Wednesday, February 18, 2015

Mari Mengenali Iblis

Rata-rata pembaca blog ini telah pun mengenali Iblis Petak Kuning yang kewujudannya semakin menjadi-jadi dan petanda ianya akan pulih seakan tipis sewaktu berada di jalanraya. Patutnya isu sebegini pun Mufti ambil tahu demi kemaslahatan ummah. Sebetulnya, Iblis Petak Kuning ini turut mempunyai beberapa taulannya yang turut sama jahat, sama ada kita sedari atau tidak. Jadi, marilah berkenalan dengan Iblis-Iblis yang ada sebagai panduan bersama. Terpulang kepada masing-masing bagaimana hendak mengatasinya. Nak standby batu sama stereng lock pun elok juga rasanya sebagai persediaan.

Iblis Berhenti Tepi Jalan
Sedang orang lain bukan main sabar menempuh kesesakan jalanraya, iblis ini dengan selamba sahaja memarkirkan kereta berjenama mewah tepi jalan tanpa ada sedikit pun rasa bersalah kerana mengganggu lalulintas. Eloknya dalam waktu yang ada Backhoe turut melalui kawasan tersebut lalu melibas iblis-iblis ini.

Iblis Memotong Barisan
Seringkali wujud terutamanya berhampiran di Plaza Tol. Sedang umat lain kusyuk beratur di belakang, iblis ini tanpa perasaan  terus sahaja memancung & memotong barisan di hadapan dengan alasan hendak lekas sampai ke rumah. Habis tu, yang beratur berjela kat belakang tu memang nak lambat sampai ke rumah kah??

Iblis Terhegeh
Keturunan iblis ini akan terasa kehadirannya sewaktu berada di lebuhraya tiga lorong dimana iblis ini gemar memandu dengan kadar kelajuan basikal lumba sahaja pada lorong kanan. Kenderaan belakang jenuh bagi high beam dia boleh bantai menyanyi lagu K-Pop sekuat hati buat tak reti. Macam mana kira ni?

Iblis Parking Senget
Biasanya melibatkan iblis yang memandu kenderaan bersaiz sederhana besar. Disebabkan berasa memandu kereta bersaiz lori, maka iblis ini lebih gemar memarkir secara senget dengan agak ketara sehingga mengganggu membuka pintu kenderaan di sebelah. 

Iblis Gadjet
Iblis gadjet ini pula terdiri daripada golongan muda yang gemar membalas WhatsApp ataupun mengemaskini status di media sosial tanpa mempedulikan kereta dihadapan telah jauh meninggalkan kereta sendiri selama lebih daripada empat kali. Kereta belakang hon baru terhegeh nak memecut macam orang gila ke hadapan. Menambahkan sesak yang telah sedia sesak. 



Sunday, January 11, 2015

Kisah Hidup Ku: Si FD2R

Artikel yang sama juga telah diterbitkan dalam Majalah Kereta Januari 2015.



AMARAN : Artikel ini berkemungkinan mengandungi unsur-unsur tahyul yang tidak keterlaluan. Bimbingan orang dewasa mungkin diperlukan.

Salam Sejahtera dan Salam 1Honda. Walaupun ramai yang telah mengenali siapa diriku, izinku mengenalkan diri juga. Nama ku Honda Civic Type-R dan berasal tanah Jepun. Walaupun berasal dari Jepun, aku tidaklah pula fasih berbahasa Jepun. Sekadar menyebut “Hait” dan “Arigato” budak tadika pun reti mengungkapnya. Aku lebih senang bertutur dalam Bahasa Melayu dan menikmati Nasi Lemak lauk Sambal Sotong berbanding dengan Sushi. Kini aku telah pun dikurniakan Penduduk Tetap setelah beberapa tahun menetap di bumi bertuah, Malaysia bersama tuan ku yang baharu. Sebelum bercerita mengenai tuan ku, izinkan sekali lagi untuk aku bercerita serba sedikit mengenai salah-silah diriku.

Sebelum kelahiran aku sebagai Honda Civic Type-R ini, aku sebenarnya turut diberikan pilihan sama ada untuk menjadi Honda Jet ataupun sebuah jentera yang berprestasi tinggi. Bila mendengar pada mulanya, agak teruja juga rasa di hati untuk jadi Jet ni. Tapi memandangkan aku ini jenis yang alah kepada ketinggian, maka hasrat untuk terbang membelah awan biru terpaksa jua aku kuburkan. Dapat membelah tar di jalanan rasanya boleh tahan teruja juga sebenarnya. Akhirnya, menjelmalah aku sebagai sebuah jentera N/A yang dianggap cukup handal untuk menyakat lain-lain jentera yang berpaksikan turbo dan tak lupa juga surbo.

