AMARAN :
Artikel ini berkemungkinan mengandungi unsur-unsur tahyul yang tidak
keterlaluan. Bimbingan orang dewasa mungkin diperlukan.
Salam
Sejahtera dan Salam 1Honda. Walaupun ramai yang telah mengenali siapa diriku,
izinku mengenalkan diri juga. Nama ku Honda Civic Type-R dan berasal tanah
Jepun. Walaupun berasal dari Jepun, aku tidaklah pula fasih berbahasa Jepun.
Sekadar menyebut “Hait” dan “Arigato” budak tadika pun reti mengungkapnya. Aku
lebih senang bertutur dalam Bahasa Melayu dan menikmati Nasi Lemak lauk Sambal
Sotong berbanding dengan Sushi. Kini aku telah pun dikurniakan Penduduk Tetap
setelah beberapa tahun menetap di bumi bertuah, Malaysia bersama tuan ku yang
baharu. Sebelum bercerita mengenai tuan ku, izinkan sekali lagi untuk aku
bercerita serba sedikit mengenai salah-silah diriku.
Sebelum
kelahiran aku sebagai Honda Civic Type-R ini, aku sebenarnya turut diberikan
pilihan sama ada untuk menjadi Honda Jet ataupun sebuah jentera yang
berprestasi tinggi. Bila mendengar pada mulanya, agak teruja juga rasa di hati
untuk jadi Jet ni. Tapi memandangkan aku ini jenis yang alah kepada ketinggian,
maka hasrat untuk terbang membelah awan biru terpaksa jua aku kuburkan. Dapat
membelah tar di jalanan rasanya boleh tahan teruja juga sebenarnya. Akhirnya,
menjelmalah aku sebagai sebuah jentera N/A yang dianggap cukup handal untuk
menyakat lain-lain jentera yang berpaksikan turbo dan tak lupa juga surbo.
Di awal
kelahiran pada 2007, aku terlebih dahulu dimiliki oleh seorang gadis Jepun,
Suki agaknya namanya. Bilamana dimiliki oleh kaum hawa, maka sudah tentulah
imej yang ditampilkan dengan sedikit citarasa feminin. Penuh jugalah dengan
pelekat Hello Kitty bagai. Sejarah hidup aku di Malaysia bermula apabila aku
telah dipesan oleh En. Ridzwan secara terus dari Jepun pada tahun 2012.
Walaupun merupakan kondisi recond, tapi keadaan diriku masih lagi kacak
bergaya sama seperti Tetsuya Harada. Ternyata pemilihan En. Ridzwan, juga
seorang pemuda yang kacak kelihatan begitu cocok dan ganteng sekali, bak kata
orang seberang. Sememangnya spesis diriku ini tidaklah sukar untuk menemui
tuan-tuan baharu kerana sememangnya di kalangan kami terlalu ramai anak muda
yang idamkannya, sama ada untuk dibuat ulang-alik pergi ke pejabat ataupun
sekadar sesekali melayan selekoh di Litar Sepang.
Sebelum
memiliki diriku, En Ridzwan terlebih dahulu pernah memiliki seorang lagi adik
beradik ku, si City untuk pemanduan harian. Namun, apalah diharap sangat pada
Vtec 1.5 itu. Mempunyai kuasa sekitar kelajuan basikal lumba tidaklah memadai
buat beliau. Ternyata En. Rizwan terlalu menggilai K20A yang mampu
menghamburkan kuasa sekitar 225PS walaupun secara standard kilang. Secara
asasnya, jantung di dalam dada ku ini masih lagi dibiarkan dalam keadaan kilang
sahaja. Cuma penalaan semula oleh Hondata Flashpro bagi mendapatkan kuasa yang
lebih sempurna. Sistem ekzos pula telah dibina secara custom dengan menggunakan
formasi manifold berukuran sama panjang 4-2-1 > diameter 45mm → 50mm → 55mm,
seterusnya bersambung dengan paiping berukuran 70mm serta diakhiri dengan muffler custom yang cukup untuk
mengejutkan jiran bangun pagi bangun bersolat subuh berjemaah di Surau. Kata
En. Ridzwan gabungan ini dirasakan agak menarik juga untuk mengekstrak kuasa
dengan lebih optimum.
