Thursday, October 23, 2014

Amanah Raya Ambil Duit Pusaka?

Amacam, sedap juga rasanya sesekali bubuh tajuk entri yang agak panas dan pasti mengundang kontroversi dan juga sokongan yang bukan kepalang buat masyarakat yang jahil di luar sana tentang proses pentadbiran pusaka. Menerusi laporan akhbar arus perdana, dikhabarkan sejumlah RM40bilion nilai harta pusaka yang masih belum diselesaikan.Jumlah yang boleh menampung belanja subsidi petrol ini kalau dikumpul memang banyak sebenarnya. Namun, entah apa gila masyarakat dengan mudah menunding jari seolah RM40billion ini  telah pun berada dalam pegangan AmanahRaya, yang mana dahulu kalanya adalah Jabatan Pemegang Amanah Raya. Kaya raya AmanahRaya ini kerana mengaut (baca: mengambil secara paksa) harta pusaka milik masyarakat. Memang jahat sungguh barang siapa yang menyebarkan dakyah tersebut.

Ingin gua tegaskan. Matinya seseorang itu, harta pusakanya tidaklah pula dengan sendirinya menjadi hakmilik AmanahRaya. Gua bagi contoh mudah. Katakanlah, PakMat ada bela 6 ekor lembu di Ampang. PakMat Mati. Adakah lembu-lembu tersebut datang ke pejabat AmanahRaya dengan sendirinya menaiki LRT Aliran Ampang dan membayar tambang RM2.40 seekor? Adakah lembu-lembu yang mempunyai nilai beribu itu telah menjadi kepunyaaan AmanahRaya?  Tidak bukan. Jadi, silalah berhenti jadi lembu. Otak ada sila guna.

Begitu juga dengan tohmahan cubaan mengatakan Pegawai AmanahRaya cuba menipu akaun harta pusaka untuk songlap duit poket sendiri. Tak gamak oi nak makan harta pusaka. Nak bersoal jawab dengan Pegawai Jabatan Akaun mana perginya slip biru (Petty Cash Voucher: digunakan bagi mendapatkan tunai untuk kegunaan perbelanjaan pentadbiran pusaka) dah pun pening kepala kalau tersalah letak cari tak jumpa. Apatah lagi kalau dengan sengaja nak songlap duit daripada Akaun Pusaka. Nak menjawab dengan En Hashim lagi. Nak menjawab dengan Tuhan boleh hold dulu -kata si pengsonglap.

Jadi, kesimpulannya, tohmahan yang mengatakan AmanahRaya @ Pegawainya dengan sengaja mengambil duit pusaka milik simati adalah satu tuduhan liar dan tidak berasas. Kalau betul gua songlap, dah tentu telefon bimbit jenama Samsung S generasi pertama dah lama berganti..Telefon bimbit gua ni dia punya slow memang jenis berbakul kena carut. Nak tunggu muat turun Whatsapp group yang berduyun pun belum tentu sempat habis sepinggan Nasi Lemak. 

Berhentilah menyebarkan dakyah palsu dan berhentilah jadi tongong.



Seksyen 28. Pernyataan palsu dalam akaun
Seksyen 28. Pernyataan palsu dalam akaun

Mana-mana pengarah, pegawai atau pekhidmat suatu syarikat amanah yang secara sengaja dan dengan niat hendak memfraud membuat atau bersubahat membuat apa-apa catatan palsu dalam buku-buku syarikat atau menandatangani atau mengemukakan apa-apa dokumen palsu dengan niat untuk memperdayakan mana-mana orang yang dilantik di bawah Akta ini untuk menyiasat hal ehwal dan pengurusan syarikat itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun

Thursday, September 04, 2014

Kisah Makcik Tua dan Faraid-nya

Gua memang dah lama tak menulis. Otak terlalu tepu sehinggakan gua tak punya idea sedangkan banyak juga kisah & tauladan yang ingin gua kongsikan untuk pedoman bersama. Tapi kali ini gua punya tepu memang tidak boleh dibendung lagi. Mau mudarat jadinya kalau gua pendam seorang diri. Jadi ada baiknya gua curahkan di blog.

Merujuk kepada perkara di atas (Makcik Tua), dalam suku pertama Tahun 2014 gua telah diarahkan untuk memikul amanah bagi menguruskan satu fail pusaka yang mana waris-warisnya agak puaka juga perangainya. Sungguhpun demikian, gua menerimanya dengan berlapang dada walaupun gundah gulana sudah mula terasa. Menerusi perkhabaran oleh Pegawai sebelum yang menguruskan fail tersebut, ada seorang Makcik Tua yang perangainya memang mengalahkan Mak Lampir. Tamak haloba kan duit pusaka yang mana bukanlah menjadi miliknya sekiranya simati berkahwin dengan mempunyai anak.

