Thursday, February 11, 2016

The Executor Department


Lama sungguh gua tak menulis. Bukannya apa, gua menulis bilamana gua rasa hanya perlu. Sedangkan nak memuat naik status di media sosial pun kadang gua rasa macam malas, inikan pula nak menulis berjela serupa karangan. Tapi kali ini memang gua ingin menulis, tanda penghargaan yang bukan calang-calang, buat rakan setugas yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai The Executor.

Sedikit pengenalan, gua telahpun ditukarkan ke The Executor Department ataupun lebih juga dikenali sebagai Ops3 yang pada ketika itu merupakan sebuah jabatan di anak syarikat, syarikat peramanahan unggul  negara sekitar pertengahan tahun 2011. Bermula detik itu, tergalas di bahu gua satu amanah yang bukan kepalang untuk menyelesaikan urusan pusaka sesegera mungkin tanpa niat satu sen pun untuk merembat duit pusaka. Alhamdulillah, penyertaan gua di jabatan yang mempunyai urusan di Mahkamah & Pejabat Tanah itu diterima baik oleh rakan-rakan sejabatan. Tunjur ajar diberikan amat baik terutamanya Peguam Negara, Mr Najib (bukan nama penuh)

Berganti masa, The Executor Department itu telah diserap masuk ke Kumpulan Syarikat Peramanahan Terunggul dan diletakkan di bawah Cawangan Terutama dan kemudiannya dijelmakan sekali lagi sebagai The Executor Department bermula 2013. Dan kemudiannya, kemasukkan En Yazid (juga bukan nama penuh) sebagai Ketua untuk memantau perjalanan The Executor Deparment. Pengurangan & pertambahan ahli adalah lumrah dalam dunia percintaan dan pekerjaan. Eceh. Itu jugalah yang terjadi di jabatan ini. Namun, kekuatan The Executor tetap tidak berkurang untuk menyelesaikan kes-kes pusaka berwasiat yang bukan calang dia punya payah. Setakat kena hamun, kena komplen dengan sampai ke Kementerian, pemfailan permohonan petisyen ke Mahkamah, acah-acah Peguam hadiri bicara di Mahkamah, panjat Pejabat Tanah merata ceruk, jumpa Pegawai di LHDN mahupun sesi pembacaan Wasiat di hadapan waris-waris yang janggut dia sama panjang dengan seorang Kiyai telah berjaya diharungi dengan jayanya. Namun, pengalaman gua menjejaki waris yang merupakan anak angkat terbuang sesudah kematian ibu angkatnya menjadikan ianya sesuatu yang agak manis (baca: sweet) untuk dikenang. Keperitan menjalani kehidupan di usia yang masih mentah menjadikan beliau seorang anak muda yang kelihatan cekal. Sungguh, kalau gua tak menjejaki beliau, maka sudah tentu bahagiannya akan tersimpan begitu sahaja dan anak muda tersebut akan terus merempat di halaman sendiri.

Menariknya di jabatan Executor ini, hubungan antara sesama manusia boleh dikategorikan sebagai akrab.Agak klise juga kalau gua sebut kami seperti sebuah keluarga. Tapi tiada siapa menafikan hakikat tersebut, bilamana menghabiskan masa seharian 8-9 jam di pejabat, bertahun lamanya menjadikan silaturahim cukup erat. Ada yang pernah ke Umrah bersama, bercuti bersama dan apa-apalah yang memerlukan ianya bersama. Setakat pot-luck, boleh dikatakan hampir saban Jumaat The Executor akan berkongsi rezeki sesama sendiri.Manis bukan?

Setelah bertahun-tahun lamanya bersatu sebagai Executor, barangkali sudah sampai masanya jabatan ini ditutup dan dijelmakan sebagai sebagai apa pun tidaklah gua pasti. Namun, tugasan ini akan tetap berlangsung seperti biasa oleh rakan-rakan yang lain. Cuma tiada lagi nama kedengaran ianya sebagai sebuah suatu jabatan yang khusus untuk menyelesaikan tugas-tugas sebagai seorang Executor. Tiada lagi nama Executor. Tamat.

Sebagai penamat cerita, izinkan nama The Executor terpampang di sini tanda jasa mereka.Jasa dan bakti kalian akan terus dikenang oleh waris-waris. Eceh

Mr Yazid- Ketua jabatan yang boleh tahan baik hati juga.Seorang yang amat mahir dalam aspek pengurusan. Bijak mengambil hati kakitangan dengan pembelian Karipap Panas pada petang hari.

