Drama bersiri Teduhan Kasih dah pun berakhir. Gua tengok sejak
akhir-akhir ini, ramai juga yang mengemaskini status FB masing-masing perihal
Ehsan la..Ayu la..KakLong la..tapi takde sorang pun nak petik nama Makcik Hanim
tu. Tahukah lu orang, tanpa Makcik Hanim, sudah tentu Ehsan kelam kabut semalam
kerana merasa khuatir tentang keadaan Iffa yang bila-bila masa bakal melahirkan
anak. Dengar kata, baby perempuan. Entah berapa cm pula dah buka semalam si Iffa tu ye.
Ah, jadah apa pula
gua nak ulas panjang lebar pasal cerita yang sikit masa lagi entah siapa yang
ingat lagi tah perihal Ehsan dan juga Pakcik Fuad [bapa tiri Ehsan]. Sekarang
ni gua nak imbas kembali drama bersiri yang pernah menggegar arena pendramaan
satu ketika dahulu, terutamanya menjelang Ramadhan ini.
Cerita yang
gua maksud adalah Rumah Kedai. Rumah Kedai ni memang layan betul tengok
petang-petang sambil menunggu habis cerita nak pergi beli Onde-onde sama
Murtabak. Itu jam, watak Remy sama Tapa memang ngam betullah sebagai pelengkap
kepada pemegang watak tunjang, Pak Halim dan juga Mak Lijah. Memang kuat betul
watak yang dipegang sehinggakan dah berpuluh tahun pun kita masih terbayang
Harun Salim Bachik begitu ngam dengan watak Remy. Dia punya kuat serupa besi
berani. Watak Pak Halim yang dipegang oleh Arwah Yusof Mohamad itu sebenarnya
kerap kali juga gua tertembang dengan beliau mengayuh basikal di sekitar Batu
Caves sewaktu gua dah besar sikit dahulu. Nak jerit panggil Pak Halim serupa
kurang ajar pula terjerit-jerit dari dalam kereta. Watak “Rumah Kedai”
sebenarnya itu pula di kala itu dirakamkan di sebuah rumah kedai yang terletak
di Taman Koperasi Polis Fasa 1. Gua yang tinggal di Fasa 2 di kala itu pun
menumpang seronok bercerita dengan rakan sekelas bahawasanya lokasi
penggambaran dilakukan di kawasan adik-beradik dengan taman gua.
Siri Rumah Kedai inilah yang sebenarnya dekat dengan masyarkat
kita. Tentang perihal apa yang berlaku di kalangan jiran tetangga. Bukannya
watak anak muda yang kelihatan baru habis Ijazah, tapi dah dapat duduk dalam
bilik sendiri gaya bos-bos. Pakai pula kereta buatan Eropah, tak kalah. Gua
tengok realitinya budak-budak habis belajar zaman sekarang habis kuat pun Myvi
SE 1.5 aja. Itu pun kadang sangkut sebulan tak bayar. Tak baik betul pembikin
drama zaman sekarang ni memberikan harapan palsu kepada anak-anak yang masih di
bangku sekolah lagi konon seronok kerja di sektor swasta.
Maka, sebab itulah Rumah Kedai ini mendapat sambutan yang cukup
menggalakkan di kalangan penonton di kala itu, baik yang muda mahupun tak
berapa nak muda. Sebabnya, itulah realiti kebanyakkan orang seperti kita. Setakat
mak suruh beli kelapa separuh nak buat santan di kedai runcit apa ada hal. Siap boleh bersembang kat tepi kaunter lagi dengan jiran belakang rumah konon lama tak jumpa. Zaman sekarang ni gua dengar semuanya jenis beli santan kotak di pasarraya besar Giant. Tak feel langsung. Sempena
Ramadhan kali ini, gua dengar akan ada cerita Rumah Kedai versi 2013. Jangan jahanam
sudahlah. Gua mohon dibuat tayangan semula cerita Rumah Kedai versi asal.
Amacam, ada yang bersetuju dengan gua tak??
No comments:
Post a Comment