Thursday, May 15, 2014

Brader Sasa 2.0




  1. Memulakan tugas setelah menamatkan pengajian di Universiti tempatan sebagai Penulis Wasiat, dengan gaji yang cukup lumayan, kira-kira RM1,800 seminggu.
  2. Ketika mula-mula bekerja dahulu, Brader Sasa ini adalah seorang pemuda yang cukup baik pekertinya. Bercakap dengan orang tua pun padang bawah sahaja. Jenis pemalu katanya.
  3. Gua dan Brader Sasa pernah diarahkan untuk bertugas ke gugusan felda yang terletak di pedalaman Perak. Jauh. Tiga hari perjalanan diperlukan untuk kitaorang sampai ke tempat itu. Tak adalah, gua acah aja. Tapi memang jauh sungguh. Sungguhpun jauh, akan tetapi kitaorang tetap sampai sekitar waktu tengahari waima kitaorang sepatutnya memulakan tugasan sekitar jam 2.30 petang. Memandangkan awal, maka kitaorang memutuskan untuk berehat sambil buat-buat pejam mata sementara menantikan waktu Azan Zohor. Dalam dok buat-buat pejam, tiba-tiba Brader Sasa boleh berdengkur bagai. Gua bangun pergi pijak badan Brader Sasa terus beliau bangun ambil wuduk.
  4. Brader Sasa adalah seorang yang boleh diharap juga sebenarnya terutamanya bab meminta pertolongan. Minta tolonglah apa sahaja, akan tetap dibantunya. Pernah ada seorang akak meminta tolong untuk mengangkat kotak, sekali dengan akak tersebut beliau angkat.
  5. Pernah membantu gua untuk mengangkat barangan menggunakan gigi setelah tidak menang tangan memunggah barang sewaktu menghantar bantuan kemanusian mangsa banjir Kuantan.
  6. Selain bercita-cita untuk memasuki pertandingan Raja Lawak, Brader Sasa juga pernah memasang cita-cita untuk memasuki gusti dan bertarung dengan John Cena.
  7. Disebabkan Brader Sasa ini berwajah  tampan, maka tidak hairanlah sekiranya terdapat anak gadis dan juga bukan gadis yang meminati beliau. Anak bujang pun dengar kata ramai juga yang minat beliau. Curiga betul gua.
  8. Ok, sekarang ini gua nak bagitau lu orang satu perkara rahsia besar. Brader Sasa ini sebenarnya peminat setia Herman Tino. Dalam playlist dia berderet lagu penyanyi asal Tanjong Karang ni.
  9. Turut bercita-cita untuk merakamkan album duet bersama penyanyi Siti Nordiana. Tinggi woo suara Brader Sasa ni tarik. Tarik waktu Azan pun tak ada tinggi serupa ini.



Tuesday, May 06, 2014

Viva La Brader Sasa



*ARTIKEL YANG SAMA TELAH PUN DITERBITKAN UNTUK MAJALAH KERETA MEI 2014
Perodua Viva ini sebenarnya adalah sebuah kereta yang kecil dan unik, mewarisi gen-gen daripada Perodua Kancil yang terlebih dahulu menjengah pasaran awal era 1990an. Untuk segmen kereta kecil seperti mana Perodua Kancil yang pertama kali diperkenalkan kepada pasaran, benar-benar menjadikan ianya laku seperti menjual karipap panas di kala petang hari tengah lapar. Lantas menbuktikan bahawa, segmen kereta kecil sebegini amatlah ramai pengguna khusus untuk golongan marhaen yang berslip gaji kan agak kecil yang  tinggal di suburban seperti Temerloh, Kota Tinggi, Sg. Petani dan tak ketinggalan, bandar kelahiran Perodua, Sg. Choh Rawang. Fungsi asasnya dikekalkan, iaitu untuk mengangkut manusia dari Titik A ke Titik B. Dan fungsi asas tersebut digunapakai oleh pewaris Kancil, Viva yang mana sekali lagi membuktikan bahawasanya ianya masih lagi digemari lagi rakyat Malaysia, baik yang mahu menggunakan fungsi asasnya tadi atau pun yang mahu menggunakannya untuk tujuan ber-JDM.
Akan tetapi, jikalau nak main kereta kecil Perodua Viva sebegini, modal yang besar harus dipertaruhkan jika JDM yang dikiblatkan. (Mak ai..ayat gua bukan main ilmiah lagi dah serupa saluran Oasis). Benar, main JDM boleh habis duit gaji,  duit ASB dan juga duit Tabung Haji. Silap haribulan, ansuran dengan bank pun gantung dua tiga bulan. Memang boleh parak dibuatnya. Maka, begitulah adanya adat ber-JDM. Kalau nak jimat sikit, ada juga model kereta kecil yang sesuai untuk diubahsuai, Naza Forza misalannya. Tapi gua tak fikir ke-parak-an itu berlaku kepada pemilik Perodua Viva yang mana gua telah shoot kereta beliau di Pantai Klebang di kala cuaca yang tak berapa nak redup. Tengah rembang orang kata.
Jadi, marilah gua perkenalkan kepada lu orang pemilik kepada Perodua Viva Daihatsu Mira Avy RS ini sebagai Muzhaffar sahaja. Tengok kepada kulit muka, memang nampak jauh lebih muda daripada gua yang semakin lanjut usia ini. Walau pun kelihatan muda, tapi Brader ini tidaklah pula kelihatan jenis yang ansuran kereta bertangguh. Jenis yang berduit dan pandai berjimat gayanya. Kalau tidak, masakan beliau sanggup menanggung risiko untuk memiliki jentera  buatan Rawang yang tidak lagi kelihatan ke-Rawang-annya seperti mana kunci kereta bertukar tangan beberapa tahun sudah.
Lahiriahnya Perodua Viva ini  telah pun kelihatan sangat ke-Jepun-annya. Segala bodypart asal telah pun digantikan dengan Mira Avy RS yang kelihatan agak hensem daripada bodypart asal yang mana bodypart asal Viva ini kelihatan tersangatlah femininnya.  Cuma bodypart Viva Elite ini sahaja gua rasa kelihatan sedikit macho. Bodypart Avy RS lengkap depan belakang yang nilainya bersamaan dengan gaji seorang Kerani Bank ini  telah pun selamat disalinkan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Lengkap selengkapnya. Jenis hati kental apabila berdepan dengan Abang Penguatkuasa. Apa nak jadi, jadilah. Janji JDM selamanya dihati. Eceh. Rim Enkei RPF1 15' turut menambahkan lagi ke-hensem-an kereta yang masih lagi menggunakan warna kilang dalam usaha untuk kelihatan sedikit low profile dari jauh. Manakala RSR Magic Exhaust turut dipasang bagi menimbulkan sedikit mood garang