Diringkaskan cerita, telah berlangsung sesi perbincangan antara kesemua waris-waris bagi menentukan bentuk pembahagian. Walaupun telah dicadangkan dan waris lelaki bersetuju agar pembahagian dilakukan secara samarata demi untuk mengelakkan perasaan irihati, akan tetapi si Makcik Tua ini dengan angkuh dan sombongnya tetap berkeras mahukan agar pembahagian dibuat secara Faraid. Entah apa yang berada di benak fikiran Makcik Tua tersebut pun gua tidak begitu pasti. Entah bangga sangat rasa dihati sekiranya dapat menegakkan Fikq Mawarith. (Wah..ayat gua dah serupa TV Alhijrah pula rasanya.)

Setelah dibuat kira-kira dan ditolak bahagian-bahagian yang sepatutnya (melibatkan fi pentadbiran + hutang simati + CKHT + jariah = (banyak ke CKHT sama jariah sebenarnya) ) maka jumlah yang bersih untuk diagihkan kepada kesemua waris kelak tidaklah banyak mana. Setakat beli rumah jenis PPRT kawasan Gombak pun ngam-ngam sahaja dengan baki duit yang ada. Waris bahagian perempuan dah tentulah lagi sikit. Bilamana Makcik Tua dapat tahu, maka melolonglah seantero alam kenapa beliau dapat sedikit berbanding waris yang lain. Lantaran tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan, maka segeralah aduan dibuat untuk mengadu nasib. Setakat gua menulis ni, 3 aduan telah ditujukan kepada gua sehinggakan nama gua mula meniti di bibir pegawai besar di MoF. Walaupun dari segi proses kerja, ternyata aduan yang dikemukan itu ternyata tidaklah berasas sama sekali, jauh sekali benar tuduhan Makcik Tua tersebut mengatakan gua merembat duit pusaka. Namun, apabila nama gua meniti di bibir pegawa-pegawai atasan, ianya bukanlah satu persepsi yang elok pada permulaannya walaupun hakikatnya memang gua hanya menjalankan tugasan dengan sejujur mungkin tanpa sebarang niat untuk merembat waima sesen pun duit pusaka. Mujur juga berkat ketabahan gua dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang Executor berjaya mengelakkan gua daripada menaip entri ni dari atas katil hospital akibat tekanan darah tinggi.

Kepada Makcik Tua dan seluruh keturunannya, marilah kita sama-sama berdoa agar dibukakan pintu hati menerima hakikatnya tentang hukum Faraid ini. Redha dan terimakah apa sahaja bahagian yang telah ditetapkan sebagaimana gua juga redha apabila kena adu sampai terpaksa menjawab secara terus dengan orang atasan. Tolong jangan ganggu gua buat kerja lagi boleh tak? Tak letih ke asyik mengadu macam budak-budak?

Tuesday, June 24, 2014

Liku-Liku Menjadi Anak Angkat

Diceritakan Adib (bukan nama penuh) telah pun dipelihara oleh ibu angkatnya yang juga merupakan salah seorang ahli keluarganya sejak beliau masih kecil lagi. Keluarga asal Adib barangkali terpaksa menyerahkannya akibat daripada kesempitan hidup.Walaupun yang membezakan adalah perkataan angkat, akan tetapi si ibu begitu menyayangi Adib. Ditatang seumpama minyak yang penuh. Tidak pernah merasa susah orang kata. Namun, panas yang disangkakan berpanjangan, rupanya mendung di tengahari. Ibu angkatnya disahkan menghidapi penyakit kanser. Mendung yang berarak kelam itu rupanya berubah menjadi hujan yang lebat serta menakutkan. Ditakdirkan Ilahi, ibu angkatnya menemui penciptaNya ketika Adib  baru berusia 15 tahun. Dalam usia yang masih mentah itu, pasti sukar untuk Adib menerima khabar berita duka itu. Menambahkan lagi kedukaan, ayah angkatnya pula tidak lagi menghiraukannya setelah ayah angkatnya menikahi isteri baharu. Maka, tinggallah Adib dalam seribu kebungkaman. Maka, terpaksalah Adib kembali semula ke pangkuan ibu kandungnya walaupun terbit sedikit rasa kekok untuk tinggal bersama dengan ayah tirinya.