Di awal kelahiran pada 2007, aku terlebih dahulu dimiliki oleh seorang gadis Jepun, Suki agaknya namanya. Bilamana dimiliki oleh kaum hawa, maka sudah tentulah imej yang ditampilkan dengan sedikit citarasa feminin. Penuh jugalah dengan pelekat Hello Kitty bagai. Sejarah hidup aku di Malaysia bermula apabila aku telah dipesan oleh En. Ridzwan secara terus dari Jepun pada tahun 2012. Walaupun merupakan kondisi recond, tapi keadaan diriku masih lagi kacak bergaya sama seperti Tetsuya Harada. Ternyata pemilihan En. Ridzwan, juga seorang pemuda yang kacak kelihatan begitu cocok dan ganteng sekali, bak kata orang seberang. Sememangnya spesis diriku ini tidaklah sukar untuk menemui tuan-tuan baharu kerana sememangnya di kalangan kami terlalu ramai anak muda yang idamkannya, sama ada untuk dibuat ulang-alik pergi ke pejabat ataupun sekadar sesekali melayan selekoh di Litar Sepang.

Sebelum memiliki diriku, En Ridzwan terlebih dahulu pernah memiliki seorang lagi adik beradik ku, si City untuk pemanduan harian. Namun, apalah diharap sangat pada Vtec 1.5 itu. Mempunyai kuasa sekitar kelajuan basikal lumba tidaklah memadai buat beliau. Ternyata En. Rizwan terlalu menggilai K20A yang mampu menghamburkan kuasa sekitar 225PS walaupun secara standard kilang. Secara asasnya, jantung di dalam dada ku ini masih lagi dibiarkan dalam keadaan kilang sahaja. Cuma penalaan semula oleh Hondata Flashpro bagi mendapatkan kuasa yang lebih sempurna. Sistem ekzos pula telah dibina secara custom dengan menggunakan formasi manifold berukuran sama panjang 4-2-1 > diameter 45mm → 50mm → 55mm, seterusnya bersambung dengan paiping berukuran 70mm serta diakhiri dengan muffler custom yang cukup untuk mengejutkan jiran bangun pagi bangun bersolat subuh berjemaah di Surau. Kata En. Ridzwan gabungan ini dirasakan agak menarik juga untuk mengekstrak kuasa dengan lebih optimum. Padanan bersama kotak gear manual 6 kelajuan ini yang mempunyai ratio yang cukup rapat berserta dengan OS Giken Super Single Clutch dirasakan sudah memadai untuk mana-mana pemandu berlumba dengan Lampu Kuning di persimpanan lampu isyarat. Insya Allah boleh menang. Tapi awas ya, Lampu Kuning itu bereti bersedia untuk berhenti, dan bukannya bersedia untuk menukar gear lebih rendah dan memecut laju di saat akhir.

Perubahan yang paling ketara di luaran adalah, satu persalinan lengkap JS Racing telah dikenakan ke atas diriku bagi merubah sedikit penampilan secara dasarnya. Kit badan meliputi Lip di bahagian depan, Air Duct, Carbon Fiber Bonnet dan juga Diffuser di bahagian belakang. Perubahan yang paling ketara dah tentulah di bahagian belakang apabila satu set GT Wing juga dari JS Racing telah dipasang kemas bagi memastikan tekanan angin ke bawah dengan lebih baik sewaktu memecut laju. Sepasang bonet pin juga telah dipasang bagi mengelakkan bonnet yang mahal itu melayang sewaktu memecut laju.

Menambahkan lagi tahap ke-hensem-an diriku ini apabila rim CE28N 17x8JJ Offset 45 berwarna merah telah dipasang bagi memberikan tonasi warna yang sama di bahagian dalam yang bertemakan Type-R. Disarungkan pula Tayar Michelin Pilot Sport 3 size 235/45R17 untuk padanan yang lebih sesuai orang kata bagi pemanduan harian. Manakala tayar Hankook RS3  size 235/45R17 hanya akan disarung apabila tiba trackday Honda. Baru tahap keyakinan bertambah tinggi apabila berlumba nanti, iya tak? Brek asal Brembo masih lagi dikekalkan tanpa berasa bimbang En. Rizdwan akan tercium divider jalan akibat daripada kegagalan memberhentikan aku dengan cukup pantas.

