Thursday, November 27, 2014

CAM Plutus Motorhome / D-Max Motorhome


Dalam blog ini gua pernah paparkan kisah tentang sebuah lori kecil Chana Era yang telah pun disumpah untuk menjadi Campervan. Harus barang diingat, ianya bersifat prototaip dan sebarang penghasilan untuk produksi massa adalah amat mustahil apabila melibatkan pihak-pihak yang berkuasa. Sewaktu pertemuan dengan Mr Wing (orang kuat WingMotorhome), beliau memaklumkan bahawa usaha beliau untuk menghidupkan budaya Motorhome / Campervan / RV ini ke Malaysia tidak pernah padam dan jauh sekali mengalah. Disebalik halangan yang ada, Mr Wing terus gigih untuk merealiasasikan impiannya dan impian lain-lain rakyat Malaysia yang turut sama menaruh minat yang sama.

Baru-baru ini gua terlihatkan di FB beliau yang memaklumkan beliau  telahpun selamat kembali ke bumi bertuah Malaysia setelah berkelana beberapa purnama untuk menguruskan & meneruskan impian Motorhome beliau dengan menayangkan dua buah Motorhome yang pada perkiraan gua dah boleh pandu terus menuju ke Cherating tanpa perlu risau memikirkan hendak menginap di mana pada musim cuti sekolah ini. Maka, terus sahaja gua menghubungi beliau untuk membuat temujanji bagi bertentang mata dengan dua spesis kenderaan yang agak asing di bumi bertuah ini.

Alhamdulillah, Mr Wing tidak teragak-agak untuk membenarkan gua bertentang mata dengan 2 buah prototaip yang bakal diproduksikan secara massa tidak berapa lama lagi. Barangkali Isuzu D-Max 4x2 tidak perlu diperkenalkan secara mendalam kepada pengguna kenderaan jenis pikap di Malaysia ini. Cuma, jenama CAM Plutus yang berasal dari Tanah Besar China ini barangkali kelihatan sedikit asing pada pandangan mata kita semua. 


Jadi marilah gua terangkan serba ringkas tentang pikap yang telah digunakan sebagai Motorhome ini. Model CAM Plutus 4x2 ini  telah dibekalkan dengan enjin 2.8L TDi bagi membawa sebuah keluarga kecil untuk menyusuri persisiran pantai menghala ke Kuala Terengganu dengan mudah dan pantas. Enjin 4JB1TI yang berasal dari Isuzu ini mampu menghasilkan kuasa Tork pada 230Nm yang dirasakan memadai untuk mengheret kabin besar di belakangnya sewaktu mendaki Genting Sempah.Ok, nak cerita lebih-lebih bab kenderaan / pikap ini, rasanya gua tak perlu ulang panjang lebar. (Ambil maklum juga bahawa pengeluar jenama China ini juga bersedia untuk menawarkan jaminan terhad kepada pembeli disebalik pengubahsuaian ekstrem yang telah dilakukan terhadap pikap ini)  Kalau lu orang skeptikal tentang produk dari China ini, maka pilihan lain yang ada adalah Isuzu D-Max 4x2. Sebelum ada yang bertanya mengapa 4x2 sahaja yang menjadi pilihan dan bukannya 4x4, marilah gua terangkan. Secara mata kasarnya, lu orang boleh lihat mana-mana kenderaan 4x4 ini secara lahiriahnya lebih tinggi sedikit. Bila dah tinggi, maka urusan keluar masuk ke kabin barangkali menjadi sedikit masalah. Melainkan lu orang sanggup nak pasang escalator. Ok, yang sebenarnya ada peraturan had tinggi keseluruhan kenderaan yang perlu dipatuhi. Karang JPJ tak endorse, macam mana nak jual? Nak jual mungkin boleh, tapi macam tak manis pula dipandang masyarkat sebab hujung-hujung yang kena saman adalah pembeli juga sudahnya.


