi bos gua pernah beritahu. Kalau cara mana dapatkan harta itu dengan elok, maka elok jugalah pembahagian / cepat jugalah pembahagian sesuatu harta pusaka tersebut. Amacam?? Ada rasa nak buat Wasiat ke tidak sekarang ni? ASB sama Tabung Haji banyak-banyak tu nak kasi sapa??

Monday, June 24, 2013

Pasembuq Penang Mari


Apabila bercerita pasal Penang, secara otomatis, gambaran tentang Pasembuq pasti tidak lari dari jelmaan di otak pemikiran kita sebagai manusia yang normal. Gua kira, Pasembuq ini sudah boleh diangkat sebagai satu lagenda yang masih wujud sehingga kini. Sesungguhnya gua rasa amat berbangga kerana Pasembuq ini lahir di bumi Malaysia secara amnya, dan Penang secara khususnya, Gua tak boleh bayangkan kalau Pasembuq ini berasal dari benua lain. Leceh juga nak kena beli beli tiket kapal terbang semata nak pekena Pasembuq ni.

Pasembuq ini secara asasnya merupakan kuih udang yang digoreng secara rangup sambil disertakan sekali sengkuang dan juga timun sambil disirami dengan kuah pekat berwarna gelap yang mempunyai rasa pedas dan manis yang seimbang. Namun sejajarnya dengan arus pemodenan, Pasembuq dewasa ini turut mengalami anjakan paradigma bilamana selain daripada kuih udang, segala isi makanan yang lain turut berpotensi untuk dijadikan sebahagian daripada Pasembuq. Nak bubuh ubi kentang, telur rebus goreng, waima segala jenis bebola makanan pun layak untuk meraih populariti sebahagian daripada Pasembuq ini.

Namun, sewaktu berkunjung ke Penang untuk pekena Pasembuq ini, tahap keberhati-hatian hendaklah tinggi. Silap haribulan, memesan Pasembuq ini serupa memesan tiket kapal terbang tambang murah dia punya harga. Konon murah padahal mahal. Beberapa tahun sudah gua pernah secara sengaja memesan Pasembuq di Padang Kota Lama untuk satu pinggan besar sekali dia caj gua serupa gua makan sampai tiga puluh orang. Itu tahun dahulu. Kalau pergi waktu sekarang ni yang sememangnya serba-serbinya dah naik harga, mahal serupa kapal selam.

Tetapi, kepada penggemar Pasembuq ini tidak usah berasa khuatir dan bimbang kerana jika pandai mencari masih terdapat lagi Pasembuq dengan harga yang gua kira masih lagi munasabah. Salah satunya yang boleh gua syorkan adalah di Medan Selera Padang Broom @ Padang Brown. Setakat yang gua dah pergi berkali-kali ni, rasa dan harganya masih lagi berada pada tahap yang sama. Yang penting, rasa Pasembuq ini masih lagi sama seperti Pasembuq. Tidak berubah sama sekali. Manakala Pasembuq di Medan Selera Gurney Drive itu pun sebenarnya sedap juga tapi gua syak harga dia pun dah sikit lagi menyamai harga kapal selam. Jadi, kepada pemburu makanan sekalian alam, bergegaslah kamu ke Padang Broom @ Padang Brown untuk pekena Pasembuq ini

Thursday, June 20, 2013

Petua Elak Silau Memandu Di Malam Hari

Ada nampak button kat bawah cermin pandang belakang tu?? [gambar gua pinjam GT punya]
Amacam, gua memang suka membubuh tajuk yang entri yang panjang. Kali ini gua nak kongsikan tentang satu petua ringkas. Gua berani jamin, berapa kerat sahaja yang mengetahui tentang apa yang ingin gua kongsikan. Lu orang sudah tentu pernah mengalami pengalaman silau yang begitu menyakitkan hati apabila pulang ke kampung halaman di waktu malam secara tak semena-mena ada kereta yang meluru seperti kereta api laju daripada arah belakang sambil disilaui dengan lampu putih yang begitu menyakitkan mata dan tak  kurang juga menyakitkan hati. Dalam hati terdetik, pasti jenis kereta-kereta mahal buatan Jepun mahupun Eropah sedang meluru laju. Bertambah menyakitkan hati, kereta tersebut berulang kali memberikan lampu tinggi seolah kereta dia yang paling laju. di muka bumi meminta diberikan laluan. Sekali bila dah diberikan laluan, yang melepasi cumalah Myvi SE 1.5. Sakit hati betul dibuatnya. Rasa macam nak bagi penendang, iye tak? Tak mengapalah. Barangkali pemandunya sedang mengalami sakit perut dan perlu bergegas ke R&R berikutnya. Kita bersangka baik sahajalah. Tapi jadah apa yang pergi pasang lampu putih serupa lampu limpah stadium yang silau itu sapa suruh??