Sistem gantungan aku pula telah ditala secara custom dengan kerendahan kereta di bahagian hadapan secara boleh laras rendah/ketinggian 15mm. Manakala di bahagian belakang pula telah direndahkan lagi 20mm berbanding ketinggian asal yang cukup untuk membuatkan penumpang di bahagian belakang melantun-lantun sakit tulang belakang dia punya keras. Nak buat macam mana, En. Ridzwan ini lebih menggemari talaan sebegitu. Aku sebagai kereta, ikutkan sahaja kemahunanya. Nak dilawan, bimbang derhaka pula nanti.

Dibahagian dalaman pula hampir tiada perbezaan yang ketara. Serba-serbi masih lagi dalam keadaan asal dari Jepun. Cuma tali pinggang keledar empat poin Takata. sahaja yang telah dipasang di bahagian pemandu, bagi mengikat En. Ridzwan dengan kemas dan rapi sewaktu meratah dengan rakus setiap inci selekoh yang terdapat di Litar Sepang dan juga jalan lama Rembau-Tampin.  Manakala lain-lain masih seperti rupabentuk FD2R yang asal. Barangkali En. Ridzwan lebih menghargai originaliti, maka sebab itulah kebanyakkan perkakasan asal masih dikekal dan digunakan pakai sehingga ke hari ini.

Nah, sekarang boleh dikatakan diriku dah hampir sempurna untuk beraksi di litar lumba mahupun di Hartamas sambil melihat makwe lalu lalang tayang betis. Tapi aku yakin, Tuan ku ini bukan begitu orangnya. Beliau lebih menggemari Surau dan Masjid berbanding tempat berunsur lagha sebegitu. Eceh.





Thursday, December 18, 2014

Syukur Harga Minyak Kita Masih Murah


Sejak akhir-akhir ini perihal harga minyak cukup menjadi-jadi di kalangan masyarakat. Baik yang tinggal Kondo di Kota Damansara, mahupun yang tinggal di Mentakap. Rata-rata penduduk asyik membincangkan harga minyak. Cuma kebelakangan ini, penurunan harga minyak dunia menurun agak mendadak sehinggakan harta RON95 & RON97 ditempat kita turut sama mengalami penurunan harga dengan harga terkini adalah RM2.26 dan juga RM2.46 mengikut kategori RON masing-masing. 

Cumanya penurunan harga minyak di tempat kita mendapat reaksi yang berbeza-beza di kalangan masyarat. Ada yang berkata sistem pengapungan terkawal ini bagus (dengan harga minyak sekarang) dan tidak kurang juga yang memberikan pendapat bahawasanya harga minyak ditempat kita sepatutnya lebih murah daripada apa yang ditawarkan pada masa kini.

Jadi, bagi mencontohi pendapat bapak Menteri yang suka sangat membanding harga-harga minyak kita di kalangan beberapa negara, marilah gua kongsikan berapa harga minyak di negara jiran kita. Tapi sebelum membandingkan, gua mohon jangan jadi bingai dengan membandingkan tukaran mata wang asing ke duit kita. Sila simpan sikit bingai itu di kemudian hari.

Di bumi bertuah kita, untuk mendapatkan seliter RON95 sejumlah RM2.26 manakala dengan angka yang lebih murah ($1.957) dah boleh pakai RON98 di bumi yang pernah dilanggar todak suatu ketika dahulu. Apa barang RON97 iya tak? Nak kira macam mana sekarang ni??


Thursday, December 11, 2014

Kemudahan Golongan OKU Kita??


Gambar ini gua snap sewaktu kunjungan gua ke Kota Singa minggu lepas. Sejujurnya ada sedikit rasa kagum apabila melihatkan situasi sebegini. Nampak sangat golongan sebegini (OKU / Golongan Warga Emas yang hilang upaya) di sana tidak menghadapi masalah yang besar untuk bergerak sendiri tanpa mengharapkan bantuan dari anak-anak yang sibuk bekerja membawa dari pagi hinggalah ke malam. Yang sambung syif malam berterusan membawa pagi besoknya pun ada juga. Jadi, bila anak-anak dah sibuk bekerja, maka tinggalah sendiri bersama pasangan. Jadi kalau nak diukur tahap kebosanan apabila tinggal di rumah yang sama luasnya dengan court badminton itu, memang level maksimum lah seharian duduk di rumah sahaja. 

Jadi, untuk menghilangkan rasa bosan, maka mereka tiada masalah langsung untuk keluar turun dari dari tingkat 15 rumah pangsa, dan terus turun ke Pasar Geylang Serai untuk membeli sedikit barangan basah mahupun menjamu selera di tingkat atasnya. Memang tiada masalah. Kesemua laluannya sememangnya mesra OKU orang kata. Perkataan diskriminasi langsung tidak wujud. Bimbang dilanggar Impreza 1.5 di hadapan persimpangan lampu isyarat pun jauh sekali kerana pemandu di sana amat-amat menghormati hak pengguna jalanraya yang lain. Apatah lagi dengan golongan yang sebegini.