---------------------

Setelah bertukar beberapa PIC, akhirnya tiba juga giliran gua untuk meyambung tugasan sebagai Executor bagi meneyelesaikan pentadbiran pusaka arwah ibu angkat si Adib.Gua telah berpeluang untuk berjumpa dengan Adib di salah sebuah daerah yang terdapat di Selangar setelah usaha mencari agak sukar kerana Adib kini telah pun tinggal bersama ayah kandungnya di daerah Sepang, tidak lagi bersama ibu kandungnya seperti dahulu. Sewaktu berjumpa, beliau ada menyatakan yang beliau agak sukar untuk tinggal bersama ibu kandungnya sementelah tidak sehaluan bersama ayah tirinya itu. Ibu kandungnya juga sebenarnya gua pernah bersua muka sewaktu usaha menjejak Adib kali pertama di rumahnya. Jelas terpancar wajah kesunggulan ibu kandungnya itu mengenang nasib anak sulungnya yang terpaksa membawa diri. Mujur juga Adib ini walau pun seorang anak muda yang baru sahaja cukup umur, tapi gayanya jenis yang tabah dan cekal. 

Sewaktu gua menghubungi mahu berjumpa dengannya untuk menyerahkan dokumen, beliau akur sahaja tanpa banyak soal. Sanggup dipinjami motorsikal Yamaha Sport Y100 usang milik datuknya dan bergerak dari Sepang seawal jam 12.00 tengahari bersama seorang rakan menemaninya. Untuk sampai ke destinasi pertemuan sebuah gerai di PJ, memakan masa hampir 3 jam jugalah kata beliau. Ketika gua memberitahu bahawa tujuan gua mahu berjumpa dengan beliau sebenarnya adalah untuk menyerahkan HakMilik Asal sebuah rumah yang sudah pun tertera nama beliau, terucap Allahuakbar di bibir beliau sewaktu pertama kali memegang HakMilik Asal tersebut yang sebenarnya telah pun dihibahkan oleh ibu angkatnya tidak lama dahulu. Sesungguhnya Adib berasa sangat terharu. Matanya sudah kelihatan sedikit berkaca namun gua syak beliau cuba menahan daripada tertumpahnya air mata keharuan (Mak ai..teruk betul tatabahasa gua guna ni).

Gua dapat mengagak betapa sukarnya untuk Adib meneruskan kehidupan ini dalam keadaan yang huru hara sebelum ini. Namun anak muda ini jenis yang cekal. Kuat semangatnya. Sempat juga gua titipkan kata-kata nasihat yang berguna. Esok-esok kalau dapat duit (Wasiat 1/3 daripada ibu angkatnya itu), belilah motorsikal baharu untuk memudahkannya menjenguk ibu kandung serta adik-adiknya kelak. Selebihnya, simpanlah demi masa depan.Jangan hisap dadah. Jangan main judi. Jangan main-main untuk hidup. Dan pelbagai jenis jangan lagilah. Beliau hanya mengangguk tanda memahami apa yang gua tuturkan. Sebelum meminta diri untuk pulang, untuk berjumpa dengan adik-adiknya (sebetulanya beliau sebenarnya sangat gembira untuk pulang berjumpa dengan adik-adiknya setelah lebih 4 bulan tidak bersua muka) beliau dengan rasa besar hati ingin membayar minuman yang telah dipesan. Allahuakbar. Besar sungguh hati anak muda ini. Walaupun membelanja waris bukanlah salah satu daripada KPI yang ditetapkan, namun kecekalan hati anak muda ini sesungguhnya menyentuh nurani gua ini. Setakat membayar air tebu yang tak berapa manis itu, apalah sangat pada gua. Semoga anak muda ini diberkati olehNya.

P/S : Moralnya, kalau lu orang punya anak angkat, silalah berbuat Hibah & jangan lupa berbuat Wasiat 1/3 kepada anak angkat yang dikasihi itu. Dan lantiklah Executor yang sebenar-benarnya. Sesungguhnya kerjaya sebagai Executor ini perlukan jiwa. Baru ada rasa. Er, tapi jangan lantik gua jadi Executor. Gua penat dah.

