Wednesday, July 10, 2013

Fatwa Sana Sini

Sejak akhir-akhir ini sudah tentu ramai yang perasan sana-sini ramai yang duk sibuk nak menfatwakan tentang penggunaan e-rokok. Sampaikan persatuan pengguna sebuah negeri di utara semenanjung pun sama sibuk nak menyelit kata e-rokok itulah..inilah. Seolah e-rokok ini adalah perkara yang paling teruk & paling merbahaya sekali di muka bumi. Jadi, kesempatan yang ada ini gua nak kongsikan, sebenarnya banyak lagi perkara yang patut sama untuk difatwakan dan diambil kisah oleh Presiden Persatuan Pengguna sebuah negeri di utara Semenanjung.
  1. Kenderaan yang berhenti di Petak Kuning. Tahukah 3 biji kenderaan termasuk bas yang berhenti di Petak Kuning mampu menyebabkan berpuluh kereta yang lain tersangkut tak boleh nak bergerak. Dan berapa banyak pula sumpah seranah yang telah dilemparkan. Cukup 40 kali, 3 biji kenderaan yang tersangkut itu pasti ditimpa celaka, kemalangan misalannya. Bila dah berlaku kecelakaan, pasti akan menyebabkan kesesakan yang berlipat kali ganda. Nampak..? Nampak..? Apa balanya berhenti di Petak Kuning? 
  2. Kenderaan yang berhenti di tepi jalanraya yang sibuk semata-mata nak menunggu orang rumah keluar pejabat. Tahukah juga, hanya kerana terdapat sebuah Proton Satria Neo R3 jadi-jadian sedang menunggu di bahu jalan, bahananya boleh mengakibatkan kereta-kereta di babagian belakang mengalami kesesakan yang biasa-biasa, tetapi bakal bertukar menjadi dasyat pada bulan puasa ini kerana semua orang mahu bergegas pulang awal.  Cukup 40 kali, Satria Neo tadi yang berhenti di bahu jalan itu pasti ditimpa celaka, kemalangan misalannya. Bila dah berlaku kecelakaan, pasti akan menyebabkan kesesakan yang berlipat kali ganda dasyat. Nampak..? Nampak..? Apa balanya berhenti di bahu jalan.
  3. Orang meniaga di Bazar Ramadhan, dia pun sama nak meniaga di Bazar Ramadhan juga. Orang meniaga pasal memang dah meniaga itu kerja diaorang. Tapi dia ini meniaga pasal tengok orang lain meniaga. Jual kuih-muih, tapi rasa Friskies. Tah berapa ramai yang kecewa bila mana terbeli. Dengar kata, masalah ini melibatkan 1Malaysia juga. Bukan setakat di bandar-bandar besar sahaja.
  4. Meniaga di Bazar Ramadhan serupa nak pergi Haji cepat. Serba-serbi jual pada harga premium. Air tebu sebalang jual sampai RM5. Onde-onde seringgit dapat 5 ketul tapi besar ibu jari anak gua. Karipap 40sen sebiji tapi inti angin. Lauk paru berlado dua senduk bersamaan dengan dua sudu besar jual sampai 4 ringgit. Tak patut betul jual benda-benda lagha macam ni kepada insan yang mempunyai pendapatan yang sama seperti kerani sebuah bank sahaja padahal berjawatan seorang eksekutif.
  5. Penjual mercun yang jual mercun di Bazar Ramadhan. Jadah apa, dalam kaca tv asyiklah beritahu rakyat kata pihak penguatkuasa berjaya mematahkan cubaan seludup mercun dan bunga api berskala Sukan Sea. Tapi yang dijual di Bazar Ramadhan tu gua perati dah berskala Sukan Olimpik dia punya mercun sama bunga api. Apa cerita?? Takkanlah para Mufti dan Presiden Persatuan Pengguna sebuah negeri utara Semenanjung tak tahu akan perkara ini?? 
Gua rasa, cukuplah kot apa yang gua nak kongsikan ini. Mungkin dah sampai masanya benda-benda serupa ini pun difatwakan sama apa hukumnya. Nampak macam remeh, tapi akibat yang mungkin timbul daripadanya bakal memberikan impak yang lebih besar daripada kawan-kawan yang menghisap e-rokok. Lupakanlah bab e-rokok itu. Rokok yang sedia ada itu pun tak tentu hala jadinya lagi gua perati. Er, rokok itu sebenarnya halal ke haram woi?? 