Mungkin dah sampai masanya kita patut mencontohi negara jiran dari segi kemudahan untuk golongan sebegini. Setakat nak naik MRT dari Woodlands pekena Nasi Beryani Express di Geylang Serai bukanlah suatu cabaran yang besar. Nak naik bas pun tiada masalah, pemandu bas sendiri akan turun membantu bagi golongan yang berkerusi roda menaiki bas. (Sumpah, gua pernah lihat depan mata gua sendiri!) 

Kalau golongan sebegini wujud di persekitaran Bangsar, gua rasa setakat keluar rumah ambil angin sahajalah yang boleh. Nak harap naik Rapid KL sendiri silap-silap mau tergolek dahulu akibat jatuh daripada bahu jalan yang kadang tinggi kadang rendah ikut. Itu belum lagi ambil kira nak naik bas dengan berkerusi roda. Amacam??

Thursday, November 27, 2014

CAM Plutus Motorhome / D-Max Motorhome


Dalam blog ini gua pernah paparkan kisah tentang sebuah lori kecil Chana Era yang telah pun disumpah untuk menjadi Campervan. Harus barang diingat, ianya bersifat prototaip dan sebarang penghasilan untuk produksi massa adalah amat mustahil apabila melibatkan pihak-pihak yang berkuasa. Sewaktu pertemuan dengan Mr Wing (orang kuat WingMotorhome), beliau memaklumkan bahawa usaha beliau untuk menghidupkan budaya Motorhome / Campervan / RV ini ke Malaysia tidak pernah padam dan jauh sekali mengalah. Disebalik halangan yang ada, Mr Wing terus gigih untuk merealiasasikan impiannya dan impian lain-lain rakyat Malaysia yang turut sama menaruh minat yang sama.

Baru-baru ini gua terlihatkan di FB beliau yang memaklumkan beliau  telahpun selamat kembali ke bumi bertuah Malaysia setelah berkelana beberapa purnama untuk menguruskan & meneruskan impian Motorhome beliau dengan menayangkan dua buah Motorhome yang pada perkiraan gua dah boleh pandu terus menuju ke Cherating tanpa perlu risau memikirkan hendak menginap di mana pada musim cuti sekolah ini. Maka, terus sahaja gua menghubungi beliau untuk membuat temujanji bagi bertentang mata dengan dua spesis kenderaan yang agak asing di bumi bertuah ini.

Alhamdulillah, Mr Wing tidak teragak-agak untuk membenarkan gua bertentang mata dengan 2 buah prototaip yang bakal diproduksikan secara massa tidak berapa lama lagi. Barangkali Isuzu D-Max 4x2 tidak perlu diperkenalkan secara mendalam kepada pengguna kenderaan jenis pikap di Malaysia ini. Cuma, jenama CAM Plutus yang berasal dari Tanah Besar China ini barangkali kelihatan sedikit asing pada pandangan mata kita semua. 


Jadi marilah gua terangkan serba ringkas tentang pikap yang telah digunakan sebagai Motorhome ini. Model CAM Plutus 4x2 ini  telah dibekalkan dengan enjin 2.8L TDi bagi membawa sebuah keluarga kecil untuk menyusuri persisiran pantai menghala ke Kuala Terengganu dengan mudah dan pantas. Enjin 4JB1TI yang berasal dari Isuzu ini mampu menghasilkan kuasa Tork pada 230Nm yang dirasakan memadai untuk mengheret kabin besar di belakangnya sewaktu mendaki Genting Sempah.Ok, nak cerita lebih-lebih bab kenderaan / pikap ini, rasanya gua tak perlu ulang panjang lebar. (Ambil maklum juga bahawa pengeluar jenama China ini juga bersedia untuk menawarkan jaminan terhad kepada pembeli disebalik pengubahsuaian ekstrem yang telah dilakukan terhadap pikap ini)  Kalau lu orang skeptikal tentang produk dari China ini, maka pilihan lain yang ada adalah Isuzu D-Max 4x2. Sebelum ada yang bertanya mengapa 4x2 sahaja yang menjadi pilihan dan bukannya 4x4, marilah gua terangkan. Secara mata kasarnya, lu orang boleh lihat mana-mana kenderaan 4x4 ini secara lahiriahnya lebih tinggi sedikit. Bila dah tinggi, maka urusan keluar masuk ke kabin barangkali menjadi sedikit masalah. Melainkan lu orang sanggup nak pasang escalator. Ok, yang sebenarnya ada peraturan had tinggi keseluruhan kenderaan yang perlu dipatuhi. Karang JPJ tak endorse, macam mana nak jual? Nak jual mungkin boleh, tapi macam tak manis pula dipandang masyarkat sebab hujung-hujung yang kena saman adalah pembeli juga sudahnya.


