Sunday, January 11, 2015

Kisah Hidup Ku: Si FD2R

Artikel yang sama juga telah diterbitkan dalam Majalah Kereta Januari 2015.



AMARAN : Artikel ini berkemungkinan mengandungi unsur-unsur tahyul yang tidak keterlaluan. Bimbingan orang dewasa mungkin diperlukan.

Salam Sejahtera dan Salam 1Honda. Walaupun ramai yang telah mengenali siapa diriku, izinku mengenalkan diri juga. Nama ku Honda Civic Type-R dan berasal tanah Jepun. Walaupun berasal dari Jepun, aku tidaklah pula fasih berbahasa Jepun. Sekadar menyebut “Hait” dan “Arigato” budak tadika pun reti mengungkapnya. Aku lebih senang bertutur dalam Bahasa Melayu dan menikmati Nasi Lemak lauk Sambal Sotong berbanding dengan Sushi. Kini aku telah pun dikurniakan Penduduk Tetap setelah beberapa tahun menetap di bumi bertuah, Malaysia bersama tuan ku yang baharu. Sebelum bercerita mengenai tuan ku, izinkan sekali lagi untuk aku bercerita serba sedikit mengenai salah-silah diriku.

Sebelum kelahiran aku sebagai Honda Civic Type-R ini, aku sebenarnya turut diberikan pilihan sama ada untuk menjadi Honda Jet ataupun sebuah jentera yang berprestasi tinggi. Bila mendengar pada mulanya, agak teruja juga rasa di hati untuk jadi Jet ni. Tapi memandangkan aku ini jenis yang alah kepada ketinggian, maka hasrat untuk terbang membelah awan biru terpaksa jua aku kuburkan. Dapat membelah tar di jalanan rasanya boleh tahan teruja juga sebenarnya. Akhirnya, menjelmalah aku sebagai sebuah jentera N/A yang dianggap cukup handal untuk menyakat lain-lain jentera yang berpaksikan turbo dan tak lupa juga surbo.

Di awal kelahiran pada 2007, aku terlebih dahulu dimiliki oleh seorang gadis Jepun, Suki agaknya namanya. Bilamana dimiliki oleh kaum hawa, maka sudah tentulah imej yang ditampilkan dengan sedikit citarasa feminin. Penuh jugalah dengan pelekat Hello Kitty bagai. Sejarah hidup aku di Malaysia bermula apabila aku telah dipesan oleh En. Ridzwan secara terus dari Jepun pada tahun 2012. Walaupun merupakan kondisi recond, tapi keadaan diriku masih lagi kacak bergaya sama seperti Tetsuya Harada. Ternyata pemilihan En. Ridzwan, juga seorang pemuda yang kacak kelihatan begitu cocok dan ganteng sekali, bak kata orang seberang. Sememangnya spesis diriku ini tidaklah sukar untuk menemui tuan-tuan baharu kerana sememangnya di kalangan kami terlalu ramai anak muda yang idamkannya, sama ada untuk dibuat ulang-alik pergi ke pejabat ataupun sekadar sesekali melayan selekoh di Litar Sepang.

Sebelum memiliki diriku, En Ridzwan terlebih dahulu pernah memiliki seorang lagi adik beradik ku, si City untuk pemanduan harian. Namun, apalah diharap sangat pada Vtec 1.5 itu. Mempunyai kuasa sekitar kelajuan basikal lumba tidaklah memadai buat beliau. Ternyata En. Rizwan terlalu menggilai K20A yang mampu menghamburkan kuasa sekitar 225PS walaupun secara standard kilang. Secara asasnya, jantung di dalam dada ku ini masih lagi dibiarkan dalam keadaan kilang sahaja. Cuma penalaan semula oleh Hondata Flashpro bagi mendapatkan kuasa yang lebih sempurna. Sistem ekzos pula telah dibina secara custom dengan menggunakan formasi manifold berukuran sama panjang 4-2-1 > diameter 45mm → 50mm → 55mm, seterusnya bersambung dengan paiping berukuran 70mm serta diakhiri dengan muffler custom yang cukup untuk mengejutkan jiran bangun pagi bangun bersolat subuh berjemaah di Surau. Kata En. Ridzwan gabungan ini dirasakan agak menarik juga untuk mengekstrak kuasa dengan lebih optimum. Padanan bersama kotak gear manual 6 kelajuan ini yang mempunyai ratio yang cukup rapat berserta dengan OS Giken Super Single Clutch dirasakan sudah memadai untuk mana-mana pemandu berlumba dengan Lampu Kuning di persimpanan lampu isyarat. Insya Allah boleh menang. Tapi awas ya, Lampu Kuning itu bereti bersedia untuk berhenti, dan bukannya bersedia untuk menukar gear lebih rendah dan memecut laju di saat akhir.