Ok, cukup gua ulas bab kenderaan. Sekarang ini marilah gua ulas bab Motorhome ini sendiri. Untuk makluman sekalian, Mr Wing yang gua jumpa minggu sudah ini sebetulnya baru juga tiba dari China setelah berkelana selama beberapa bulan ke sana bagi memastikan Motorhome ini memenuhi spesifikasi negara bertuah kita ini. Kerja-kerja pengubahsuaian perlu dilakukan semula memandangkan negara China merupakan pemanduan sebelah kiri. Maka pintu masuk ke kabin yang asalnya disebelah kanan perlu diubah ke arah berlawanan. Bukan setakat pintu, keseluruhan rekabentuk dalaman perlu diubah kedudukannya juga. Itu belum lagi melibatkan hal-hal pendawaian ni. Dia punya rumit jangan cakaplah. Selama bertapa di sana, beliau juga telah menyewa sebuah model Plutus juga bagi membuat kerja-kerja pengukuran & pemasangan pada model sebenar demi mengelakkan berlaku kesilapan di kemudian hari.

Ikhsan: FB Mr Wing

Melihat kepada spesifikasi kabin ini, bolehlah ianya dikatakan sebuah Motorhome yang lengkap kerana selain daripada tempat tidur yang mampu memuatkan 3-5 orang (3 dewasa / 2 dewasa + 3 anak kecil), turut disediakan adalah sebuah dapur (menggunakan kuasa elektrik dan bukannya gas atas faktor keselamatan) dan basin kecil bagi kerja-kerja pembasuhan. Sebuah tandas bersaiz XS turut ditempatkan di sudut hujung kabin. Untuk mandi dan menyalin pakaian barangkali tiada masalah. Sebarang urusan melibatkan per-istinjak-an adalah tidak digalakkan sama sekali mahupun sama duakali. Oleh yang demikian, buat pembeli Motorhome ini, beberapa campsite telah pun dirancang untuk dibina seluruh Semenanjung dengan bayaran masuk pada harga minimal. Sebagai makluman tambahan, campsite dengan fasiliti yang lengkap telahpun berada dalam perancangan pembinaan sebagai nilai tambah buat pembeli Motorhome ini.(Bayaran tambahan mungkin akan dikenakan buat pemilik Motorhome / Campervan lain yang ingin menggunakan fasiliti khusus buat WingMotorhome ini.)

Dan jikalau lu orang memilih untuk berhenti selain daripada campsite yang disediakan, ruangan untuk menyimpan Generator turut tersedia untuk digunakan dikala kecemasan, memasang penghawa dingin misalannya. Maklumlah, suhu Malaysia kalau waktu panasnya, sikit lebih kurang aja suhu dengan padang pasir. 

Ikhsan : FB Mr Wing

Jadi, berbalik kepada Motorhome ini, gua syak ramai juga yang menaruh hati dan memendam rasa untuk memilikinya. Harus barang diingat, harga yang ditawarkan tidaklah murah. Lepaslah rumah Semi-D kalau lu orang tinggal di Melaka. Harga yang ditawarkan untuk unit yang lengkap adalah RM188,000.00 (anggaran). Tapi sepatutnya lagi mahal kalau ianya di bawa masuk secara CBU. Cumanya kabin ini ini telah menerima taraf sebagai pemasangan tempatan ,maka harganya berjaya ditawarkan sehingga ke RM188,000.00 itu. Iya, gua tahu harganya masih mahal. Sebab itu gua hanya boleh menaruh hati dan memendam rasa sahaja. Melainkan bapak lu orang jenis yang kaya raya, memilikinya bukanlah menjadi suatu kesalahan.

Tapi bagi pemain industri pelancangon, ketahuilah ianya adalah lubuk baharu yang boleh ditawarkan buat mana-mana pelancong domestik mahupun luar negara. Percayalah, negara kita ini kaya dengan khazanah alam yang sememangnya amat sesuai menjadikan Motorhome ini sebagai industri yang baharu untuk diterokai. Lepak tepi pantai Cherating pada waktu malam sambil pekena ayam panggang di luar Motorhome sambil ditemani isteri dan anak-anak menghabiskan masa kualiti bersama serta melupakan sejenak hal masalah di pejabat. Nikmat!

Amacam, ada yang berminat ke tidak ni sebenarnya nak beli??