Ok, cukup gua ulas bab kenderaan. Sekarang ini marilah gua ulas bab Motorhome ini sendiri. Untuk makluman sekalian, Mr Wing yang gua jumpa minggu sudah ini sebetulnya baru juga tiba dari China setelah berkelana selama beberapa bulan ke sana bagi memastikan Motorhome ini memenuhi spesifikasi negara bertuah kita ini. Kerja-kerja pengubahsuaian perlu dilakukan semula memandangkan negara China merupakan pemanduan sebelah kiri. Maka pintu masuk ke kabin yang asalnya disebelah kanan perlu diubah ke arah berlawanan. Bukan setakat pintu, keseluruhan rekabentuk dalaman perlu diubah kedudukannya juga. Itu belum lagi melibatkan hal-hal pendawaian ni. Dia punya rumit jangan cakaplah. Selama bertapa di sana, beliau juga telah menyewa sebuah model Plutus juga bagi membuat kerja-kerja pengukuran & pemasangan pada model sebenar demi mengelakkan berlaku kesilapan di kemudian hari.

Ikhsan: FB Mr Wing

Melihat kepada spesifikasi kabin ini, bolehlah ianya dikatakan sebuah Motorhome yang lengkap kerana selain daripada tempat tidur yang mampu memuatkan 3-5 orang (3 dewasa / 2 dewasa + 3 anak kecil), turut disediakan adalah sebuah dapur (menggunakan kuasa elektrik dan bukannya gas atas faktor keselamatan) dan basin kecil bagi kerja-kerja pembasuhan. Sebuah tandas bersaiz XS turut ditempatkan di sudut hujung kabin. Untuk mandi dan menyalin pakaian barangkali tiada masalah. Sebarang urusan melibatkan per-istinjak-an adalah tidak digalakkan sama sekali mahupun sama duakali. Oleh yang demikian, buat pembeli Motorhome ini, beberapa campsite telah pun dirancang untuk dibina seluruh Semenanjung dengan bayaran masuk pada harga minimal. Sebagai makluman tambahan, campsite dengan fasiliti yang lengkap telahpun berada dalam perancangan pembinaan sebagai nilai tambah buat pembeli Motorhome ini.(Bayaran tambahan mungkin akan dikenakan buat pemilik Motorhome / Campervan lain yang ingin menggunakan fasiliti khusus buat WingMotorhome ini.)

Dan jikalau lu orang memilih untuk berhenti selain daripada campsite yang disediakan, ruangan untuk menyimpan Generator turut tersedia untuk digunakan dikala kecemasan, memasang penghawa dingin misalannya. Maklumlah, suhu Malaysia kalau waktu panasnya, sikit lebih kurang aja suhu dengan padang pasir. 

Ikhsan : FB Mr Wing

Jadi, berbalik kepada Motorhome ini, gua syak ramai juga yang menaruh hati dan memendam rasa untuk memilikinya. Harus barang diingat, harga yang ditawarkan tidaklah murah. Lepaslah rumah Semi-D kalau lu orang tinggal di Melaka. Harga yang ditawarkan untuk unit yang lengkap adalah RM188,000.00 (anggaran). Tapi sepatutnya lagi mahal kalau ianya di bawa masuk secara CBU. Cumanya kabin ini ini telah menerima taraf sebagai pemasangan tempatan ,maka harganya berjaya ditawarkan sehingga ke RM188,000.00 itu. Iya, gua tahu harganya masih mahal. Sebab itu gua hanya boleh menaruh hati dan memendam rasa sahaja. Melainkan bapak lu orang jenis yang kaya raya, memilikinya bukanlah menjadi suatu kesalahan.

Tapi bagi pemain industri pelancangon, ketahuilah ianya adalah lubuk baharu yang boleh ditawarkan buat mana-mana pelancong domestik mahupun luar negara. Percayalah, negara kita ini kaya dengan khazanah alam yang sememangnya amat sesuai menjadikan Motorhome ini sebagai industri yang baharu untuk diterokai. Lepak tepi pantai Cherating pada waktu malam sambil pekena ayam panggang di luar Motorhome sambil ditemani isteri dan anak-anak menghabiskan masa kualiti bersama serta melupakan sejenak hal masalah di pejabat. Nikmat!

Amacam, ada yang berminat ke tidak ni sebenarnya nak beli??