Thursday, May 15, 2014

Brader Sasa 2.0




  1. Memulakan tugas setelah menamatkan pengajian di Universiti tempatan sebagai Penulis Wasiat, dengan gaji yang cukup lumayan, kira-kira RM1,800 seminggu.
  2. Ketika mula-mula bekerja dahulu, Brader Sasa ini adalah seorang pemuda yang cukup baik pekertinya. Bercakap dengan orang tua pun padang bawah sahaja. Jenis pemalu katanya.
  3. Gua dan Brader Sasa pernah diarahkan untuk bertugas ke gugusan felda yang terletak di pedalaman Perak. Jauh. Tiga hari perjalanan diperlukan untuk kitaorang sampai ke tempat itu. Tak adalah, gua acah aja. Tapi memang jauh sungguh. Sungguhpun jauh, akan tetapi kitaorang tetap sampai sekitar waktu tengahari waima kitaorang sepatutnya memulakan tugasan sekitar jam 2.30 petang. Memandangkan awal, maka kitaorang memutuskan untuk berehat sambil buat-buat pejam mata sementara menantikan waktu Azan Zohor. Dalam dok buat-buat pejam, tiba-tiba Brader Sasa boleh berdengkur bagai. Gua bangun pergi pijak badan Brader Sasa terus beliau bangun ambil wuduk.
  4. Brader Sasa adalah seorang yang boleh diharap juga sebenarnya terutamanya bab meminta pertolongan. Minta tolonglah apa sahaja, akan tetap dibantunya. Pernah ada seorang akak meminta tolong untuk mengangkat kotak, sekali dengan akak tersebut beliau angkat.
  5. Pernah membantu gua untuk mengangkat barangan menggunakan gigi setelah tidak menang tangan memunggah barang sewaktu menghantar bantuan kemanusian mangsa banjir Kuantan.
  6. Selain bercita-cita untuk memasuki pertandingan Raja Lawak, Brader Sasa juga pernah memasang cita-cita untuk memasuki gusti dan bertarung dengan John Cena.
  7. Disebabkan Brader Sasa ini berwajah  tampan, maka tidak hairanlah sekiranya terdapat anak gadis dan juga bukan gadis yang meminati beliau. Anak bujang pun dengar kata ramai juga yang minat beliau. Curiga betul gua.
  8. Ok, sekarang ini gua nak bagitau lu orang satu perkara rahsia besar. Brader Sasa ini sebenarnya peminat setia Herman Tino. Dalam playlist dia berderet lagu penyanyi asal Tanjong Karang ni.
  9. Turut bercita-cita untuk merakamkan album duet bersama penyanyi Siti Nordiana. Tinggi woo suara Brader Sasa ni tarik. Tarik waktu Azan pun tak ada tinggi serupa ini.



Tuesday, May 06, 2014

Viva La Brader Sasa



*ARTIKEL YANG SAMA TELAH PUN DITERBITKAN UNTUK MAJALAH KERETA MEI 2014
Perodua Viva ini sebenarnya adalah sebuah kereta yang kecil dan unik, mewarisi gen-gen daripada Perodua Kancil yang terlebih dahulu menjengah pasaran awal era 1990an. Untuk segmen kereta kecil seperti mana Perodua Kancil yang pertama kali diperkenalkan kepada pasaran, benar-benar menjadikan ianya laku seperti menjual karipap panas di kala petang hari tengah lapar. Lantas menbuktikan bahawa, segmen kereta kecil sebegini amatlah ramai pengguna khusus untuk golongan marhaen yang berslip gaji kan agak kecil yang  tinggal di suburban seperti Temerloh, Kota Tinggi, Sg. Petani dan tak ketinggalan, bandar kelahiran Perodua, Sg. Choh Rawang. Fungsi asasnya dikekalkan, iaitu untuk mengangkut manusia dari Titik A ke Titik B. Dan fungsi asas tersebut digunapakai oleh pewaris Kancil, Viva yang mana sekali lagi membuktikan bahawasanya ianya masih lagi digemari lagi rakyat Malaysia, baik yang mahu menggunakan fungsi asasnya tadi atau pun yang mahu menggunakannya untuk tujuan ber-JDM.
Akan tetapi, jikalau nak main kereta kecil Perodua Viva sebegini, modal yang besar harus dipertaruhkan jika JDM yang dikiblatkan. (Mak ai..ayat gua bukan main ilmiah lagi dah serupa saluran Oasis). Benar, main JDM boleh habis duit gaji,  duit ASB dan juga duit Tabung Haji. Silap haribulan, ansuran dengan bank pun gantung dua tiga bulan. Memang boleh parak dibuatnya. Maka, begitulah adanya adat ber-JDM. Kalau nak jimat sikit, ada juga model kereta kecil yang sesuai untuk diubahsuai, Naza Forza misalannya. Tapi gua tak fikir ke-parak-an itu berlaku kepada pemilik Perodua Viva yang mana gua telah shoot kereta beliau di Pantai Klebang di kala cuaca yang tak berapa nak redup. Tengah rembang orang kata.
Jadi, marilah gua perkenalkan kepada lu orang pemilik kepada Perodua Viva Daihatsu Mira Avy RS ini sebagai Muzhaffar sahaja. Tengok kepada kulit muka, memang nampak jauh lebih muda daripada gua yang semakin lanjut usia ini. Walau pun kelihatan muda, tapi Brader ini tidaklah pula kelihatan jenis yang ansuran kereta bertangguh. Jenis yang berduit dan pandai berjimat gayanya. Kalau tidak, masakan beliau sanggup menanggung risiko untuk memiliki jentera  buatan Rawang yang tidak lagi kelihatan ke-Rawang-annya seperti mana kunci kereta bertukar tangan beberapa tahun sudah.
Lahiriahnya Perodua Viva ini  telah pun kelihatan sangat ke-Jepun-annya. Segala bodypart asal telah pun digantikan dengan Mira Avy RS yang kelihatan agak hensem daripada bodypart asal yang mana bodypart asal Viva ini kelihatan tersangatlah femininnya.  Cuma bodypart Viva Elite ini sahaja gua rasa kelihatan sedikit macho. Bodypart Avy RS lengkap depan belakang yang nilainya bersamaan dengan gaji seorang Kerani Bank ini  telah pun selamat disalinkan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Lengkap selengkapnya. Jenis hati kental apabila berdepan dengan Abang Penguatkuasa. Apa nak jadi, jadilah. Janji JDM selamanya dihati. Eceh. Rim Enkei RPF1 15' turut menambahkan lagi ke-hensem-an kereta yang masih lagi menggunakan warna kilang dalam usaha untuk kelihatan sedikit low profile dari jauh. Manakala RSR Magic Exhaust turut dipasang bagi menimbulkan sedikit mood garang