Sunday, July 07, 2013

Perihal Nasi Lemak

Nasi Lemak ini asalnya merupakan satu satu makanan tradisi orang Melayu yang kebiasaannya di makan di waktu pagi. Secara asasnya, Nasi Lemak ini dipakejkan sekali dengan kacang tanah yang siap digoreng, ikan bilis rangup, telur rebus sepotong dan tak lupa juga timun barang sepotong dua berserta sambal sesedap tekak. Ini adalah asas yang lengkap untuk sesebuah Nasi Lemak selain daripada nasi yang telah ditanak bersama santan perah [santan kotak tak sedap..terasa kotak bila makan]. Kebiasaanya, Nasi Lemak ini dijual dipinggir jalan di kampung-kampung demi memudahkan masyarakat setempat untuk membelinya.

Namun, sejajar dengan arus kemodenan, Nasi Lemak kini telah diangkat menjadi makanan tradisi masyarakat Malaysia tanpa mengira waktu. Pagi petang siang malam memang tak susah nak dapatkan Nasi Lemak. Dan kini Nasi Lemak ini menjadi semakin tak tentu arah dibuatnya apabila ianya kerap dijodohkan pelbagai jenis lauk-pauk. Bukan setakat telur goreng dan ayam goreng, malah paru goreng, sambal kerang, sambal sotong, rendang daging pun ada. Serupa hidangan tengahari dia punya lauk. Itu jam, dia punya harga kalau serupa kapal selam jangan terkejut pula bila waktu membayar di kedai makan bertaraf kopitiam. Tak mengapalah, memang kedainya dah elok sedikit. Siap berpenghawa dingin bagai.

Ini jadah apa, pagi tadi gua pergi makan Nasi Lemak di medan selera yang terletak di Tanglin dia punya harga untuk yang asas [tak berapa asas sebenarnya sebab ikan bilis & telur rebus dia tak ada bubuh sekali] boleh cecah sampai 2 ringgit.  Belum lu orang ambil lauk lain lagi. Mahal merepek. Begedel besar syiling 50sen jual seringgit. Nak cepat kaya pergi buat umrah ke?? Tak patut betul. Gua menentang sekeras-kerasnya penjualan Nasi Lemak yang tidak menyerupai Nasi Lemak yang sebenar. Sumpah, kalau lu orang berhajat nak pergi makan Nasi Lemak yang terletak di Tanglin tersebut, batalkan sahaja niat nak mengkayakan empunya. Sedapnya entah kemana. Memang gua takkan sesekali menyinggah untuk makan lagi Nasi Lemak di situ lagi. Yang orang ramai asyik pergi makan disitu berulangkali tekak serupa apa pun gua tak reti nak bayangkan. Tolonglah selamatkan maruah Nasi Lemak. Gua merayu ni.

Friday, July 05, 2013

Kisah Puasa Dulu-Dulu

Kisah ini berlaku sewaktu gua berusia sekitar lapan tahun. Macam biasa la, budak darjah dua kalau puasa, kadang tu bukan boleh dikira sangat cukup sifatnya. Ada masa gua puasa, ada masa tuang juga. Gua memang tiada masalah besar untuk bangun sahur. Kadang-kadang tu, gua yang bangun awal dari mak gua. Tapi apa jadahnya gua nak bangun sebegitu awal. Ayam pun tak bangun sahur lagi. Takkan la budak darjah dua dah sibuk kat dapur pula? Gua makan nasi pun kadang-kadang nasi tumpah tak tentu hala. Lebih ke meja daripada masuk ke mulut. Inikan pulak nak sibuk-sibuk kat dapur. Kena halau dengan mak gua lagi ada la. Baik gua sambung tido. nanti pandai la mak gua nak kejutkan semula. Menu sahur biasanya lebih ke arah menu 1Malaysia. Mudah dan jimat. Nasi putih, telur mata sama kicap. Cukup.