Padanan bersama kotak gear manual 6 kelajuan ini yang mempunyai ratio yang
cukup rapat berserta dengan OS Giken Super Single Clutch dirasakan sudah memadai untuk
mana-mana pemandu berlumba dengan Lampu Kuning di persimpanan lampu isyarat.
Insya Allah boleh menang. Tapi awas ya, Lampu Kuning itu bereti bersedia untuk
berhenti, dan bukannya bersedia untuk menukar gear lebih rendah dan memecut
laju di saat akhir.
Perubahan
yang paling ketara di luaran adalah, satu persalinan lengkap JS Racing telah
dikenakan ke atas diriku bagi merubah sedikit penampilan secara dasarnya. Kit
badan meliputi Lip di bahagian depan, Air Duct, Carbon Fiber Bonnet dan juga
Diffuser di bahagian belakang. Perubahan yang paling ketara dah tentulah di
bahagian belakang apabila satu set GT Wing juga dari JS Racing telah dipasang
kemas bagi memastikan tekanan angin ke bawah dengan lebih baik sewaktu memecut
laju. Sepasang bonet pin juga telah dipasang bagi mengelakkan bonnet yang mahal
itu melayang sewaktu memecut laju.
Menambahkan
lagi tahap ke-hensem-an diriku ini apabila rim CE28N 17x8JJ Offset 45 berwarna merah telah dipasang bagi
memberikan tonasi warna yang sama di bahagian dalam yang bertemakan Type-R.
Disarungkan pula Tayar Michelin Pilot Sport 3 size 235/45R17 untuk padanan
yang lebih sesuai orang kata bagi pemanduan harian. Manakala tayar Hankook
RS3 size 235/45R17 hanya akan disarung
apabila tiba trackday Honda. Baru tahap keyakinan bertambah tinggi apabila
berlumba nanti, iya tak?
Brek asal Brembo masih lagi dikekalkan tanpa berasa bimbang En. Rizdwan akan
tercium divider jalan akibat daripada kegagalan memberhentikan aku dengan cukup
pantas.
Sistem
gantungan aku pula telah ditala secara custom
dengan kerendahan kereta di bahagian hadapan secara boleh laras
rendah/ketinggian 15mm. Manakala di bahagian belakang pula telah direndahkan
lagi 20mm berbanding ketinggian asal yang cukup untuk membuatkan penumpang di
bahagian belakang melantun-lantun sakit tulang belakang dia punya keras. Nak
buat macam mana, En. Ridzwan ini lebih menggemari talaan sebegitu. Aku sebagai
kereta, ikutkan sahaja kemahunanya. Nak dilawan, bimbang derhaka pula nanti.
Dibahagian
dalaman pula hampir tiada perbezaan yang ketara. Serba-serbi masih lagi dalam
keadaan asal dari Jepun. Cuma tali pinggang
keledar empat poin Takata.
sahaja yang telah dipasang di bahagian pemandu, bagi mengikat En. Ridzwan
dengan kemas dan rapi sewaktu meratah dengan rakus setiap inci selekoh yang
terdapat di Litar Sepang dan juga jalan lama Rembau-Tampin. Manakala lain-lain masih seperti rupabentuk
FD2R yang asal. Barangkali En. Ridzwan lebih menghargai originaliti, maka sebab
itulah kebanyakkan perkakasan asal masih dikekal dan digunakan pakai sehingga
ke hari ini.
Nah, sekarang
boleh dikatakan diriku dah hampir sempurna untuk beraksi di litar lumba mahupun
di Hartamas sambil melihat makwe lalu lalang tayang betis. Tapi aku yakin, Tuan
ku ini bukan begitu orangnya. Beliau lebih menggemari Surau dan Masjid
berbanding tempat berunsur lagha sebegitu. Eceh.