Kalau bab luaran sudah pun dikira lengkap, bahagian dalamannya juga tidak kurang hebat. Tempat duduk asal keluaran Perodua yang  masih lagi elok lagi itu kini telah pun hanya menjadi tempat kucing tidur sahaja (agak gua lah) dan digantikan dengan seat asal milik Daihatsu yang turut mempunyai perehat tangan untuk sang pemandu. Selesa dan tak lenguh tangan kalau memandu jauh terutamanya Brader Muzhaffar dan geng-geng yang lain sememangnya kerap menyertai Autoshow di sekitar Selatan Tanahair. Menambahkan lagi selesa tersedia yang dipegang adalah stereng Momo wallnut yang mana harganya lebih mahal daripada harga ansuran bulanan Perodua Viva. Memandangkan Brader ini juga seorang pencinta alam sekitar, Tong Sampah khusus untuk kegunaan Mira Avy ini turut dipasangkan. Maka, tiadalah kejadian yang tidak diingini seperti membuang sampah di luar kereta dapat dilihat atas jalanraya. Side step yang tidak kurang murahnya juga turut dipasangkan bagi menambahkan lagi mood JDM Viva ini.
Bagi mengiringi pemanduan di kala petang hari pulang dari kerja sambil mengadap Iblis Jem di Pantai Klebang, pemain Cakera Padat Digital yang gua tak tahu apa jenamanya turut dipasang didalam papan pemuka milik Mira Avy ini berserta dengan pembesar suara Carrozeria yang boleh tahan rare juga untuk memperdengarkan irama rancak kegemaran muda mudi masa kini melalui siaran HotzFM barangkali. Kalau gua, layan LiteFM aja. Maklumlah, orang tua sememangnya seleranya begitu.
Lengkap sudah bahagian luar dan dalam. Ketika gua menjenguk ruangan enjin, dengan pantas pemiliknya menghampiri gua memberitahu bahawasanya tiada sebarang proses bypass pemindahan jantung yang dilakukan. Jantung asal yang bersesaran 1000cc yang disertakan sekali dengan DVVT itu masih lagi dikekalkan agar lebih praktikal untuk kegunaan harian ulang alik demi mencari sesuap rezeki di negeri Melaka United FC itu. Jimat juga penggunaan petrol.Boleh simpan duit nak pergi umrah, kata pemilik Viva ini lagi.  
Jadi tamatlah sudah artikel yang sebenarnya sudah lama berada dalam keadaan draf. Oh ya, sebut pasal Perodua Viva ni, member gua Brader Sasa yang turut memiliki sebuah Prelude juga dengar kata dah mula berjinak-jinak dengan nak main kereta kecil sebegini. Nak jadikan Viva beliau kepada sebuah JDM yang lengkap.  Sebagai permulaan, beliau telah pun membeli wiper yang berasal dari Jepun dari kedai Daiso di Seremban.