Perubahan yang paling ketara di luaran adalah, satu persalinan lengkap JS Racing telah dikenakan ke atas diriku bagi merubah sedikit penampilan secara dasarnya. Kit badan meliputi Lip di bahagian depan, Air Duct, Carbon Fiber Bonnet dan juga Diffuser di bahagian belakang. Perubahan yang paling ketara dah tentulah di bahagian belakang apabila satu set GT Wing juga dari JS Racing telah dipasang kemas bagi memastikan tekanan angin ke bawah dengan lebih baik sewaktu memecut laju. Sepasang bonet pin juga telah dipasang bagi mengelakkan bonnet yang mahal itu melayang sewaktu memecut laju.

Menambahkan lagi tahap ke-hensem-an diriku ini apabila rim CE28N 17x8JJ Offset 45 berwarna merah telah dipasang bagi memberikan tonasi warna yang sama di bahagian dalam yang bertemakan Type-R. Disarungkan pula Tayar Michelin Pilot Sport 3 size 235/45R17 untuk padanan yang lebih sesuai orang kata bagi pemanduan harian. Manakala tayar Hankook RS3  size 235/45R17 hanya akan disarung apabila tiba trackday Honda. Baru tahap keyakinan bertambah tinggi apabila berlumba nanti, iya tak? Brek asal Brembo masih lagi dikekalkan tanpa berasa bimbang En. Rizdwan akan tercium divider jalan akibat daripada kegagalan memberhentikan aku dengan cukup pantas.

Sistem gantungan aku pula telah ditala secara custom dengan kerendahan kereta di bahagian hadapan secara boleh laras rendah/ketinggian 15mm. Manakala di bahagian belakang pula telah direndahkan lagi 20mm berbanding ketinggian asal yang cukup untuk membuatkan penumpang di bahagian belakang melantun-lantun sakit tulang belakang dia punya keras. Nak buat macam mana, En. Ridzwan ini lebih menggemari talaan sebegitu. Aku sebagai kereta, ikutkan sahaja kemahunanya. Nak dilawan, bimbang derhaka pula nanti.

Dibahagian dalaman pula hampir tiada perbezaan yang ketara. Serba-serbi masih lagi dalam keadaan asal dari Jepun. Cuma tali pinggang keledar empat poin Takata. sahaja yang telah dipasang di bahagian pemandu, bagi mengikat En. Ridzwan dengan kemas dan rapi sewaktu meratah dengan rakus setiap inci selekoh yang terdapat di Litar Sepang dan juga jalan lama Rembau-Tampin.  Manakala lain-lain masih seperti rupabentuk FD2R yang asal. Barangkali En. Ridzwan lebih menghargai originaliti, maka sebab itulah kebanyakkan perkakasan asal masih dikekal dan digunakan pakai sehingga ke hari ini.

Nah, sekarang boleh dikatakan diriku dah hampir sempurna untuk beraksi di litar lumba mahupun di Hartamas sambil melihat makwe lalu lalang tayang betis. Tapi aku yakin, Tuan ku ini bukan begitu orangnya. Beliau lebih menggemari Surau dan Masjid berbanding tempat berunsur lagha sebegitu. Eceh.