Waktu ni gua bersekolah sesi pagi. Memandangkan puasa, gua tak berapa sangat nak join budak-budak lain main sep-sep tiang la..konda kondi la. Biasanya waktu rehat kat sekolah gua lebih gemar membaca Al-Quran..(ah, gua tipu nih…) gua lepak dalam kelas aja yang sebenarnya. Banyak lagi tenaga nak guna sampai petang ni. Malas nak campur sangat dengan budak-budak tak tentu hala ni.

Habis sahaja sesi persekolahan memang gua terus tuju balik rumah. Sebarang niat untuk melepak & bermain tepuk kad di rumah kawan memang gua sematkan dalam hati sahaja. Sampai di rumah, gua campak beg sekolah, terus capai bantal. Waktu ni bateri Energizer gua memang tak boleh nak kompromi sangat dah. Lebih baik gua tido daripada gua buat-buat ulang-alik dapur jenguk peti ais. Agak-agak nak Asar, gua pun bangun. Gua bangun tu pun sebab nak tengok kartun. Itu jam siaran yang ada pun sampai ke angka 3 aja. Siaran TV kabel berbayar ni belum wujud lagi. Gua layan jela cerita Smurf sama Transformer. Kadang-kadang tu layan jugalah gua dengan cerita Rumah Kedai yang memang sangat ngam waktu bulan-bulan puasa ni. Kacak betul si Harun Salim Bachik di kala muda. Ehsan pun kalah gua fikir. 

Kadang, ada masa juga gua lepak di padang sambil tendang-tendang bola sikit-sikit. Nak tendang lebih-lebih, bimbang gua mengalami masalah hidrasi pula. Apabila jam menunjukkan jam kul 6, gua dah mula tak tentu hala. Dia punya mundar mandir mengalahkah YB yang baru lepas kalah Pilihanraya, macam mana tah nak jawab ke Ketua Bahagian. Untuk menghilangkan rasa gundah gulana, gua pun ajak la abah gua pergi mencari kuih sikit buat berbuka karang. Sampai sahaja di bazar Ramadhan, abah gua terus menuju ke gerai yang jual murtabak. Tapi dia punya beratur nak order mengalahkan makcik-makcik yang nak bayar bil api kat pejabat pos. Apa pasal tah, tiap kali musim puasa, murtabak memang ramai sangat orang cari. Itu jam, murtabak yang dijual memang merupakan sejenis murtabak. Zaman sekarang ini gua perati serupa roti telur. Inti daging  entah kemana. Sebaik sahaja mendapatkan murtabak, gua mesti minta abah gua cari satu lagi perkara wajib waktu bulan puasa nih.. kuih onde-onde. Minta serinnggit, dapat la sepuluh biji. Jangan-jangan waktu sekarang ni seringgit dapat tiga biji sahaja. Ceh. Tak patut betul. 

Balik sahaja dari membeli juadah berbuka, gua orang pertama yang mengambil tempat depan meja, padahal jam baru pukul 7..apa pasal entah gua rasa jam ni macam dengki sangat dengan gua. Perlahan sangat jarumnya nak gerak. Ini adalah masa yang paling kritikal sekali dalam hidup gua. Sebulan berpuasa, sebulan jugalah gua terpaksa menempuh waktu yang kritikal sebegini. Menguji sungguh nak tiba ke waktu azan berkumandang. Sebaik sahaja azan dilaungkan, gua cuma baca doa yang paling asas sahaja, iaitu Bismillah dan terus pekena air tebu sebalang. Sudahnya, murtabak ke mana, onde-onde ke mana. Tau-tau sahaja gua tersandar perut sebu. Begitulah sahajalah cerita gua mengimbau kenangan puasa dulu-dulu. Kepada semua, Selamat Berpuasa gua ucapkan. Bagi pihak Otak-Tepu, gua memohon kemaafan sekiranya ada turut kata di blog ini yang kurang disenangi. Ada masa, sepanjang bulan puasa nanti gua merapu lagi.