Kalau bab luaran sudah pun dikira lengkap, bahagian dalamannya juga tidak kurang hebat. Tempat duduk asal keluaran Perodua yang  masih lagi elok lagi itu kini telah pun hanya menjadi tempat kucing tidur sahaja (agak gua lah) dan digantikan dengan seat asal milik Daihatsu yang turut mempunyai perehat tangan untuk sang pemandu. Selesa dan tak lenguh tangan kalau memandu jauh terutamanya Brader Muzhaffar dan geng-geng yang lain sememangnya kerap menyertai Autoshow di sekitar Selatan Tanahair. Menambahkan lagi selesa tersedia yang dipegang adalah stereng Momo wallnut yang mana harganya lebih mahal daripada harga ansuran bulanan Perodua Viva. Memandangkan Brader ini juga seorang pencinta alam sekitar, Tong Sampah khusus untuk kegunaan Mira Avy ini turut dipasangkan. Maka, tiadalah kejadian yang tidak diingini seperti membuang sampah di luar kereta dapat dilihat atas jalanraya. Side step yang tidak kurang murahnya juga turut dipasangkan bagi menambahkan lagi mood JDM Viva ini.
Bagi mengiringi pemanduan di kala petang hari pulang dari kerja sambil mengadap Iblis Jem di Pantai Klebang, pemain Cakera Padat Digital yang gua tak tahu apa jenamanya turut dipasang didalam papan pemuka milik Mira Avy ini berserta dengan pembesar suara Carrozeria yang boleh tahan rare juga untuk memperdengarkan irama rancak kegemaran muda mudi masa kini melalui siaran HotzFM barangkali. Kalau gua, layan LiteFM aja. Maklumlah, orang tua sememangnya seleranya begitu.
Lengkap sudah bahagian luar dan dalam. Ketika gua menjenguk ruangan enjin, dengan pantas pemiliknya menghampiri gua memberitahu bahawasanya tiada sebarang proses bypass pemindahan jantung yang dilakukan. Jantung asal yang bersesaran 1000cc yang disertakan sekali dengan DVVT itu masih lagi dikekalkan agar lebih praktikal untuk kegunaan harian ulang alik demi mencari sesuap rezeki di negeri Melaka United FC itu. Jimat juga penggunaan petrol.Boleh simpan duit nak pergi umrah, kata pemilik Viva ini lagi.  
Jadi tamatlah sudah artikel yang sebenarnya sudah lama berada dalam keadaan draf. Oh ya, sebut pasal Perodua Viva ni, member gua Brader Sasa yang turut memiliki sebuah Prelude juga dengar kata dah mula berjinak-jinak dengan nak main kereta kecil sebegini. Nak jadikan Viva beliau kepada sebuah JDM yang lengkap.  Sebagai permulaan, beliau telah pun membeli wiper yang berasal dari Jepun dari kedai Daiso di Seremban.