Monday, October 17, 2011

Kisah Suebadron Aziz

Suebadron Aziz merupakan seorang anak muda yang amat meminati sukan bolasepak selain daripada sukan berkuda. Pada ketika usianya jerawat di muka sudah mula berebut nak tumbuh, Suebadron cukup handal bermain bola. Ke'terer'an beliau bermain bolasepak melayakkannya untuk mewakili kelab bolasepak terkemuka tanahair, NS Chempaka walaupun beliau tidak sempat lagi menduduki peperiksaan SPM. NS Chempaka ini bukannya pasukan anak-anak. Setakat pasukan Selangor sama Terengganu, memang kena titiklah jawab dengan kehadiran Suebadron di posisi serangan. Jangankan Piala Malaysia, Piala Moonsun tu pun pernah didakap Suebadron. Kira memang champion habislah. Suebadron menghabiskan masanya bersama pasukan ini agak lama juga, lebih sepuluh tahun adanya menabur budi dan bakti.

Kejayaan serta kehebatan yang dijulang oleh Suebadron membolehkan beliau turut mengintai peluang untuk beraksi di liga luar negara. Namum malangnya, beliau hanya sempat beraksi di Liga Turki kurang sebulan nak cukup setahun gara-gara terlalu rindukan nasi lemak sama teh tarik kegemarannya.

Sebagai seorang penyerang yang agak tersohor, sudah tentulah beliau merasa bahawasanya tempatnya dalam liga tempatan masih lagi mudah buatnya. Memandangkan pasukan lamanya, NS Chempaka tidak lagi beraksi dalam liga tempatan oleh kerana telah dibubarkan, Suebadron kini  tampil beraksi bersama sebuah lagi kelab yang sedang meningkat, MPSJ FC.

MPSJ FC ini merupakan milik seorang jutawan Rusia yang telah lama bermastautin di kariah USJ. Jutawan ini Rusia ini telah melantik seorang jurulatih berbangsa Portugis yang sebenarnya berasal dari Melaka, Jose Moriunho namanya mengikut MyKad. Sebagai seorang jurutlatih, sudah tentulah kuasanya tiada siapa yang mampu mencabar hatta pemilik kelab sekalipun. Ini kerana, pemilik kelab bangsa Rusia tersebut merasakan bahawa jurulatih ini adalah orang yang tepat untuk membawa kejayaan. [membeli kejayaan lebih tepatnya]. Segala urusan di atas padang diserahkan kepada jurulatih bulat-bulat.

Merasakan bahawa kejaguhan Suebadron Aziz tidak lagi berada pada zaman kemuncaknya, maka si jurulatih telah meletakkan Suebadron Aziz di bangku simpanan sahaja. Perkara ini jelas mengecewakan Suebadron kerana merasakan dirinya masih lagi mampu menjaringkan gol sebagaimana zaman kemuncaknya beberapa tahun dahulu. Pernah dia cuba berbincang jurulatih namum jawapannya tetap hampa. Jurulatih tetap merasakan bahawa pasangan Azman Adnan bersama Zoran Nikolic berserta Yap Wai Loon masih lagi merupakan gandingan terbaik untuk MPSJ FC.

Entah iblis mana yang telah menghasut sang jurulatih, maka diletakkannya Suebadron Aziz di posisi sweeper. Suebadron Aziz memang betul-betul keliru. Cuba dibantah tetapi dia harus menghormati sang jurulatih. Mujur juga Suebadron Aziz jenis pemain bola yang beriman, jikalau tidak sudah tentu membusung perut jurulatihnya kelak akibat penangan bomoh sakai kerana begitu sakit hati.

Apa yang membimbangkan, Suebadron Aziz tidak dilatih sepenuhnya untuk menjadi pemain pertahanan. Jurulatih hanya memberikan arahan supaya menyepak bola keluar jauh daripada petak penalti dan kalau perlu membuat bentesan kepada penyerang lawan. Itu sahaja pesanan sang jurulatih kepadanya. Tidak lebih dan tidak pula kurang.

Mujur juga Suebadron Aziz agak bijak untuk cuba menonton YouTube, bagi menyaksikan skil pemain pertahanan yang dianggap unggul di Malaysia, Razip Ismail serta Ismail Ibrahim untuk dijadikan pedoman. Untuk ditiru skil pemain luar, sebenarnya pemain luar ni ada juga bangangnya. Jadi ada eloknya ditiru sahaja aksi pemain tempatan yang terbukti merupakan antara yang terbaik.

Memandangkan Suebadron masih lagi belum setaraf pemain pertahanan yang handal, maka sering sahaja berlaku kekalutan di depan kota penalti sendiri tiap kali diasak sewaktu perlawanan liga berlangsung. Pernah tiga kali Suebadron membuat bentesan keras kepada pemain lawan betul-betul di depan pinta gol sendiri. Sudahnya penalti yang diberikan dan Suebadron digantung perlawanan akibat menerima kad merah. Tetapi yang bijaknya si jurulatih, beliau tetap mahukan Suebadron Aziz bermain sebagai sweeper kerana merasakan Suebadron mempunyai ciri-ciri sebagai pemain pertahanan yang baik. Jadi, bermainlah sebagai sweeper si Suebadron Aziz walaupun dalam hati teringin sekali menjaringkan seperti penyerang-penyerang yang lain. Bagi melepaskan geram, ada juga sesekali Suebadron menjaringkan gol sendiri sambil berlari keliling padang [bukan kerana nak meraikan jaringan tetapi sebenarnya melarikan diri daripada rakan sepasukan sendiri yang mengamuk]. Sekian.

Notakaki: Cerita khayalan gua sendiri sebagai tribute kepada pemain lagenda bolasepak Kuala Lumpur yang pernah gua minat sewaktu gua kecil dahulu. Tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang masih gigih untuk hidup.

-C27-

1 comment:

  1. Kini aku dgr Subadron Aziz cuba pula dipancing oleh kelab Manchester united tapi impiannya itu dirampas oleh Ramli Junid.hampalah harapan Subadron Aziz utk berkelana di MU...

    ReplyDelete