Mr Najib- Peguam Negara bagi The Executor Deparment. Banyak memberikan khidmat nasihat perundanngan sama ada dari segi sudut hal di Mahkamah mahupun di Pejabat Tanah. Tanpa beliau, alamatnya tunggang langganglah kami semua.

Kak Sha- Bertugas untuk menjaga hal-ehwal admin jabatan. Seorang yang baik hati dan lembut jiwa. Acapkali juga beliau mendahulukan wang sendiri demi kepentingan jabatan. Wahwahwah!

Rosniza- Boleh dikatakan antara anggota asal The Executor ini. Pun seorang yang baik hati juga orangnya.Tidak pernah berpindah tempat semenjak pertama kali menjejakkan kaki di jabatan ini.

Zarina- Anggota asal sewaktu gua sejabatan di Penulisan Wasiat. Sepanjang gua sejabatan dengan beliau, acap kali juga membuat kek gula hangus bawa datang ke pejabat. Jenis rajin memasak manisan di rumah agaknya. Beliau juga amat handal untuk menguruskan waris-waris yang kerek minta duit cepat ingat The Executor ini serupa ATM.

Kak Nana- Pangkat kakak dengan gua. Gua mula akrab dengan beliau semenjak tahun 2008 lagi. Seorang yang rajin memasak. Masakan kampung, masakan barat, mahupun manisan semuanya handal di tangan Kak Nana..Walaupun zahirnya beliau kelihatan sedikit garang namum hakikatnya seorang yang manja macam Ella. Gua syak hati bos-bos boleh cair tak jadi marah bila berdepan dengan beliau. Mungkin sebab itu jugalah beliau patut berurusan dengan bakal pelanggan yang kaya-raya, iya tak?

KakJu- Seorang yang amat rajin bekerja. Kusyuk depan Komputer mengadap Borang C Mahkamah. Letih biji mata namun beliau seorang yang amat tekun.

KakFer- Merupakan veteran di syarikat peramanahan yang unggul ini. Walaupun kelihatan lemah lembut, namum berikan siapa sahaja waris yang mendatang, beliau akan tetap berdepan tanpa rasa gundah. Seorang yang rajin juga memasak. Pernah memasak kambing bakar dan bawa datang ke pejabat dengan bekas besar  menaiki LRT. Gigih.

Mariam- Juga merupakan antara Veteran di syarikat peramanahan yang berjawatan sebagai Veteran Executor. Gila, hampir 10 tahun beliau menyandang jawatan tersebut tanpa ada rasa muak. Pakar mengendalikan kes berprofil tinggi dengan tenang.

Ana- Anggota The Executor yang diambil bagi menggantikan Brader Sasa.Walaupun Ana ini tidaklah Sasa, namum beliau seorang yang jenis fokus juga terhadap kerja. Banyak juga fail-fail pusaka berjaya beliau tutup walaupun baru menyertai jabatan ini.

Aliff- Anggota terbaharu menyertai The Executor sekitar pertengahan tahun 2015. Ditugaskan untuk membantu The Executor bagi menghantar dokumen urusan di Mahkamah mahupun di Pejabat Tanah. Badan bagak juga dak Aliff ni. Gua syak kalau beliau berhenti kerja masuk WWE lawan sama Brader Sasa pun elok juga.

Meklin- Rakan karib kepada Ana. Bila dah karib, maka sudah tentulah beliau juga seorang yang rajin. Pun sama, banyak juga penutupan fail berjaya dilakukan. Seorang yang handal membuat Nasi Kerabu.

Haslinawati- Anggota gantian bagi menggantikan Nazim yang memilih haluan berbeza dengan menjadi Takafulman. Di awalnya Haslinawati ini seorang yang pendiam dan lurus. Bangsa ustazah-ustazah barangkali. Namun berkat duduk di sebelah gua, kini beliau tidak lagi sebegitu. Namun masih lagi seorang yang ustazah-ustazah.

Kak Ita- Kak Ita adalah tulang belakang kepada The Executor sejak dari dahulu lagi. Banyak juga fail untuk penutupan terpaksa berpatah balik semula kepada PIC gara-gara ada sahaja dokumen / perkara yang kurang lengkap. Jenis yang teliti dan gigih membaca fail. Tanpa Kak Ita, siapalah The Executor. Eceh.

Kepada semua anggota The Executor, mohon maaf andai ada tersilap kata, tersinggung hati, terguris jiwa.  Mohon dihalalkan segala makan minum dan juga ilmu. Anda semua adalah rakan sekerja yang terhebat.



1 comment:

  1. Kahkahkah..kenangan bersama tidak akan dilupakan.rakan sejiwa rock gua yg sangat
    mengambil berat

    ReplyDelete