Wednesday, July 03, 2013

Siri Rumah Kedai


Drama bersiri Teduhan Kasih dah pun berakhir. Gua tengok sejak akhir-akhir ini, ramai juga yang mengemaskini status FB masing-masing perihal Ehsan la..Ayu la..KakLong la..tapi takde sorang pun nak petik nama Makcik Hanim tu. Tahukah lu orang, tanpa Makcik Hanim, sudah tentu Ehsan kelam kabut semalam kerana merasa khuatir tentang keadaan Iffa yang bila-bila masa bakal melahirkan anak. Dengar kata, baby perempuan. Entah berapa cm pula dah buka semalam si Iffa tu ye.

Ah, jadah apa pula gua nak ulas panjang lebar pasal cerita yang sikit masa lagi entah siapa yang ingat lagi tah perihal Ehsan dan juga Pakcik Fuad [bapa tiri Ehsan]. Sekarang ni gua nak imbas kembali drama bersiri yang pernah menggegar arena pendramaan satu ketika dahulu, terutamanya menjelang Ramadhan ini. 

Cerita yang gua maksud adalah Rumah Kedai. Rumah Kedai ni memang layan betul tengok petang-petang sambil menunggu habis cerita nak pergi beli Onde-onde sama Murtabak. Itu jam, watak Remy sama Tapa memang ngam betullah sebagai pelengkap kepada pemegang watak tunjang, Pak Halim dan juga Mak Lijah. Memang kuat betul watak yang dipegang sehinggakan dah berpuluh tahun pun kita masih terbayang Harun Salim Bachik begitu ngam dengan watak Remy. Dia punya kuat serupa besi berani. Watak Pak Halim yang dipegang oleh Arwah Yusof Mohamad itu sebenarnya kerap kali juga gua tertembang dengan beliau mengayuh basikal di sekitar Batu Caves sewaktu gua dah besar sikit dahulu. Nak jerit panggil Pak Halim serupa kurang ajar pula terjerit-jerit dari dalam kereta. Watak “Rumah Kedai” sebenarnya itu pula di kala itu dirakamkan di sebuah rumah kedai yang terletak di Taman Koperasi Polis Fasa 1. Gua yang tinggal di Fasa 2 di kala itu pun menumpang seronok bercerita dengan rakan sekelas bahawasanya lokasi penggambaran dilakukan di kawasan adik-beradik dengan taman gua.

Siri Rumah Kedai inilah yang sebenarnya dekat dengan masyarkat kita. Tentang perihal apa yang berlaku di kalangan jiran tetangga. Bukannya watak anak muda yang kelihatan baru habis Ijazah, tapi dah dapat duduk dalam bilik sendiri gaya bos-bos. Pakai pula kereta buatan Eropah, tak kalah. Gua tengok realitinya budak-budak habis belajar zaman sekarang habis kuat pun Myvi SE 1.5 aja. Itu pun kadang sangkut sebulan tak bayar. Tak baik betul pembikin drama zaman sekarang ni memberikan harapan palsu kepada anak-anak yang masih di bangku sekolah lagi konon seronok kerja di sektor swasta.

Maka, sebab itulah Rumah Kedai ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan penonton di kala itu, baik yang muda mahupun tak berapa nak muda. Sebabnya, itulah realiti kebanyakkan orang seperti kita. Setakat mak suruh beli kelapa separuh nak buat santan di kedai runcit apa ada hal. Siap boleh bersembang kat tepi kaunter lagi dengan jiran belakang rumah konon lama tak jumpa. Zaman sekarang ni gua dengar semuanya jenis beli santan kotak di pasarraya besar Giant. Tak feel langsung. Sempena Ramadhan kali ini, gua dengar akan ada cerita Rumah Kedai versi 2013. Jangan jahanam sudahlah. Gua mohon dibuat tayangan semula cerita Rumah Kedai versi asal. Amacam, ada yang bersetuju dengan gua tak??