Ok, disebabkan oleh itu, izinkan gua untuk berkongsi dengan lu orang satu perkara. Perasankah lu orang tentang satu button [butang/alat pemetik kecil - sori, gua tak berapa pasti nak panggil mende alah ni] yang terletak di bahagian bawah cermin pandang belakang. Jikalau berhadapan dengan kejadian silau-menyilau ni, maka apa yang perlu lu orang lakukan hanyalah dengan menolak/menariknya ke atas sahaja. Maka secara automatis pandangan lu orang tidak lagi akan berasa silau kerana cahaya lampu putih tersebut telah pun dipantulkan ke bahagian atas, Tapi lu orang jangan risau, sebab pemandangan lampu-lampu kereta di bahagian belakang masih lagi jelas kelihatan tanpa perlu berasa risau tentang silau. Kalau lu orang tak percaya, cubalah ketika memandu di kala bulan mengambang malam hari. Insya Allah masalah silau ini dapat diatasi dengan jayanya. Kalau silau di siang hari tu, pandai-pandailah lu orang nak cari spek hitam pakai. 

Wednesday, June 19, 2013

Aku Sebuah Power Bank



Aku adalah sebuah Power Bank. Iye, begitulah tajuk yang ingin aku sampaikan kepada semua pembaca budiman semua. Jangan dihairankan dengan tajuk yang sebegini. Bukankah semasa kita semua bersekolah rendah dahulu acapkali cikgu Bahasa menyuruh kita menulis karangan seperti Aku Sebuah Pembaris, Aku Sebuah Pensil, Aku Sebuah Buku dan tak kurang juga Aku Sebuah Kasut Sekolah. Maka, sejajar dengan arus permodenan dan zaman teknologi, maka terbitlah cerita Aku Sebuah PowerBank ini. Iye, aku memang sebuah PowerBank yang mempunyai kuasa 5000mAh. Buat yang tidak tahu mAh itu bererti Milliamps Hour yang berfungsi untuk mengukur ke-power-an sesebuah bateri. 

Nama ku, Romlan Askolani Abdullah Nama asal ku, Zhao Jinhua dan berasal dari sebuah daerah pedalaman China, Guangxi. Ibu bapa ku adalah seorang pesawah di kampung. Kami semua hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun agak terpencil dari arus kemodenan. Kami cuma memerlukan kemudahan yang sangat asas untuk terus hidup. Sungguhpun demikian, kelajuan Wifi dikampung ku sudah lama mempunyai jalur lebar tertaraf 4G secara percuma sedangkan ditempat baharu ku ini baru sahaja sibuk nak lancar sana sini. Walaupun di mata kasar kami hidup serba kekurangan, namun kami amat mengikuti setiap perkembangan yang terjadi di luar sana. Sebarang bentuk berita gempa bumi mahupun berita majlis perkahwinan bertaraf diraja tetap dapat kami semua ikuti di kampung tanpa sebarang masalah. Setakat nak menonton klip video dak Bobo yang semakin popular itu sikit pun tiada sebarang masalah dan gangguan.

Namun, apa bila kepulangan salah seorang teman akrab ku ketika sambutan Tahun Baru yang lalu, membuatkan hati aku tergerak sama untuk berhijrah ke bandar. Setelah mendapat restu dari kedua orang tua ku, maka aku tekadkan hati untuk berhijrah. Cadangnya untuk ke Jepun, boleh juga menyambung pengajian dalam bidang IT. Namun bimbang kerana faktor kos kehidupan yang sememangnya tinggi di negara Ninja tersebut. Akhirnya aku memilih untuk ke Malaysia sahaja. Berdasarkan carian di Internet, PowerBank seperti aku ini semakin mendapat perhatian sana sini. Barangkali ini peluang terbaik untuk aku untuk ke sana.

Setelah menempuh perjalanan melalui udara selama berjam-jam lamanya, akhirnya aku selamat tiba di bumi Malaysia tercinta. Mujur juga urusan kastam dan juga imigresen berjalan lancar. Dengan menggunakan ejen, aku akhirnya di bawa terus ke sebuah kedai IT-IT di kawasan yang tidak berbukit tetapi mempunyai bintang-bintang di malam harinya. Ternyata, begitu ramai sekali kaum kerabat aku yang berada di sini. Dari sekecil-kecil power 2000mAh sehinggalah kepada 500000mAh. Power sungguh,. Jenis boleh buat jump-start bateri kereta barangkali. Tidaklah rasa keseorangan bila berada di Malaysia ini bila mana begitu ramai sekali sahabat handai ku di sini. Oh ya, dalam tempoh berada di kedai itu, sempat jugalah aku membuat panggilan sidang video kepada kedua ibubapa di kampung. Bimbang juga dituduh derhaka tak ingat ke ibubapa kan bila dah tinggal di kota ini.

Untuk makluman semua, setelah hampir 3 minggu tinggal di kedai ini, akhirnya aku telah dibeli oleh tuan ku. Aku begitu gembira kerana dapat berkhidmat dengan tuan ku. Fungsi ku sudah tentulah untuk menge-charge bateri telefon bimbit beliau. Bangga jugalah dapat membantu tuan ku ini dikala kesusahan kerana kehabisan bateri. Maklumlah, telefon bimbit zaman sekarang ini dengar kata pakai tak sampai sehari sudah habis power-nya. Sewaktu berkawan dengan tuan ku ini, aku akhirnya terbuka pintu hati untuk menerima Islam. Maklumlah, kadang ada juga aku di bawa sama ke majlis-majlis agama mendengar syarahan dan juga kuliah Subuh....... Ah, tiba-tiba gua rasa macam malas pula nak habis kan sambungan cerita ni. Karang tak pasal pula gua dituduh khurafat sebab menyebarkan cerita berunsur tahyul macam ni. Kahkahkah!