Tuesday, July 02, 2013

Kisah Bukit Bendera




Ok, ini entri terakhir tentang Penang. Gua memang suka betul kalau dapat menjejakkan kaki ke Penang ini. Jadi, mari gua kongsikan tentang Bukit Bendera ini, yang mana gua yakin masih ramai lagi belum menjejakkan kaki ke sana. Sepanjang sejarah hidup gua, adalah dalam tiga kali gua telah menjejakkan kaki ke Bukit Bendera. Pertama kali sewaktu gua masih lagi di zaman kanak-kanak. Sunat pun belum lagi di kala itu. Sungguh pun demikian, ingatan gua terhadap Bukit Bendera begitu kuat dikala gua membuat kunjungan kali kedua sekitar tahun 2005. Ternyata, memori ketika kali pertama berulang lagi sewaktu gua mula beratur untuk menaiki tren dari stesen bawah. Dia punya panas jangan cakaplah. Puas jugalah gua mengibas kolar baju supaya angin segera datang untuk menyejukkan gua dikala itu. Gua sangkakan panas berpanjangan, rupanya memang berpanjangan sungguh. Bila mana menaiki tren yang mempunyai kelajuan serupa siput, lagilah terasa panas hati dengan ramai orang dan juga kipas di bumbung tren yang kelihatan seperti berada di Butang No. 1 sahaja dia punya laju. Bila sampai di stesen atas, gua perati situasinya juga tidak jauh berubah sewaktu kunjungan gua zaman masih kecil lagi. Segalanya masih kelihatan tiada beza. Suhu di atas Bukit Bendera di kala itu pun masih boleh terasa angin sejuk lagi. Serupa pasang kipas dinding Butang No. 3.

Namun segalanya kini telah jauh berubah, seiring dengan peredaran zaman barangkali. Pengalaman mengipas kolar baju panas menunggu tren tidak lagi berlaku. Sejuk betul di bahagian ruangan menunggu. Penghawa dinginnya bersepah di sana sini. Cumanya bahangnya terasa di bahagian luar kerana sedang mengalami pengubahsuaian yang cukup intensif, demi keselesaan di masa hadapan. Sikit masa lagi siap sudah barangkali kerja pengubahsuainya. Menunggu tren yang serba baharu itu pun tidak lama. Sekejap dah sampai. Dan sekejap juga dah sampai stesen di bahagian atas. Laju serupa LRT. Memang berbaloi sungguh gua membayar RM8 sebagai tiket untuk sampai ke atas Bukit Bendera ini.

Sewaktu berada di Bukit Bendera, ternyata kerja-kerja menaik-taraf yang telah dijalankan sebelum ini berjaya mengembalikan rupa-bentuk Bukit Bendera yang lebih segar dan terkini. Antara yang telah menerima facelift adalah teropong yang telah dicat dengan pelbagai warna-warni untuk menarik perhatian anak-anak kecil supaya meminta RM1 sebagai ganti untuk melihat meneropong Penang dari kejauhan. Manakala, antara perubahan besar yang telah ditambah-baik adalah wujudnya Astaka juga untuk di deck atas untuk melihat-lihat pemandangan sambil bergambar sakan manakala di bahagian bawahnya menempatkan orang ramai menjamu tekak dan juga sebuah Muzim Burung Hantu turut ditempatkan di bahagian bawah. Untuk yang bercitarakan premium, boleh mencuba melepak sambil pekena Teh yang gua syak harga dia serupa RON97 di David Brown's Restaurant & Tea Terrace sambil menikmati pemandangan yang gua jamin cukup berbaloi dengan apa yang lu orang bayar.



Secara jujurnya, kalau lu orang tak mahu naik ke Bukit Bendera ni pun bukanlah satu isu yang harus diperbesarkan. Setakat naik duduk kat atas tu menghabiskan masa sejam dua bergambar sana sini. Tipikal. Tapi lu orang tak segan ke, esok-esok kalau dah ada anak, dia bertanya.. "Ayah, jom kita pergi Bukit Bendera nak tak? Er, mesti Ayah dah pernah pergi masa kecil-kecil dulu kan.. ". Hah..Apa lu orang orang nak jawab?